+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Thursday, May 1, 2008

Pelajar terkejut gelagat ahli Parlimen

Utusan Online


Pelajar-pelajar dari SMK Sri Andalas, Klang mengikuti siaran langsung Sidang Dewan Rakyat pada hari petama di bangunan Parlimen, semalam.


KUALA LUMPUR 30 April - Para pelajar yang menghadiri hari pertama persidangan Dewan Rakyat hari ini tidak menyangka mereka akan dikejutkan dengan tingkah laku dan perkataan kurang sopan daripada ahli-ahli Parlimen.

Mereka sama sekali tidak menduga perjalanan persidangan di Dewan yang sepatutnya dihormati selaras dengan kedudukannya sebagai institusi pembuat dasar, dicemari dengan tindak-tanduk ahli-ahli Parlimen.

Seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Andalas, M. Jochim berkata, dia dan rakan-rakan sebelum ini menjangka sidang Dewan berjalan secara profesional dengan ahli-ahli Parlimen membangkitkan pelbagai isu.

Bagaimanapun, dia mengakui terkejut melihat ahli Parlimen bertindak seperti kanak-kanak apabila menggelarkan satu sama lain dengan panggilan tertentu.

‘‘Saya menjangka persidangan ini akan berlangsung dalam suasana formal apabila ahli-ahli Parlimen mengemukakan pandangan mereka tetapi lain pula yang berlaku.

‘‘Saya tak sangka mereka saling memanggil satu sama lain dengan pelbagai panggilan, seperti budak-budak,” katanya ketika ditemui di bangunan Parlimen hari ini.

Jochim adalah antara 37 pelajar SMK Sri Andalas yang menyaksikan sidang Dewan Rakyat hari ini selain pelajar dari SMK Alam Megah dan Sekolah Tinggi Kajang.

Terdahulu, semasa sidang Dewan berlangsung, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh memanggil Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin sebagai ‘bigfoot’.

“Saya harap ‘bigfoot’ dari Kinabatangan tidak akan mengganggu saya. Bigfoot sit down,” kata Karpal.

Bung Moktar kemudiannya bangun dan berkata : ‘‘Berdirilah kalau berani. If I’m bigfoot, you are big monkey.”

Sementara itu, seorang lagi pelajar, Dhamayanthi Nair berkata, dia pada awalnya amat gembira apabila diberitahu berpeluang mengikuti sidang Dewan Rakyat.

Dia menjangka banyak pengalaman berguna dapat diperoleh sepanjang mengikuti sidang itu apabila mendengar hujah-hujah daripada ahli-ahli Parlimen.

Bagaimanapun dia tidak menyangka kunjungan pertamanya ke sidang Dewan Rakyat dikejutkan dengan tingkah laku ahli-ahli Parlimen yang kurang sopan itu.

Katanya, dia terkejut dan ketawa apabila melihat serta mendengar sendiri bagaimana ahli Parlimen daripada pakatan pembangkang dan Barisan Nasional memanggil satu sama lain dengan nama ‘Bigfoot’ dan ‘Big Monkey’.

Sementara itu, guru SMK Andalas, Mariani Zainal berkata, dia pernah menyaksikan ahli-ahli Parlimen bergaduh sesama sendiri semasa menghadiri beberapa sidang Parlimen sebelum ini.

Sehubungan itu, apa yang disaksikan hari ini tidak begitu mengejutkannya tetapi berharap pelajar-pelajarnya dapat menimba pengalaman berguna semasa menyaksikan persidangan kali ini.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |