|
IPOH 30 April – Tindakan Menteri Besar Perak, mengarahkan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Datuk Jamry Sury ditukar serta-merta dianggap tidak menghormati Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP).
Pemimpin politik dan badan bukan kerajaan (NGO) di Perak semasa mengulas isu itu menegaskan sewajarnya Datuk Seri Ir. Muhammad Nizar Jamaluddin menghadap Tuanku terlebih dahulu memohon perkenan atas sebarang tindakan terhadap pegawai yang bertanggungjawab dengan institusi agama Islam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Pangkor, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, tindakan tersebut menunjukkan pemimpin berkenaan angkuh dengan kuasanya.
‘‘Tindakannya langsung tidak menggambarkan konsep keadilan yang seringkali disuarakan kerana pengarah itu tidak diberikan hak untuk mempertahankan diri,’’ katanya di sini hari ini.
Semalam, Jamry diarah bertukar serta-merta dalam tempoh 24 jam oleh Menteri Besar kerana didakwa tidak memberi kerjasama kepada kerajaan campuran DAP, PKR dan Pas.
Jamry yang juga Setiausaha MAIAMP dikatakan telah diarah keluar dari pejabatnya oleh Mohammad Nizar pagi semalam.
Ketua Pemuda UMNO Perak, Zainol Fadzi Paharudin pula berkata, Pemuda UMNO amat dukacita dengan arahan pertukaran serta-merta Jamry kerana ia tindakan yang bukan kebiasaan dilakukan.
‘‘Titah Sultan Perak dan Raja Muda Perak semasa Keputeraan Sultan Perak pada 13 April lalu menegaskan supaya masjid dan urusan agama adalah di bawah baginda dan meminta kerajaan Perak supaya tidak menjadikan masjid sebagai medan politik tetapi sebagai pusat penyatuan ummah.
‘‘Tindakan Menteri Besar ini jelas bertentangan dengan kenyataan beliau yang sebelum ini akan bekerjasama dengan semua pegawai kerajaan dan pernah meminta ketua-ketua kampung jangan meletakkan jawatan,’’ katanya.
Dalam pada itu, Ketua Umum Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Osman Bakar berkata, pihaknya akan menghadap dan menghantar memorandum kepada Sultan Perak berhubung tindakan Menteri Besar itu.
Katanya, tindakan Muhammad Nizar mengejut dan mengecewakan masyarakat Melayu kerana sepatutnya pihak kerajaan berbincang terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan.
‘‘Pengarah JAIP bukan macam guru besar boleh ditukar ikut suka, beliau menjaga kepentingan agama Islam di negeri ini,” katanya.
Setiausaha Agung Persekutuan Seruan Islam Perak, Abdul Rashid Yang berkata, orang Melayu perlu bersatu menghadapi apa juga masalah yang dicetuskan oleh kerajaan baru itu.
‘‘Persekutuan Seruan Islam bimbang dengan situasi baru ini dan ia boleh menyebabkan perpecahan dalam kalangan orang Melayu dan Islam,” katanya.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Suara Melayu Bersatu, Shahrul Anuar Abdul Rani meminta kerajaan negeri menjadikan institusi masjid sebagai alat untuk menyatukan orang Melayu dan Islam, bukannya menimbulkan perpecahan.
Dalam pada itu, pengamal undang-undang negeri Perak, Saiful Azli Mohd. Arshad berkata, kuasa untuk memindahkan seorang Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) adalah di bawah bidang kuasa Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).
‘‘Bagaimanapun, apa yang menjadi tanda tanya ialah kenapa arahan pertukaran itu dilakukan dalam tempoh 24 jam kerana ia menggambarkan sesuatu yang tidak kena dan rakyat ingin tahu apa masalah yang berlaku.
‘‘Lebih-lebih lagi ia membabitkan seorang Pengarah JAIP dan beliau turut menjadi Setiausaha Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak dengan Raja Muda Perak menjadi Yang Dipertuanya,” katanya.
0 comments:
Post a Comment