+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Wednesday, June 4, 2008

Malaysia ajak dunia gantung pasaran hadapan minyak

Berita Harian

Oleh Azman Zakaria dan Sazarina Shahrim


CERIA: Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah diiringi Abdullah dan Mohamed Jawhar (tengah) ketika menghadiri majlis perasmian Rundingan Meja Bulat ke-22 Asia Pasifik, di ibu negara, semalam.

KUALA LUMPUR: Malaysia mengajak komuniti antarabangsa mengkaji kemungkinan menggantung urus niaga minyak dalam pasaran hadapan bagi menangani kenaikan mendadak harga bahan api itu yang turut melonjakkan harga komoditi lain, termasuk makanan.

Ketika mengemukakan saranan itu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, komuniti antarabangsa perlu mengambil langkah berani yang belum pernah dilakukan itu untuk mengelak bidaan spekulatif yang menyebabkan kenaikan melampau harga minyak.

Perdana Menteri memberi contoh Jepun ketika ini sudah pun menggantung urus niaga beras dalam pasaran hadapan serta menawarkan untuk menjual beras daripada stok penimbalnya pada harga lebih rendah."Kita harus mengkaji langkah sedemikian bagi kemungkinan melaksanakannya untuk pasaran minyak, iaitu penyumbang penting yang melonjakkan harga komoditi lain.

"Semua langkah ini tentunya memerlukan rundingan dan perjanjian pada peringkat antarabangsa," katanya dalam ucaptama pada Rundingan Meja Bulat ke-22 Asia Pasifik, di sini semalam.

Turut hadir, Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (Isis) Malaysia, Datuk Seri Mohamed Jawhar Hassan serta Pengerusi Isis-Asean, Prof Dr Carolina Hernandez.

Lebih 200 peserta termasuk dari Amerika Syarikat, Jepun, China, India, Taiwan dan negara Asean, menghadiri program anjuran Isis Malaysia dan Isis-Asean itu.

Abdullah berkata, kenaikan mendadak harga bahan makanan, minyak dan komoditi memerlukan maklum balas global kerana usaha peringkat serantau dan nasional biasanya terhad.

Katanya, beban kenaikan harga yang kini sebahagian besarnya ditanggung negara membangun dan miskin, dengan mudah boleh melimpah kepada masyarakat maju.

Malah, katanya, protes, demonstrasi dan rusuhan makanan sudah berlaku di banyak negara membangun termasuk di rantau ini, tetapi tahap kebimbangan serupa tidak berlaku di kalangan negara maju kecuali berkaitan kenaikan harga minyak.

"Sudah berlaku nelayan menghalang laluan di pelabuhan Sepanyol dan Perancis, manakala pemandu trak yang marah meletakkan kenderaan di sepanjang jalan di Britain," katanya.

Perdana Menteri berkata, Asean + 3 (China, Jepun dan Korea Selatan) juga boleh memainkan peranan kerana Simpanan Jaminan Makanan Asean kini tidak mempunyai stok mencukupi bagi menstabilkan secara berkesan harga dan bekalan beras di kalangan negara ahli.

"Simpanan ini mesti ditingkatkan untuk membolehkan ia berfungsi secara berkesan seperti terkandung dalam Perjanjian 1979.

"Langkah juga perlu diambil untuk menggerakkan Simpanan Beras Kecemasan Asia Timur yang kini masih pada peringkat projek perintis. Ia harus menjadi skim simpanan beras berdaya maju yang mendapat komitmen penuh daripada semua negara peserta," katanya.

Beliau berkata, peningkatan mendadak harga bahan makanan, minyak dan komoditi menimbulkan masalah besar, terutama kepada yang miskin, kadar inflasi semakin tinggi di kebanyakan negara dan pendapatan sebenar sudah berkurangan.

Katanya, harga beras iaitu makanan ruji penduduk Asia meningkat 76 peratus dalam tempoh lima bulan sejak Disember tahun lalu hingga April tahun ini, manakala harga keseluruhan makanan meningkat 83 peratus sejak tiga tahun lalu dan harga minyak meningkat empat kali ganda sejak enam tahun lalu.

Abdullah juga berkata, ada keperluan mendesak untuk memberi tumpuan kepada keselamatan kemanusiaan, terutama terhadap aspek yang lebih mendesak dengan mengadakan secara lebih berkesan mobilisasi, penyelarasan dan penyampaian bantuan antarabangsa.

Katanya, komuniti antarabangsa tidak mempunyai pilihan kecuali mengakui keselamatan kemanusiaan mesti diberi keutamaan dengan keadaan sosioekonomi adalah aspek penting dalam jaminan keselamatan itu.

Beliau turut menyarankan negara Asia Pasifik supaya mengambil pendekatan yang betul untuk meningkatkan secara dramatik suasana keselamatan rantau itu.

"Kita boleh melangkah jauh meniti jalan ke arah keamanan dan kestabilan jika ada hasrat untuk berunding daripada mengugut, untuk berbincang daripada konfrontasi, menyesuaikan daripada menyulitkan keadaan.

"Kita juga boleh maju lebih jauh untuk mencapai kestabilan jika terus memperkukuhkan rangka kerjasama di rantau ini," katanya.

Beliau berkata, Malaysia dan lima negara anggota Asean lain sudah membuat ratifikasi Piagam Asean dan meminta negara anggota yang belum berbuat demikian supaya melaksanakannya agar piagam berkenaan boleh dikuatkuasakan.

"Biarlah saya katakan piagam itu tidak memasukkan semua yang dimahukan Malaysia. Saya tidak jangka ada negara mendapat semua yang mereka mahukan. Mungkin ada juga negara yang perlu menerima perkara yang mereka tidak berapa kehendaki. Yang kita mahukan ialah tolak ansur," katanya.

Perdana Menteri berkata, piagam itu tidak harus ditolak semata-mata kerana perasaan tidak senang terhadap beberapa peruntukannya atau kerana ada cadangan peruntukan yang tidak diterima.

Katanya, piagam itu perlu dilihat secara keseluruhan dan bukan hanya berkaitan hak asasi manusia, demokrasi atau semata-mata pembangunan ekonomi dan kerjasama keselamatan.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |