Detik Daily Oleh SHIRZAD LIFEBOAT "Mengapa baca Harakah?" "Saya berminat dengan Islam dan saya rasa Harakah cool. Ada jiwa Islam di situ." "Maksudnya?" "Yalah. PAS itu 'kan parti Islam. Politik cara Islam. Ada pula rencana mengenai agama. Macam-macam lagi. Banyak yang boleh di dapati dari Harakah." Soalan ini pernah saya tanyakan beberapa minggu lalu kepada seorang juruaudit berstatus "akauntan awam bertauliah" dan berkerja di sebuah daripada empat firma pengauditan antarabangsa terbesar di dunia, berusia 27 tahun dan bergaji kira-kira RM7,000 sebulan, ketika saya melihat Harakah di tempat duduk belakang keretanya. Beberapa hari lepas, seorang guru sekolah menengah berkelulusan jurusan matematik sebuah universiti di United Kingdom memberitahu saya, sejak kebelakangan ini dia tidak pernah terlupa membeli Harakah. Dia dan isterinya, seorang pembroker saham menjadikan akhbar ini sebagai bahan bacaan wajib. "Aku suka baca alternative views. Wife aku pulak suka baca tulisan tentang agama," jelasnya. Sementara anak muda yang saya sebutkan itu bukan seorang ahli parti tetapi pernah melahirkan hasrat untuk menyertai PAS, guru berusia 49 tahun itu adalah merupakan ahli berdaftar Umno. Tentu sekali ini bukan satu wawancara dilakukan sebagai 'kajian pasaran'. Ia berlaku secara spontan dan kebetulan. Namun, moral di sebalik jawapan yang diterima itu ialah betapa tagline "Membangun Bersama Islam" sedikit sebanyak mempengaruhi masyarakat atau massa. Justeru, dalam sebutan "media massa", Harakah berjaya muncul sebagai sebuah media yang menembusi audien pembaca dari kalangan masyarakat biasa (massa) dan berjaya pula menarik golongan muda profesional tertarik kepada wacana Islam dan berminat pula dengan PAS. Namun, hal ini tidak mungkin berlaku sekiranya Harakah menghadkan dasar penerbitannya sebagai sebuah organ parti yang terlalu terkongkong kepada liputan kegiatan parti dan kenyataan pemimpinnya sahaja. Saya dimaklumkan, dalam satu sesi brainstorming yang diadakan pada awal 1990-an bagi menentukan hala tuju akhbar, maka model yang dipersetujui ialah model dan format yang dipakai harian The Star, yang dimiliki MCA, yakni memperjuangkan MCA tetapi dipersembahkan untuk kepentingan umum. Namun The Star bukanlah akhbar pertama berbuat demikian. Akhbar lain di seluruh dunia yang bermula sebagai organ parti politik termasuk juga organ kerajaan seperti Asahi Shimbun di Jepun, The New York Times di Amerika Syarikat dan Prava di Soviet Union. Semua akhbar ini sudah tentulah tidak akan menikmati audien besar dalam kiraan puluhan juta dan muncul sebagai media yang mempengaruhi pendapat umum sekiranya ia hanya berperanan sebagai organ yang semata-mata menyampaikan matlamat parti. Sebaliknya, sejarah memperlihatkan apabila dasar penyuntingan sesebuah akhbar itu membatasi kandungan akhbar kepada sekadar berita, maklumat dan kenyataan pemimpin-pemimpin parti dan rencana yang berkisar kepada hujah mengapa parti itu betul dan parti lain salah, maka ia tidak akan menjadi sebuah alat sebaran am atau media massa yang berkesan. Umum akan bersikap prejudis dan akhbar berkenaan akan susut kepada sebuah makalah. Ia dan tidak mampu menarik minat lebih ramai khalayak pembaca menyokong apa jua ideologi yang cuba dibawakan oleh parti berkenaan. Inilah psikologi pemasaran yang terbukti berkesan bukan sahaja dari segi penjualan akhbar itu sendiri tetapi juga dalam penjualan dan penyebaran ideologi parti. Apabila Harakah mula diterbitkan pada Mac 1987, kandungan editorialnya agak lebih menjurus kepada lidah rasmi PAS dengan kemampuan 35,000 edaran setiap keluaran. Namun selepas sesi brainstorming yang diadakan pada awal 1990-an, Harakah untuk julung-julung kalinya berjaya mencatatkan edaran melebihi 100,000 naskhah setiap keluaran dan bermulalah era di mana Harakah menjadi sebuah akhbar yang menemui pelbagai golongan pembaca, selain daripada hanya ahli-ahli PAS. Jika Zulkifli Sulong adalah Ketua Pengarang Kumpulan Harakah yang turut mengasaskan kandungan editorial dalam format berkenaan, maka pada 1990-an itu, Ahmad Lutfi Othman yang menyertai Harakah turut menggunakan resepi yang sama tetapi dengan sentuhan peribadinya sendiri. Amalan dasar editorial yang konsisten dan kandungan seimbang di antara peranan sebagai lidah rasmi parti dan sebagai akhbar umum alternatif menyaksikan jumlah edaran puncak melebihi 300,000 naskah setiap keluaran. Apabila Ahmad Lutfi memutuskan meninggalkan Harakah tetapi terus berjuang sebagai agen media PAS menerusi majalah Detik, Wasilah, dan siri akhbar tidak berkala tanpa permit dan kemudiannya akhbar talian Detik Daily, format yang sama terus digunakan oleh penggantinya. Pada 2006, Ahmad Lutfi sekali lagi menyertai Harakah dalam keadaan akhbar ini sedang menunggang kitaran terbawah gelombangnya. Berlatar-belakangkan semua senario ini, Ahmad Lutfi berdepan tugasan ibarat mendaki bukit curam. Selain itu Harakah juga berdepan golongan generasi baru yang belum tentu lagi seradikal golongan generasi yang menyokong reformasi Anwar Ibrahim (dianggap antara faktor penyumbang kepada edaran tertinggi Harakah). Berdepan segala masalah dan segala tidak ketentuan ini, Ahmad Lutfi memilih untuk memperkukuhkan peranan Harakah sebagai sebuah media utama bacaan umum sambil mengimbangi peranan akhbar ini sebagai organ dan lidah rasmi PAS. Saya perhatikan berita kurang penting mengenai aktiviti parti dikurangkan dan sebaliknya, berita (dan ulasannya) yang bersifat nasional serta menyentuh dasar perjuangan PAS secara am dipaparkan dengan harapan ia dapat mengubah persepsi pembaca dan sekali gus menyokong perjuangan PAS. Usaha ini bukanlah mudah. Ia menuntut kepada keberanian dan kesanggupan mengambil risiko berkira. Dalam pada itu ia juga memerlukan kreativiti termasuk dari segi persembahan susun-atur kerana dandanan halaman yang segar boleh menarik pembaca. Alhamdulillah, Harakah terus menarik perhatian umum apabila jumlah edarannya dapat ditingkatkan, manakala akhbar internet HarakahDaily menikmati pengkadaran pembaca antara tertinggi di kalangan akhbar internet dunia. Kemuncak dari semua ini menjadi faktor penyumbang keputusan Pilihan Raya Umum ke-12 yang menyaksikan berlakunya tsunami politik Malaysia. Apa pun, cara Ahmad Lutfi tidak semestinya mendapat anggukan positif dalam PAS. Pengendali akhbar parti mungkin tersudut sebagai orang paling tidak popular. Harapan saya agar pimpinan PAS terus mengamalkan sikap terbuka terhadap pendekatan siapa jua ketua pengarang Harakah yang diamanahkan, tanpa mengetepikan hakikat bahawa kepimpinan parti pastinya berkuasa menentukan Harakah agar tidak melencong dari peranan hakikinya.
Posted on Friday, September 26 @ 16:22:23 MYT by reformis
Malangnya bermula dari tahun 2000 sehinggalah akhir 2006, jumlah edaran Harakah mengalami keadaan yo-yo apabila Kerajaan menerusi Kementerian Dalam Negeri mengeluarkan pelbagai arahan bagi mengekang populariti akhbar ini sebagai sebuah bahan bacaan umum yang begitu berkesan dalam membentuk pendapat awam.
Para penganalisis ketika itu berpendapat kerajaan sudah tentu tidak perlu mengambil pelbagai tindakan ke atas Harakah sekiranya kandungan editorial akhbar ini seratus-peratus merupakan lidah rasmi parti yang hanya menyediakan apa juga maklumat mengenai PAS.
Perlu disedari betapa akhbar adalah satu-satunya produk yang pelik. Meminjam kata-kata ahli psikologi terkemuka Robert E, Park (pernah berjawatan Profesor Psikologi di Harvard University): "Sebuah akhbar, ibarat sebuah kotaraya moden bukanlah sebuah produk yang pada keseluruhannya rasional. Tiada siapa yang mahu mencari keadilan dengannya. Di sebalik pelbagai usaha individu manusia dari pelbagai generasi untuk menguasainya dan menjadikan akhbar itu sesuatu berpunca dari hati nalurinya, ia terus berkembang dengan caranya tersendiri yang tidak dapat diramalkan."
Sunday, September 28, 2008
Tidak mudah mengendalikan Harakah
Posted by
Sang Pemantau
at
11:02 PM
Labels: Detik daily, Harakahdaily
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment