PETALING JAYA: Meskipun didesak oleh isterinya, Abby Abadi untuk bercerai, aktor Norman Hakim yang cukup sinonim dengan watak Inspektor Haris dalam drama bersiri Gerak Khas, tetap dengan pendiriannya untuk mempertahankan mahligai yang dibina lebih enam tahun lalu.
Bagaimanapun setelah berkali-kali soalan tentang hubungannya bersama pelakon baru Memey diajukan, Norman memberitahu mStar Online hari ini, pelakon muda berusia 20 tahun itu dan Abby, yang juga pelakon dan bekas penyanyi, adalah dua insan yang 'istimewa' baginya.
Minggu lalu, Norman dan Memey ditangkap berkhalwat oleh Jabatan Agama Islam Selangor di pejabat Norman di Ukay Perdana.
Kelmarin pula Abby mengunjungi Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur untuk memfailkan tuntutan bercerai tetapi tidak kesampaian kerana dokumen yang dikemukakan tidak lengkap termasuk tiada butiran lengkap mengenai Norman.
ABBY TETAP MAHU CERAI - DI SEGMEN BERITA
"Saya tidak mahu menafikan atau pun mengesahkan apa-apa. Cuma apa yang boleh saya katakan di sini, kedua-duanya memainkan peranan penting dalam hidup saya.
"Abby adalah seorang isteri yang sudah banyak berkorban untuk saya... dialah yang sentiasa memberi semangat untuk saya terus bertahan di dalam karier dan kehidupan sayasehingga kini, tetapi saya tidak nafikan pada masa yang sama, Memey pula sentiasa memberi inspirasi di dalam apa yang saya lakukan.
"Saya tidak mahu menidakkan atau mengesahkan apa-apa di sini. Saya takut, jika saya terus menafikan tetapi andai kata Allah sudah tentukan saya bertemu jodoh dengan Memey, masyarakat akan terus berkata saya bersandiwara pula.
"Saya masih menyayangi Abby sepenuh hati saya. Dia adalah ibu dan isteri yang terbaik.
"Tetapi dengan kuasa Allah, andai benarlah Memey ditakdirkan jodoh saya, saya tidak akan menolak untuk jadikan dia isteri kedua saya, tetapi saya tidak akan ceraikan Abby, kerana saya tetap sayangkan dia sampai bila-bila," kata Norman.
Dalam nada tegas, aktor berusia 32 tahun itu berkata, dia akan terus berusaha agar kekeruhan rumahtangganya itu dapat diselesaikan segera, tetapi bukan berakhir dengan jalan perceraian.
"Saya tidak akan serahkan lagi dokumen perceraian yang diberi olehnya tempoh hari.Seboleh mungkin, saya ingin ia berakhir dengan cara yang baik. Saya kenal Abby... dia memang nampak 'keras' di luar, tetapi hatinya cukup lembut.
"Saya tahu dia masih inginkan saya dalam hidupnya, termasuklah demi anak-anak juga. "Saya ada menghantar SMS kepadanya malam tadi dan saya beritahu dia 'hanya maut yang akan pisahkan kita', tetapi tiada respon daripada dia.
"Saya tidak kisah untuk berjumpa dengan pakar kaunseling. Malah, saya harap pihak media juga boleh menjadi platform untuk kami berbaik. Saya tidak mahu lagi masalah rumahtangga saya menjadi satu 'pementasan' pula.
"Insya-Allah, satu masa nanti, saya harap saya dapat membawa Abby dan Memey sekali untuk bersemuka terus dengan wartawan," kata bapa kepada tiga cahayamata iaitu Mohamed Danish Hakim, 5, Marissa Dania Hakim, 3 dan Maria Danisha Hakim, sebulan setengah.
Kata Norman, dia menganggap 'serangan' Abby yang turut disertai pihak media di set lokasi penggambaran drama bersiri Gerak Khas Isnin lalu adalah satu petanda bahawa perceraian yang diminta itu sebenarnya tidak 'direstui' oleh Allah.
"Saya bersyukur sebenarnya dia datang ke sana dengan membawa wartawan dan pada masa yang sama dokumen perceraian pula tidak lengkap.
"Ini sekali gus menunjukkan macam-macam benda yang menghalang kami dari bercerai.
"Saya faham perasaannya. Pada hari itu, bukan sengaja saya ingin pertahankan Memey, tetapi saya mahu semua orang faham, saya ingin jaga hati Abby dan Memey juga kerana saya rasa saya bertanggungjawab atas apa yang terjadi ini. Bukan bermaksud melebihkan mana-mana pihak.
"Saya ingin dia dan saya sendiri sama-sama membaiki kelemahan diri. Saya sedar, saya mungkin bukan suami yang baik dan saya akan berusaha untuk perbaikinya. Saya tidak mahu keadaan bertambah buruk," kata Norman.
Ujarnya lagi, dia memang tidak pulang ke rumah sejak kes khalwat itu untuk mengelak pertengkaran dengan Abby. Namun, jelas Norman, bila keadaan kembali tenang, dia berharap dapat bersemuka dengan Abby secara baik.
"Ketika ini saya tinggal di rumah saudara-mara.. kadang-kadang di Bangsar dan adakalanya di Kuala Lumpur. Buat masa ini, saya mahu keadaan reda dulu dan mungkin selepas itu saya harap kami boleh selesaikan dengan baik.
"Tak guna untuk berdepan sekarang kerana saya yakin pertengkaran pasti akan berlaku," kata Norman.
0 comments:
Post a Comment