Harakahdaily Zukifli Yahaya Fri | Jul 11, 08 | 7:34:57 am MYT | |
Selepas 100 hari, baru tembakan yang ditunggu-tunggu dari pembangkang bermula. Bekas Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Mahdzir Khalid membidas Ustaz Azizan Abdul Razak yang kononnya tidak tahu mengurus sumber pendapatan kerajaan negeri dengan baik. Akibatnya, kerajaan negeri mengambil jalan singkat menebang balak di kawasan tadahan air bagi memperoleh pendapatan. Media yang taksub dengan isu alam sekitar, TV3, dalam laporannya baru-baru ini membongkar kegiatan penebangan balak yang berlaku secara berleluasa sejak lima tahun lalu di kawasan tadahan air di negeri Kedah. Ustaz Azizan baru tiga bulan menjadi Menteri Besar. Bermakna, kegiatan memusnahkan kawasan tadahan air itu berlaku sejak Dato' Syed Razak Syed Zain menjadi Menteri Besar dan berlarutan di zaman Mahdzir. Itu intisari dari laporan yang dibuat oleh TV3. Meludah ke muka Ustaz Azizan, terkena batang hidung menteri besar terdahulu. Situasi jadi kelakar apabila Mahdzir yang di bawah pentadbirannya balak rakus ditebang di kawasan tadahan air, tiba-tiba mengecam Menteri Besar sekarang, yang sejak mengambil alih kerajaan, sebatang balak pun belum lagi di tebang di kawasan tersebut. Sebenarnya ramai yang tertunggu-tunggu saat Mahdzir mula mengkritik Menteri Besar kerajaan Pakatan Rakyat. Apabila seorang bekas Menteri Besar mengecam kerajaan selepasnya, maka orang ramai selalunya akan menilai kerja yang dia buat dahulu. Dia jadi hebat jika kritikannya betul. Maksudnya, apa yang berlaku sekarang lebih teruk berbanding dahulu. Tapi jika kritikannya tidak lebih dari mengulangi kritikan yang dibuat terhadapnya dulu, lantaran kini dia tidak lagi terajui kerajaan, itu 'gila talak' namanya! Membalak di kawasan tadahan air bukannya isu baru di negeri ini. Ia dimulakan di zaman Syed Razak. Bagi pihak kerajaan negeri beliau memohon pampasan �Payment for Enviromental Services� sebanyak RM100 juta setahun. Ia sebagai 'gantirugi' terhadap langkah tidak melakukan penebangan balak di kawasan tadahan air, mengorbankan sumber pendapatan negeri, demi untuk membekalkan air ke Pulau Pinang dan Perlis. Pulau Pinang menerima bekalan air daripada Kedah tetapi kecekapan pengurusan mereka berjaya meletakkan Pihak Berkuasa Air (PBA) Pulau Pinang di papan utama BSKL. Pembekal juga yang gigit jari. Kedah pernah menuntut bayaran dari kedua-dua negeri tersebut kerana membekalkan air. Tahun pertama, Perlis membayar RM200,000. Selepas itu Dato' Seri Shahidan Kassim menghentikan pembayaran. Hujahnya, air dari Tuhan, kenapa mesti bayar. Memang dalam dunia ini ada suatu mazhab yang berfahaman, semua yang datang dari Allah halal belaka. "Anak dara orang, bini orang semua tu mereka anggap 'halal' belaka. Sebabnya Allah yang buat." Apabila Mahdzir ambil alih pentadbiran, tuntutan PES dilupakan. Tentu sukar bagi orang yang pernah duduk di bawah dagu Pak Lah untuk membuat tuntutan, walaupun itu hak negeri Kedah. Apabila Ustaz Azizan melanjutkan tuntutan pentadbiran Syed Razak RM100 juta setahun, maka tuntutan itu amat munasabah. Jika kerajaan Pusat enggan membuat pembayaran tersebut, munasabah pula jika kerajaan negeri mengugut untuk menebang balak di kawasan tadahan air. Tebangan yang dibuat bukan secara rakus seperti yang dilakukan kerajaan BN sebelum ini sehingga menggondolkan seluruh hutan. Ia menggunakan kaedah 'heli-harvesting' yang mengambil cuma tiga hingga empat pokok sehektar. Tidak terjejas pun alam sekitar. Itu pun, bersyarat. Syaratnya jika mendapat kelulusan dari Environmental Impact Assessment (EIA). Tanpa kelulusan, projek dibatalkan. Hakikatnya, isu balak sangatlah mudah. Bukan besar sangat, sampai perlu disensasikan TV3 demikian rupa dengan menyeret semua pihak yang tidak tahu keadaan sebenar untuk turut berpolemik. Ketua Menteri Pulau Pinang dan Menteri Besar Kelantan, diajukan gambaran yang salah, kemudian diminta komen. Itulah modus operandi yang digunakan media-media primitif sejak berzaman untuk melagakan sesama manusia. Sebenarnya, selepas 100 hari pun pihak musuh masih tercari-cari ruang untuk menyerang kerajaan negeri Kedah. Bunyi tembakannya macam kuat sangat, tapi cuma peluru kapur. - mks._ |
Saturday, July 12, 2008
Tembakan peluru kapur TV3
Posted by
Sang Pemantau
at
12:12 AM
Labels: Harakahdaily, MB Kedah, TV3
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment