+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Saturday, July 19, 2008

Pemandu teksi dapat harga istimewa petrol RM1.92

Berita Harian

Oleh Abdul Razak Raaff
raaffar@bharian.com.my


Datuk Shahrir Samad

PUTRAJAYA: Sebanyak 40,231 pemilik teksi dan kereta sewa berenjin petrol di seluruh negara akan menikmati kemudahan petrol bersubsidi pada harga RM1.92 seliter dengan kuota bagi setiap kenderaan sebanyak 720 liter sebulan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad, berkata berikutan keputusan itu, kerajaan menyediakan peruntukan kira-kira RM271 juta setahun bagi membiayai subsidi berkenaan.

Beliau berkata, pemilik teksi dan kereta sewa berenjin petrol boleh mengemukakan permohonan mendapatkan surat tawaran kelayakan subsidi petrol di semua pejabat kementerian di seluruh negara mulai Isnin ini.

"Kita menggunakan sistem kad fleet bagi menyalurkan subsidi petrol kepada pemilik teksi dan kereta sewa berkenaan. Mereka juga boleh terus pergi ke syarikat minyak untuk mendapatkannya selepas permohonan diluluskan.

"Sebelum ini, kita tidak pernah beri kemudahan itu kepada teksi berenjin petrol tetapi kali ini ia dibuat selepas kenaikan harga yang diumumkan bulan lalu," katanya pada sidang media selepas Dialog Bersama Usahawan Sektor Makanan, di sini semalam.

Sehubungan itu, Shahrir berkata kadar tambang teksi masih dikekalkan pada kadar sedia ada supaya tidak membebankan pengguna.

Katanya, penetapan kuota itu dibuat berdasarkan kawasan liputan terhad bagi permit yang dikeluarkan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), manakala jumlah teksi yang layak adalah mengikut daftar Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

"Jangkaan kita bahawa pemberian kuota 720 liter sebulan mencukupi bagi membantu mereka menguruskan operasi sama ada di kawasan bandar dan luar bandar.

"Pemberian subsidi petrol kepada pemandu teksi dan kereta sewa berenjin petrol ini juga adalah sebahagian daripada tindakan kerajaan meringankan beban rakyat," katanya.

Shahrir berkata, kerajaan prihatin terhadap masalah mereka yang perlu menanggung kos operasi yang meningkat.

Katanya, sejak Selasa lalu, sebanyak 7,665 teksi dan kereta sewa berenjin diesel sudah menikmati subsidi melalui Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi dengan jumlah kuota 5,518,800 liter sebulan.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |