+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Saturday, July 19, 2008

Ku Li mahu ubahsuai DEB jika dipilih sebagai Presiden Umno

Mstar Online

18-07-2008 09:36:53 PM

GUA MUSANG: Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah (gambar) hari ini berkata beliau akan mengubahsuai Dasar Ekonomi Baru (DEB) bagi memastikan pelaksanaannya lebih mantap sekiranya dipilih sebagai Presiden Umno.

Tengku Razaleigh yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan Nombor Satu Umno pada pemilihan Disember nanti berkata dasar itu akan diperkemaskan lagi kerana ia adalah untuk kebaikan semua kaum dan bukan dikhususkan untuk kepentingan orang Melayu sahaja.

"DEB yang dilaksanakan semasa pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak itu bukan sahaja untuk kepentingan orang Melayu, malah untuk kebaikan semua kaum di negara ini.

"Nampaknya selepas pelaksanaannya, dasar berkenaan belum menunjukkan perubahan ketara kepada kemajuan ekonomi orang Melayu dan apa yang perlu kita buat ialah mengemaskan lagi pelaksanaannya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan tahunan Cawangan-Cawangan Umno dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas dan Nenggiri di Dewan Bukit Chekati, di sini.

Dalam perkembangan lain, Tengku Razaleigh mengecam pihak tertentu yang menuduhnya mempunyai kepentingan diri apabila menawarkan diri bertanding jawatan Presiden Umno.

Sebaliknya, beliau menjelaskan hasratnya berbuat demikian adalah bagi memulihkan Umno kerana rakyat sudah hilang kepercayaan terhadap parti itu.

"Saya bukan tamak kuasa atau gila nak jadi Perdana Menteri, tetapi apa yang saya nak perjuangkan ialah membela bangsa Melayu dan membendung kadar kemiskinan yang masih tinggi.

"Orang yang menuduh saya tamak dan gila kuasa itu sebenarnya yang ingin mengadaikan maruah bangsa Melayu," katanya semasa berucap merasmikan persidangan tahunan Cawangan-Cawangan dalam DUN Paloh di Dewan Orang Ramai Ciku Satu, dekat sini.
Ditanya mengenai sikap Umno Kelantan yang menyambut dingin hasratnya itu, Tengku Razaleigh berkata beliau tidak merasa goyah atau hilang keyakinan apabila ada pihak di negeri itu yang menyuarakan sokongan kepada Presiden dan timbalan presiden parti yang ada sekarang.

"Saya tetap dengan pendirian saya untuk bertanding dan keputusannya sama ada saya menang atau kalah ditentukan oleh anggota parti dalam perhimpunan Agung Umno nanti," katanya. BERNAMA


0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |