+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Saturday, July 12, 2008

Samy sedia undur, cabar perwakilan kemuka usul tidak percaya

Mstar Online

12-07-2008 02:49:43 PM
Oleh G. MANIMARAN dan ARIFFUDDIN ISHAK

KUALA LUMPUR: Selepas tersinggung dengan kerenah perwakilan ketika majlis makan malam semalam sempena Perrhimpunan Agung MIC Ke-62, pagi ini Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu mengejutkan ramai dengan berkata, beliau sanggup meletakkan jawatan jika itu yang ahli-ahli parti tersebut inginkan.

Justeru, Samy Vellu juga meminta para perwakilan supaya mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap kepimpinannya.

"Kalau perwakilan setuju, saya sanggup letak jawatan. Perwakilan yang hadir boleh buat undi tidak percaya terhadap saya petang ini," kata beliau yang sambung berucap selepas majlis Perhimpunan Agung MIC Ke-62 dirasmikan.

Selepas Samy Vellu mengeluarkan kenyataan itu, wakil media telah diminta keluar dewan perhimpunan agung berlangsung.

Perhimpunan Agung MIC dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pukul 10 pagi tadi.

Perhimpunan agung kali ini hanya berlangsung sehari berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Samy Vellu merupakan Presiden MIC paling lama memegang jawatan itu.

Beliau tewas dalam pilihan raya umum ke-12 8 Mac lalu dengan gagal mempertahankan kerusinya Sungai Siput.

Sebulan lalu, Samy Vellu telah mengumumkan pendiriannya untuk mempertahankan jawatannya untuk satu lagi penggal.

BERITA TERDAHULU:

Majlis makan malam MIC tukar detik singgung Samy Vellu

Menjelang Perhimpunan Agung MIC Ke-62 yang berlangsung hari ini, majlis makan malam yang diadakan untuk meraikan para perwakilan semalam bertukar menjadi detik menyinggung perasaan dan mengecewakan Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu yang meninggalkan program itu lebih awal daripada sepatutnya

Ini kali pertama majlis makan malam berakhir satu setengam jam lebih awal daripada dijadualkan.

Ia dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pagi ini.

Samy Vellu yang turut tersinggung dengan tindak-tanduk sesetengah perwakilan yang tidak menghormati majlis persembahan kebudayaan yang berlangsung keluar dewan majlis makan malam kira-kira lima minit sebelum pukul 10 malam.

Samy Vellu hanya berucap kira-kira lima minit - sesuatu yang berlainan sejak beliau memimpin MIC hampir 30 tahun.

Samy Vellu, Presiden paling lama memegang jawatan itu, ketika berucap mengatakan bahawa beliau tidak akan berucap lama dan akan meninggalkan majlis dalam lima minit.

Sebelum meninggalkan majlis, Samy Vellu sempat berucap kepada hadirin dengan berkata beliau tidak akan lagi menganjurkan majlis seumpama itu sekiranya para perwakilan tidak berminat.

Laporan Bernama menyebut beliau juga meminta maaf kepada para perwakilan.


Bekas Timbalan Presiden Datuk S. Subramaniam berkata, Samy Vellu "agak tersinggung apabila perwakilan mula bersembang sesama sendiri tanpa memberi tumpuan kepada persembahan yang diadakan."

Para perwakilan mula bercakap di kalangan mereka sebaik sahaja menu selesai dihidangkan dengan cepat dan tidak mahu mengikuti persembahan, katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun difahamkan perasaan kecewa Samy Vellu bermula dengan tindakan Ketua Penerangan MIC, Datuk M. Saravanan meninggalkan dewan majlis itu berlangsing iaitu dewan konvensyen Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Saravanan yang memasuki dewan itu kira-kira pukul 8.30 malam keluar tidak sampai 15 minit kemudian.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan itu mengesahkan keluar awal dewan tetapi enggan menyebut mengapa berbuat demikian.

Difahamkan Saravanan, Ahli Parlimen Tapah bertindak keluar apabila beliau tidak ditempatkan di meja utama, yang turut menempatkan mereka yang tidak memegang jawatan kanan dalam parti.

Tindakan Saravanan menyebabkan hampir 30 peratus perwakilan turut mula meninggalkan dewan.

Perhimpunan agung MIC ke-62 hari ini merupakan yang pertama selepas pilihan raya umum ke-12 8 Mac lalu.

Perhimpunan kali ini hanya akan berlangsung sehari berbanding dua hari masa-masa lalu.

Samy Vellu sebelum ini pernah memberitahu bahawa persidangan sehari itu akan memberi tumpuan kepada penjenamaan semula parti bagi membolehkan lebih semua ketua cawangan parti yang hadir memahami konsep itu.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |