Mstar Online
25-06-2008 09:04:49 PM
Oleh ZIEMAN
(Mutakhir) PETALING JAYA: Dr. Shaariibuu Setev, bapa kepada Altantuya Shaariibuu, berharap sangat apa yang didakwa oleh editor Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin ada kebenarannya.
Shaariibuu percaya PDRM dan harap sistem kehakiman Malaysia beri keadilan.
(Foto The Star oleh Shaari Che Mat)
"Kalau betul apa yang dia dakwa, ini boleh memberikan bukti baru kepada polis. Saya berharap sangat ada kebenaran dakwaannya," kata Shaariibuu dalam satu wawancara petang tadi.
Raja Petra melalui satu akuan bersumpah mendakwa pembunuhan Altantuya ada kaitan dengan tiga individu, salah seorangnya perempuan, berada di tempat kejadian semasa penterjemah dan model sambilan Mongolia itu dibunuh pada Oktober 2006.
"Saya harap pihak polis akan menjalankan siasatan terperinci kerana ini dakwaan yang serius. Saya percaya Polis Diraja Malaysia dan sistem kehakiman Malaysia akan memberi keadilan pada yang benar," katanya melalui seorang penterjemah.
Turut bersama dalam pertemuan itu ialah Konsul Kehormat Mongolia di Malaysia, Datuk Syed Abdul Rahman.
Dalam masa yang sama, Shaariibuu melahirkan rasa terkilan dan kecewanya dengan cara penyiasatan ke atas pembunuhan anaknya dijalankan.
"Semakin lama saya mengikuti perbicaraan, saya menjadi semakin keliru. Perkara yang penting tidak diberi keutamaan sedangkan perkara yang remeh temeh pula yang diperpanjangkan sampai membuang masa mahkamah," katanya.
"Yang lebih memusykilkan saya ialah apa hubungan anak saya dengan Sirul dan Azilah sedangkan seumur hidupnya dia tidak pernah mengenali kedua mereka. Saya hanya tahu anak saya ada hubungan dengan Razak Baginda saja," jelas Shaariibuu yang baru sahaja berjumpa dengan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail bagi membincangkan sama ada akuan berkanun Raja Petra itu boleh dikemukakan sebagai barang bukti di mahkamah.
Antara perkara lain yang membuat Shaariibuu tidak puas hati ialah terma 'C4' telah digantikan dengan terma 'plastic explosives' seolah memberi pengertian ia ringan dan mudah.
"Saya juga hairan bagaimana bukti-bukti kukuh tidak diserahkan sebagai bahan bukti yang boleh membantu penyiasatan bagi menunjukkan pertalian antara anak saya dengan Razak Baginda. Begitu juga kejadian yang berlaku di belukar atas bukit di mana Altantuya ditembak dan diletupkan, ianya tidak langsung diberi perhatian yang sewajarnya.
"Ini adalah satu pembunuhan terancang tapi tidak begitu jelas sepanjang perbicaraan. Apa yang saya faham, perkara penting sudah tidak menjadi penting lagi. Sedangkan yang tidak penting pula mendapat keutamaan. Itu yang buat saya kecewa," kata Shaariibuu.
Menurut Shaariibuu, kerajaan Mongolia, 22 NGO, dua peguam dan seluruh rakyatnya senantiasa memantau perbicaraan pembunuhan Altantuya sejak hari pertama.
Katanya, semenjak kematian Altantuya rakyat negaranya senantiasa memperingatinya dengan menyambut hari kelahirannya pada 6 hb Mei dan hari ulangtahun kematian pada 19 Oktober.
"Kami semua mengharapkan penghakiman yang adil dan saya percaya sistem kehakiman Malaysia akan berbuat begitu," katanya.
Pendakwaan perbicaraan kes pembunuhan Altantuya sudahpun ditutup dan penghujahan ditetapkan pada 23 Julai. Dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK) C/Insp Azilah Hadri dan Kpl Sirul Azhar Umar dituduh membunuh Altantuya, 28, antara 10 malam, 19 Okt dan 1 pagi 20 Okt dua tahun lepas di Mukim Bukit Raja, Shah Alam. Penganalisis politik Abdul Razak Baginda 48, pula didakwa bersubahat dengan Azilah dan Sirul membunuh Altantuya.
Ditanya mengenai harapannya, Shaariibuu berkata, "Saya sudah boleh menerima hakikat anak saya sudah tiada tapi saya berharap sangat kematiannya mendapat pembelaan dan yang bersalah akan menerima hukuman."
0 comments:
Post a Comment