+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Wednesday, November 5, 2008

Eurocopter: Najib mula berpesta

Harakahdaily

Abdul Aziz Mustafa
Wed | Nov 05, 08 | 2:24:47 pm MYT

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Hrkh) - Kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) Datuk Azmi Khalid bahawa tidak ada penyelewengan dari segi prosedur pembelian 12 unit helikopter Eurocopter EC725 bernilai RM1.604 bilion digunakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk berpesta membidas pembangkang hari ini.

Beliau, yang menjadi Menteri Pertahanan ketika pembelian itu diputuskan, mendakwa tuduhan pembangkang bahawa kerajaan berbelanja besar bagi pembelian 12 unit helikopter Eurocopter EC725 bernilai RM1.604 bilion ternyata meleset dan tidak berasas berdasarkan penilaian Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Najib tidak pula mengulas laporan bahawa keputusan PAC yang diumumkan oleh Azmi itu tidak sebulat suara.

Beberapa anggota jawatankuasa itu berpendapat urusniaga untuk membeli Eurocopter EC725 Cougar bagi menggantikan helikopter Nuri yang berusia 42 tahun tidak dijalankan dengan sepatutnya.

Mereka memandang berat hakikat bahawa urusniaga itu hanya dibuat untuk Eurocopter.

"Tidak ada penender yang dipanggil untuk mengemukakan klarifikasi tender pada dokumen tender," Malaysian Insider memetik salah seorang anggota PAC.

Semalam, Penasihat DAP, Lim Kit Siang mengecam Azmi kerana kenyataannya yang mendakwa tidak ada penyelewengan dari segi prosedur dalam pembelian Eurocopter itu.

"Keputusan yang dibuat bukan berdasarkan pandangan semua ahli PAC, ia sangat tidak adil dan tidak demokrasi apabila Azmi mendakwa keputusan tersebut adalah keputusan bersama.

"Saya juga diberitahu bahawa tiada sebarang undian dibuat sebelum keputusan itu dibuat," katanya.

Lim menyifatkan Azmi sebagai mendakwa sebagai boneka kepada beberapa kementerian tertentu dalam membuat keputusan berhubung siasatan jawatankuasa tersebut terhadap isu pembelian Eurocopter EC-725 itu.

Katanya, keputusan yang yang diumukan Azmi semalam yang mendapati tiada sebarang penyelewengan dari segi prosedur pembelian tersebut akan menyebabkan menghilangkan keyakinan rakyat terhadap PAC.

"Bagaimana beliau mendakwa tiada penyelewengan dalam prosedur urusan tender sedangkan tiada penilaian fizikal dan pandu uji dibuat terhadap helikopter berkenaan... itulah penyelewengan prosedur," katanya pada sidang media di lobi Parlimen.

Lim juga menggesa supaya Azmi menyerahkan laporan lengkap siasatan tersebut kepada Parlimen untuk dibahaskan sama ada untuk menerima atau menolak keputusan yang dibuat.

Beliau meminta Azmi bertindak sebagai pengerusi PAC yang telus tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak untuk kepentingan tertentu.

"Saya bukan minta dia undur, saya hanya mahu dia berindak sebagai pengerusi yang betul kerana pencapaiaannya kini sebagai pengerusi amat mendukacitakan," katanya.

Lim mengingatkan Azmi supaya tidak mempunyai 'pemikiran ala menteri' yang akan mempengaruhi keputusannya yang boleh mewujudkan keraguan orang ramai.

Kontroversi pembelian Eurocopter yang pertama kali dibangkitkan oleh blogger Syed Azidi Bukhari semakin hangat selepas Mentari Services Sdn Bhd mempertikaikan tatacara perolehan helikopter tersebut.

Pengerusi syarikat itu, Kapt (B) Datuk Zahar Hashim mendakwa keputusan kementerian mengeluarkan surat hasrat (LOI) kepada Eurocopter "agak luar biasa dan bertentangan dengan prosedur yang telah diamalkan selama ini."

Malaysia telah menandatangani kontrak berjumlah RM2 bilion hanya untuk 12 buah helikopter sedangkan Brazil telah menandatangani kontrak pembelian 50 buah helikopter yang bernilai US$1.2 bilion ataupun RM4 bilion._

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |