+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Saturday, July 19, 2008

Azizah: 'Saya percaya Anwar, satu lagi konspirasi politik'

Mstar Online

19-07-2008 10:04:23 AM
Oleh G. MANIMARAN

DR. WAN Azizah Wan Ismail ketika ditemu bual mStar Online di rumah beliau di Bukit Segambut, Kuala Lumpur pagi semalam. - foto The Star oleh AZHAR MAHFOF

(Dikemas kini) KUALA LUMPUR: Sambil menyifatkan nasib dialami Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai konspirasi politik, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail tidak dapat menjangkakan momentum gerakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dipimpinnya selepas ini.

"Saya kata ada dan tidak... memang pada satu sudut kita kena tumpukan perhatian kita kepada kes apabila dibawa ke mahkamah," katanya.

Bagaimanapun kata isteri bekas Timbalan Perdana Menteri itu, ramai orang melihat isu yang dihadapi Anwar sekarang bukan kes biasa sebaliknya sebagai "kes politik."

"Ini kes politik, tak akan bukan kerana politik, tindakan-tindakan ini dilakukan. Dan, ada yang mengatakan ini adalah zalim, zalim terhadap sesiapa, bukan kerana saudara Anwar, tetapi sesiapa saja," kata Ketua Pembangkang di Parlimen ini dalam temu bual dengan mStar Online di rumah mereka di Bukit Segambut hari ini.

Malah, Dr. Wan Azizah berkata, pihak pemerintah bertindak 'tegas' ke atas Anwar selepas forum debat yang disertai Anwar pada malam Selasa lalu.

Anwar ditahan hari keesokan ketika beliau dalam perjalanan ke rumahnya selepas memberi keterangan kepada Badan Pencegah Rasuah, sejam sebelum hadir di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Kata Dr. Wan Azizah, tahap sokongan ke atas Anwar meningkat ekoran program itu yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen ke seluruh negara.

Ia merupakan kemunculan pertama Anwar selepas dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri pada September 1998.

Ketika ditanya lagi sejauh mana beliau melihat ia sebagai konspirasi politik, Dr. Wan Azizah menjelaskan: "Saya bermaksud begini... sebab, cara bagaimana Anwar diperlakukan, kenapa?"

Katanya, jika Anwar berhadapan dengan tuduhan yang dimaksudkan, beliau tidak harus dikepung oleh anggota pasukan khas sehingga 20 orang dengan sesetengah mereka bertopeng, di tengah-tengah jalan ketika pulang ke rumah.

"Serbu, ditahan di tengah jalan, macam drama, macam drama Tamil pula itu," katanya dengan diringi senyuman kecil beliau.

"Tahun 98 pun macam itu, mereka datang ke rumah ketika sedang diadakan sidang akhbar. Sungguh dramatik, tiada syak ini adalah motif politik," katanya.

Di peringkat awal temu bual Dr. Wan Azizah juga menyifatkan tangkapan Anwar sebagai "ulang tayang" dengan merujuk kepada suasana tahun 1998 di rumah mereka di Bukit Damansara.

"Dan kenapa pihak polis dan juga pihak kerajaan ingin sangat peroleh sampel untuk DNA kerana kita tahu bahawa sampel DNA sudah dipegang oleh polis sejak 1998, dan kita juga telah lihat bahawa banyak bukti telah direka cipta dalam kes-kes terdahulu apabila Anwar telah dibebas, dilepaskan daripada tuduhan-tuduhan terdahulu.

"Ini kita melihat ulang tayang yang saya rasa bahawa peristiwa kali ini macam ulang tayang," katanya lagi.

Apabila ditanya sejauh mana pihaknya boleh melihat ia sebagai konspirasi politik sedangkan beliau dan Naib Presiden PKR, Mohamad Azmin Ali sendiri telah menemui dua kali sepanjang tiga minggu lalu, Dr. Wan Azizah memberitahu, kedua-dua mereka menemui Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk meminta jaminan keselamatan Anwar.

"Saya apabila bertemu, bila dikatakan hendak ditangkap, Ketua Polis Negara dan Peguam Negara didakwa terlibat dan sekurang-kurangnya kedua-dua mereka tidak boleh mencampuri kes Anwar kerana ada konlfik kepentingan.

"Perdana Menteri jamin Anwar tidak akan dipukul dan dikasari, jaminan itu saya peroleh sendiri, yang lain itu... saya mahu lebih lah tetapi...," kata beliau sambil menambah:

"Kini makin terserlah, ini adalah politik. Oleh kerana politik, mereka bertindak dan beginilah dilakukan apabila Anwar dilihat sebagai satu cabaran, cabaran yang kuat kepada pihak pemerintah. Lebih-lebih lagi apabila ada debat yang kuat, tidak pernah dalam sejarah Malaysia ada debat macam pemilihan presiden Amerika Syarikat.

"Kita melihat bahawa saudara Anwar memang meyakinkan bagaimana kalau dia, kita boleh memegang tampuk kerajaan.

"Itu telah melonjakkan rating Anwar, Keadilan dan Pakatan... melihat ini saya kira pihak berkuasa mengambil tindakan (menahannya)," katanya.

BERITA TERDAHULU:

DNA: Keluarga Anwar was-was syor polis benarkan Anwar pilih sendiri pakar

KUALA LUMPUR: Keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap was-was untuk memberikan sampel darah meskipun pihak polis memberikan pilihan kepada bekas Timbalan Perdana Menteri itu agar memilih sendiri pakar forensik mengendalikan pemeriksaan dan ujian DNA terhadapnya.

Dalam temu bual dengan mStar Online sebentar tadi, isteri Anwar, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, berdasarkan pengalaman sedekad yang lalu keluarga pihaknya masih tidak percaya dengan pihak berkuasa polis.

"(Kami) masih was-was, sebab kita dah kena (pengalaman dulu)... kalau tuan-tuan, kalau saudara atau sesiapa terkena baru terasa," kata beliau dalam pertemuan yang diadakan di rumahnya di Bukti Segambut dekat sini, sehari selepas Anwar dibebaskan atas jaminan polis semalam.


Semalam Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata, polis mungkin mendapatkan perintah mahkamah bagi mengambil contoh darah Anwar untuk tujuan analisis DNA jika beliau terus enggan bekerjasama.

Malah kata beliau, pihaknya memberi pilihan kepada Anwar untuk memilih pakar forensik sendiri bagi tujuan itu demi mengelakkan keraguan terhadap hasil ujian DNA kelak.

Anwar yang ditahan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur kelmarin untuk disiasat berhubung dakwaan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan menolak permintaan polis untuk menjalani ujian DNA.

Menurut Ismail, dalam kes liwat adalah penting untuk mendapatkan contoh DNA daripada orang yang dituduh terlibat.

Ditanya sama ada polis akan menggunakan contoh DNA yang diambil daripada Anwar 10 tahun lepas (ketika beliau berdepan tuduhan serupa) untuk disepadankan dengan Mohd Saiful, Ismail berkata, polis tidak akan berbuat demikian.

Mengulas lanjut, Dr. Azizah yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, pihak berkuasa mempunyai rekod DNA yang telah diambil pada 1998.

Malah jelas beliau, dalam kes Anwar pada 1999 pihaknya tidak dibenarkan membawa pakar-pakar untuk berhujah di mahkamah.

"Itu kan ada dulu, dulu dibawa tilam, kita bawa pakar kita, tidak dibenarkan untuk berhujah dalam mahkamah.

"Lepas itu Haji Sulaiman (Abdullah, peguam Anwar) hendak berhujah dengan baik sekali dan bila hujah kita, dia nampak pendakwa raya akan kalah, tetapi (hujah) telah ditolak," katanya.

Mengambil kira pengalaman itu, kata beliau, sukar bagi pihaknya untuk bekerjasama kerana kredibiliti polis kini dipersoalkan dan meragukan.

"Kita tidak boleh memberi kepercayaan penuh kepada polis, sebab itu lah kita mengambil langkah-langkah, sebab kita dah kena dulu," katanya.

Dr. Azizah menambah, pihaknya juga tidak mahu mempercayai polis kerana Anwar dijanji akan dibenarkan untuk pulang selepas diambil keterangan dan menjalani pemeriksaan di Hospital Kuala Lumpur tetapi tidak dtunaikan.

"Kita dah tahu... pasal apa? Mereka semalam (kelmarin) janji Anwar akan keluar tetapi mungkir janji. Jadi macam mana?" katanya.

Katanya lagi, Anwar akan membenarkan sampel diambil atas arahan mahkamah.

"Kalau tidak no way," katanya.

Ketika ditanya sama ada pihaknya meletakkan syarat sebelum memberikan sampel untuk ujian DNA, Dr. Wan Azizah berkata, "kita tengok dulu dan kita tengok apakah kandungannya, kenapa tidak diberi (laporan polis), kenapa hendakkan DNA itu."

"Sudah 10 tahun memberi, sudah diambil DNA... DNA tidak akan bertukar, sampel DNA telah diambil daripada darah dahulu tanpa pengetahuan doktor, dalam simpanan doktor...

"Masa itu sudah diambil darah untuk diperiksa DNA, kita tidak mempercayai kerana apa yang telah berlaku 10 tahun yang lampau, kita tidak ambil satu sikap mempercayai," katanya lagi.

  • Saya masih percaya Anwar, beliau dianiaya - Azizah
  • KLIP TEMU BUAL DENGAN WAN AZIZAH
  • PM: Ujian telus, Anwar perlu beri sampel DNA
  • Rais: Perwakilan Malaysia di luar negara perlu mengikuti kes Anwar
  • Peguam Anwar minta Syed Hamid henti beri komen 'mencampuri' siasatan polis
  • Anwar bebas pagi ini, polis kaji guna mahkamah uji DNA
  • 0 comments:

    Carian dalam Tau Takpe

    masukkan je apa-apa yg nak dicari

    Tau takpe

    Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

    - OrangKita (OK) -

    Video mesti tengok!!!

    | Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |