+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Saturday, July 19, 2008

Anwar intai p'raya kecil Kulim

Malaysiakini

Jul 18, 08 4:35pm

Selepas terlepas peluang untuk bertanding di kerusi Parlimen Kuala Kangsar apabila mahkamah menolak petisyen PAS untuk membatalkan keputusannya, kini ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mensasarkan untuk bertanding di kerusi parlimen Kulim-Bandar Baharu.

Mahkamah Tinggi Alor Star akan mendengar Ahad ini, petisyen calon BN, memohon supaya dibatalkan keputusan pilihanraya bagi kerusi parlimen Kulim-Bandar Baharu, di selatan Kedah.

Dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu, calon PKR, Zulkifli Noordin menang dengan majoriti 5,583 undi.

Zulkifli mendapatkan 22,255 undi untuk menewaskan calon BN, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir yang memperolehi 16,672 undi.

anwar ibrahimSelepas menjalani hukuman penjara selepas disabitkan atas kesalahan salahguna kuasa, Anwar dilarang aktif dalam politik selama lima tahun sehingga 14 April lalu.

Hakim Balia Yusoff Wahi telah menetapkan kes itu dengar mulai Ahad hingga Khamis depan, selepas menolak bantahan yang dibangkitkan oleh Zulkifli untuk membatalkan petisyen tersebut.

Petisyen tersebut difailkan oleh Aziz atas alasan Zulkifli telah gagal mengemukakan kenyataan perbelanjaannya sewaktu kempen pilihanraya umum 2004.

Mengikut akta pilihanraya, setiap calon yang tidak mengemukakan kenyataan perbelanjaan kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), tidak dibenarkan bertanding dalam pilihanraya seterusnya.

Sedia beri laluan

Pada 2004, Zulkifli bertanding kerusi parlimen Kuala Langat di Selangor tetapi kalah kepada calon BN dari Umno, Datuk Dr Shafie Mohd Salleh.

bm version bandar kulim bharu kedah parliament seat results 180708Dalam petisyennya, Abdul Aziz juga mendakwa bahawa pegawai pengurus pilihanraya telah gagal bertindak terhadap Zulkifli walaupun mempunyai dokumen yang mengesahkan kegagalannya mengemukakan kenyataan perbelanjaannya.

Sekiranya pilihanraya kecil diadakan bagi kerusi tersebut, dalam tempoh 60 hari, Zulkifli dijangka memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding di situ.

Bagaimanapun, terlalu awal untuk dipastikan sama ada Abdul Aziz akan dicalonkan semula bertanding di kerusi tersebut.

Dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu, kerusi Parlimen tersebut mempunyai 51,995 pengundi, yang terdiri daripada 69.50 peratus Melayu, China (18.60 peratus), India (11.70 peratus), lain-lain (0.20 peratus).

Zulkifli memberitahu Malaysiakini bahawa yakin dapat memenangi kes tersebut. Menurutnya, Abdul Aziz telah memfail petisyennya di bawah Akta Pilihanraya yang silap.

Ditanya sama ada beliau bersedia memberi laluan kepada Anwar sekiranya pilihanraya kecil diadakan, Zulkifli berkata, beliau sedia berbuat demikian.

"Semua ahli Parlimen PKR sebelum ini telah berjanji sedia melepaskan kerusi mereka untuk Anwar, termasuk kerusi saya, di Permatang Pauh,
Bandar Tun Razak dan Gombak," katanya.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |