+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Saturday, July 19, 2008

'Serah DNA jika benar' - Pak Lah

Berita Harian

Oleh Wan Hazmir Bakar
wanhazmir@bharian.com.my


Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi

Pak Lah cabar Anwar jika tidak terbabit dalam kes liwat

PUTRAJAYA: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya memberikan sampel DNA untuk membantu siasatan polis berhubung dakwaan meliwat, jika benar beliau tidak melakukan perbuatan itu.

Perdana Menteri berkata, itulah cara betul dan mudah untuk Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu membuktikan dirinya tidak bersalah berhubung dakwaan liwat yang dibuat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

"Kalau dia betul-betul tak terbabit, bagi sampel, buat (ujian DNA) sekarang. Kalau dia kata memang tak buat apa-apa, tengok hasilnya nanti... itulah caranya, bukan susah sangat," katanya selepas melancarkan projek pemasangan alat penjimatan petrol, Hydrofuel, pada teksi dan kereta sewa di Dataran Putra di sini, petang semalam.

Abdullah diminta mengulas keengganan Anwar membenarkan sampel darahnya diambil untuk perbandingan DNA ketika dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi pemeriksaan selepas ditahan polis Rabu lalu untuk membantu siasatan.

Anwar pada sidang media kelmarin berkata, beliau menolak untuk menjalani ujian DNA kerana bimbang ia akan dimanipulasikan pihak tertentu, selain mendakwa polis sudah memiliki sampel DNA beliau yang diambil ketika siasatan kes liwat pada 1998.

Mengenai reaksi Amerika Syarikat dan negara lain yang menyatakan kebimbangan berhubung siasatan kes terbaru Anwar, Abdullah menegaskan tiada sebarang konspirasi atau tindakan untuk menganiayai penasihat PKR itu.

"Tak ada... tak ada sebarang konspirasi untuk menganiayai beliau. Tak ada, tak usah percaya," katanya. Anwar sebelum ini mendakwa tuduhan terbaru itu dibuat pihak tertentu untuk menghalang beliau daripada kembali aktif dalam politik.

Beliau yang mendakwa akan bertanding kerusi Parlimen yang akan dikosongkan Ahli Parlimen PKR, turut mengumumkan sudah berjaya memujuk sejumlah Ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN) untuk menumbangkan kerajaan pimpinan Abdullah dan membentuk kerajaan baru dengan majoriti mudah.

Perdana Menteri berkata, dakwaan kononnya ada konspirasi menghalang Anwar hanyalah persepsi mereka, sama seperti ketika kes pada 1998 selepas Anwar dipecat daripada Umno dan kerajaan berikutan dakwaan meliwat.

Mengenai kebimbangan terhadap keselamatan Anwar, Abdullah berkata perkara itu tidak timbul kerana kerajaan sudah memberi jaminan keselamatan kepada beliau dan keluarganya, malah pihak berkuasa sentiasa menjalankan siasatan mengikut garis panduan dan lunas undang-undang.

"Tak ada masalah, hari itu isteri dia (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) datang... Azmin (Ali) pun datang, saya bagi jaminan dia akan selamat dan dilindungi undang-undang. Kita mesti patuh kepada undang-undang dan pihak berkuasa pun patuh kepada undang-undang," katanya.

Ditanya bila kes Anwar akan berakhir, Abdullah berkata kerajaan memang mahu ia diselesaikan seberapa segera yang boleh.

"Kalau boleh kita nak selesaikan semalam tapi tak boleh lagi," katanya merujuk keengganan Anwar memberikan sampel DNA untuk membantu siasatan polis turut melewatkan lagi proses berkenaan.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |