KUALA LUMPUR - Kesemua anak kapal tangki milik Malaysia, Bunga Melati 5 yang dijadikan tebusan oleh lanun Somalia sejak bulan lalu telah dibebaskan semalam.
Pengarah Program Bantuan Pelaut Afrika Timur (EASAP), Andrew Mwangura berkata, kapal berkenaan dibebaskan bersama kesemua 41 anak kapal selepas sejumlah wang tebusan dibayar.
Mwangura berkata, pembebasan kapal Bunga Melati 5 yang membawa bahan kimia itu dibuat semalam selepas wang tebusan AS$2 juta dibuat.
"Wang tebusan itu telah dihantar oleh tentera laut Malaysia yang berada di kawasan tersebut," katanya yang dipetik Reuters semalam.
Pada 29 Ogos lalu, kapal tangki Malaysia kedua, MT Bunga Melati 5 ditawan oleh lanun tidak dikenali di perairan antarabangsa di luar pantai Yaman pada 9.50 malam.
Ada 41 anak kapal dan 36 daripadanya adalah rakyat Malaysia manakala lima lagi rakyat Filipina.
Semasa kejadian, kapal tangki, yang membawa muatan 30,000 tan metrik petrokimia, sedang dalam perjalanan ke Singapura dari Yanbu, Arab Saudi.
Pada 19 Ogos, kapal MT Bunga Melati Dua, ditawan oleh sekumpulan lanun bersenjata di Teluk Aden, antara Yaman dan Somalia.
Kapal yang membawa muatan minyak sawit dengan anak kapal terdiri daripada 29 rakyat Malaysia dan 10 warga Filipina, diserang pada kira-kira 10.00 malam, semasa dalam perjalanan menuju ke Rotterdam dari Dumai, Sumatera.
0 comments:
Post a Comment