Mohd Nor Yahya Sun | Sep 28, 08 | 3:25:31 pm MYT | |
TUMPAT, 28 Sept (Hrkh) - Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dianggap berada pada kedudukan paling terdesak dalam sejarah politiknya apabila terpaksa berundur lebih awal berbanding pelan peralihan kuasa pada Jun 2010. Kemelut dalamannya jelas kelihatan apabila terpaksa menangguhkan lagi Perhimpunan Agung Umno kepada Mac tahun hadapan, yang tidak pernah berlaku dalam sejarah Umno apabila ditunda sebanyak dua kali. Sepatutnya perhimpunan itu berlangsung tahun lepas namun ditangguh bagi menghadapi pilihan raya umum ke-12. Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamaruddin Jaafar berkata, Umno sedang menghadapai krisis yang amat besar kerana seluruh pimpinan Umno dan akar umbi tidak�yakin lagi dengan Presiden parti itu. "Perdana Menteri tidak layak lagi menerajui Malaysia dan rakyat seharusnya sedar apa yang diusahakan Pakatan Rakyat bagi menukar kerajaan tepat pada masanya," katanya ketika ditemui di majlis penyampaian sumbangan Hari Raya kepada ketua-ketua cawangan PAS di kawasan parlimen Tumpat di sini semalam. Jumaat lalu Majlis Tertinggi Umno membuat keputusan menunda perhimpunan agung parti itu kepada Mac tahun hadapan bagi melancarkan pelan peralihan. Perhimpunan parti itu sepatutnya diadakan pada 16 hingga 20 Disember depan. Keputusan berkenaan disifatkan Ketua Umno Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah tiada peruntukan dalam perlembagaan parti itu dan berharap ahli-ahli Umno menolak penangguhan tersebut. Menurutnya pemilihan parti mesti dilakukan setiap tiga tahun sekali di semua peringkat. Kamaruddin juga bekas Ketua Umno Tumpat berkata, banyak faktor yang mewajarkan Abdullah berundur segera antaranya ketidakyakinan pelabur asing terhadap ekonomi negara ini. Kata beliau ahli Umno di peringkat akar umbi mahu Abdullah turun dan diberi peluang kepada Dato Seri Najib Razak menerajui seketika pentadbiran negara. Malah difahamkan kata beliau kumpulan kedua dalam Umno sekarang sedang mewujudkan gandingan lebih mantap bersama Najib termasuk Tan Sri Muhyuddin Yassin dan Dato' Zahid Hamidi. "Apapun yang jelas sekarang Umno bagaikan sebuah kapal yang sedang karam dan sesiapa pun sebagai nakhodanya ia tetap akan karam juga. "Oleh itu saya berharap ahli Umno berfikir mulai sekarang sanggupkah mereka berada bersama-sama dalam kapal yang sedang menuju ke dasar laut atau berpaut di sekeping papan yang boleh menyelamatkan mereka," kata beliau. Kamaruddin juga berkata, kesan yang paling ketara dirasai Perdana Menteri dengan kekalahan teruk pada pilihan raya kecil Permatang Pauh Ogos lalu sehingga tekanan yang diterima Abdullah semakin hebat. "Kalau selama ini PAS dan Pakatan Rakyat yang mendesak supaya ditukar kerajaan yang ada sekarang, namun hari ini Umno sendiri juga sudah tidak�yakin dengan pucuk pimpinan mereka. "Oleh itu, sudah sampai masanya ahli parlimen BN bersama Pakatan Rakyat�untuk membolehkan kestabilan politik negara dipulihkan," katanya. Menurutnya juga pemimpin kompenan BN juga kini mengambil sikap tunggu dan lihat terhadap perkembangan dalam Umno sebelum mengambil langkah sewajarnya bagi masa depan politik mereka. Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Kelantan, Drs Zainuddin Awang Hamat berkata, Abdullah perlu melihat sejarah kejatuhan bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin yang begitu memalukan kerana tidak menghiraukan desakan rakyat. Katanya, Perdana Menteri perlu mengambil langkah paling sukar dalam hidupnya sekiranya tidak mahu dicatat dalam sejarah sebagai seorang ketua negara yang jatuh dalam keadaan paling mengaibkan. "Tun Dr Mahathir Mohamad akan dianggap lebih bermaruah berbanding dengan Abdullah sekiranya terus berdegil mempertahankan kedudukan sekarang. Maka jalan paling wajar memberi ruang kepada Najib merasai seketika kedudukan nombor satu. "Abdullah akan dianggap bijak kerana kejatuhan empayar BN yang berusia lebih 50 tahun bukan di eranya sebaliknya ketika Najib mengetuai kerajaan. Setidak-tidaknya Abdullah tidak dicatat memusnahkan sejarah BN," katanya. Beliau juga yakin Najib tidak akan lama berada di kedudukan selesa kerana gelombang rakyat sekarang bukan sekadar menukar pemimpin sebaliknya mahukan kerajaan yang lebih bersih dan adil. - mj _ |
Sunday, September 28, 2008
Abdullah melangkah ke penghujung karier politik
Posted by
Sang Pemantau
at
10:59 PM
Labels: Harakahdaily, Pak Lah undur
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment