+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Wednesday, November 5, 2008

Hentikan tindakan politik keterlaluan - Sultan Azlan

Mstar Online

DR. MOHD. Helmi Ismail menyembahkan memorandum kepada Sultan Azlan Shah di Istana Iskandariah hari ini. Turut hadir Raja Dihilir Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa. - foto The Star oleh SAIFUL BAHRI

KUALA KANGSAR: Sultan Perak, Sultan Azlan Shah mahu rakyat menghentikan segera tindakan politik keterlaluan berhubung kedudukan dan kebesaran Rajaraja Melayu, agama Islam, Bahasa Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaumkaum lain.

Baginda bertitah kebajikan rakyat yang telah memilih kerajaan hendaklah diutamakan dan keamanan negara serta kerukunan rakyat tidak harus dikorbankan semata-mata disebabkan oleh perebutan kuasa dalam kalangan pemimpin dan kumpulan tertentu.

"Jika berlaku kesilapan dan kegelinciran di peringkat pelaksanaan dasar tertentu, yang perlu diperbetulkan adalah mekanisme pelaksanaan. Dasar tunjang yang menjadi asas kepada pembinaan sebuah negara merdeka ini tidak harus disentuh, diuji dan dicabar sama sekali.

"Perbuatan demikian jika tidak dihentikan, dibimbangkan akan mengguris hati dan emosi orang Melayu," titah baginda di Istana Iskandariah di sini hari ini selepas dipersembahkan satu memorandum oleh Gabungan Melayu Perak.

Memorandum berkenaan mengandungi hasrat dan perasaan orang Melayu yang menjunjung kasih kenyataan khas Majlis Raja-raja Melayu pada bulan lepas berhubung perkara-perkara tersebut yang menjadi asas utama pembentukan negara Malaysia dan termasuk dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sultan Azlan bertitah sebarang pindaan Perlembagaan menyentuh Raja-raja serta bidang kuasa Raja Pemerintah merangkumi agama Islam, bahasa kebangsaan, kedudukan orang Melayu serta Bumiputera di Sabah dan Sarawak, perlu terlebih dahulu mendapat perkenan Raja-raja.

Menurut baginda, Raja-raja memahami bahawa Perlembagaan Persekutuan juga memberi pengiktirafan dan perlindungan kepada warga pelbagai bangsa, agama, bahasa dan budaya.

"Persefahaman dan persetujuan yang telah termaktub dalam kontrak sosial berkenaan telah membolehkan negara mencapai kejayaan, kemajuan, keharmonian dan kestabilan," titah baginda.

Hampir 2,000 wakil dari pertubuhan bukan kerajaan, ahli persatuan silat dan persatuan seni dari seluruh Perak dan Kuala Lumpur yang diketuai pengerusi gabungan itu Datuk Seri Mohd Hilmi Ismail menyertai perarakan aman yang bermula dari Masjid Ubudiah ke istana bagi menyerahkan memorandum itu. BERNAMA

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |