Kerajaan perkenal langkah rancak pertumbuhan ekonomi
KUALA LUMPUR: Kerajaan memperkenalkan beberapa langkah menambah pendapatan golongan pekerja, termasuk membenarkan pengurangan potongan caruman mereka kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara sukarela sebanyak 3.0 peratus selama dua tahun, mulai 1 Januari 2009.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak, berkata langkah itu bertujuan menambah pendapatan boleh guna golongan pekerja, sekali gus merangsang perbelanjaan untuk merancakkan ekonomi.
"Dengan penurunan berkenaan, jumlah caruman masih pada tahap munasabah 20 peratus, iaitu 12 peratus majikan dan lapan peratus pekerja berbanding kadar semasa, iaitu masing-masing 12 peratus dan 11 peratus.
"Seseorang yang berpendapatan RM2,000 sebulan akan memperoleh pendapatan boleh guna tambahan RM60 ringgit sebulan, manakala yang berpendapatan RM6,000 sebulan akan memperoleh tambahan RM180 sebulan," katanya ketika menggulung Perbahasan Bajet 2009, di Dewan Rakyat, semalam.
Najib berkata, jika semua pencarum memilih untuk mengurangkan caruman mereka kepada KWSP itu, jumlah yang terbabit dianggarkan adalah sebanyak RM4.8 bilion setahun.
"Sekiranya kita mengandaikan bahawa hanya 50 peratus daripada pencarum akan menggunakan kemudahan ini, perbelanjaan penggunaan swasta dijangka dapat ditingkatkan pada kadar RM2.4 bilion setahun," katanya.
Sementara itu, katanya, untuk memudahkan penjawat awam memiliki kereta sendiri, kerajaan juga akan meningkatkan had kelayakan pinjaman kenderaan bagi golongan itu pada kadar yang sudah ditetapkan seperti berikut:
Najib berkata, penjawat awam juga akan dibenarkan mengambil pinjaman perumahan bagi hartanah di pasaran sekunder yang hak milik strata belum dikeluarkan, manakala tempoh bayaran balik bagi pinjaman baru itu dilanjutkan daripada 25 kepada 30 tahun.
"Untuk memastikan peminjam sedia ada mendapat kemudahan sama, mereka juga diberi pilihan untuk melanjutkan tempoh pinjaman kepada 30 tahun dan langkah ini juga diharap dapat membantu menambah pendapatan boleh guna peminjam.
"Sebagai contoh, seorang penjawat awam yang kini mempunyai pinjaman RM190,000 selama 25 tahun, dan sudah menjelaskan ansuran selama 10 tahun, lanjutan tempoh pinjaman membolehkan mereka mengurangkan ansuran bulanan daripada RM1,000 kepada RM820," katanya.
Najib berkata, kerajaan menerusi Bank Negara juga akan menyarankan dan menggesa pihak bank untuk mengambil inisiatif memberi kelonggaran serta menstrukturkan semula pinjaman bagi mereka yang memerlukan. � Bernama
0 comments:
Post a Comment