+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Thursday, September 18, 2008

Sepatutnya tukar Najib jadi PM dan Abdullah jadi TPM - Husam

Harakahdaily

Rizal Tahir
Thu | Sep 18, 08 | 3:40:24 pm MYT



KOTA BHARU, 18 Sept (Hrkh) - "Kalau mahu buat pertukaran sepatutnya, Najib Tun Razak jadi Pendana Menteri (PM), manakala Abdullah Badawi sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM)."

Begitu menurut kata Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa, sewaktu diminta mengulas pertukaran portfolio jawatan antara PM dan juga TPM.

"Kalau Pak Lah mahu melambatkan kejatuhannya dengan pertukaran tersebut ianya tidak berkesan.

"Kalau mahu juga buat pertukaran, saya cadangkan supaya Pak Lah jadi TPM manakala Najib menjadi PM," katanya.

Sementara itu sewaktu mengulas penangkapan blogger Kickdefalla, Husam berkata, kerajaan pusat sekarang terdesak mengunakan pelbagai akta untuk menakut-nakutkan rakyat.

"Kalau dah lemah mengaku sahaja lemah, jangan mengunakan kuasa kuku besi untuk menakut-nakutkan rakyat.

"Lalat dan langau pun disangkakan gajah, ini menunjukkan kerajaan sekarang bergitu lemah," ujarnya.

Kickdefella, atau nama sebenarnya Syed Azidi Syed Aziz, ditahan di rumahnya di Kampung Demit Kubang Kerian pada pukul lima petang semalam di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan. - mns_

Read More...

Harga borong, runcit barangan lebih tinggi

PUTRAJAYA 17 Sept. - Kerajaan hari ini mengumumkan harga borong dan runcit barangan di seluruh negara yang lebih tinggi berikutan kesan peningkatan kos pengeluaran, harga makanan ternakan dan pengimportan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, harga yang dikenal pasti di 138 kawasan itu melibatkan ayam hidup, ayam standard, ayam super, daging kerbau import India serta telur ayam gred A, B dan C.

Kata beliau, secara keseluruhan harga yang ditetapkan adalah lebih tinggi kerana trend semasa menunjukkan paras yang meningkat sebelum penetapan harga dibuat.

"Bagaimanapun harga yang ditetapkan masih berada pada paras normal pasaran sekarang.

"Apapun peniaga tidak dibenarkan menjual barang-barang yang tersenarai dalam Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) melebihi harga maksimum ditetapkan,'' katanya.

Beliau memberi amaran tindakan akan diambil kepada peniaga yang ingkar.

Shahrir mengumumkan penetapan harga maksimum borong dan runcit barang-barang terkawal Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) sempena Hari Raya Puasa dan Deepavali 2008 pada sidang akhbar di sini.

Menurutnya, harga ayam yang naik RM1 berbanding tahun lepas membuktikan kerajaan prihatin dengan perubahan pasaran.

"Kita sudah pendekkan tempoh SKHMP dua minggu sahaja tahun ini berbanding 38 hari tahun lalu kerana tidak mahu memberi tekanan kepada peniaga,'' katanya.

Barang-barang lain yang terlibat dalam SKHMP ialah daging lembu tempatan, daging kambing tempatan bertulang, daging kambing biri-biri import bertulang dan daging kambing biri-biri import tanpa tulang, kubis bulat import, cili merah, kelapa parut, bawang merah kecil, tomato dan ikan kembung tempatan.

Bagi memastikan bekalan mencukupi, Shahrir berkata, kerajaan membenarkan import kelapa dari Indonesia sebanyak 150,000 biji dan 6,650 tan metrik ayam dari Thailand dan China.

Beliau memberitahu, ketetapan harga barang dibuat selepas mengambil kira pandangan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

Perbincangan turut dibuat dengan pengimport, pengeluar, pembekal dan pemborong.

Shahrir memberitahu setakat ini sebanyak 25,276 lesen telah dikeluarkan di seluruh negara untuk Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali.

Tegas beliau, pihak kementerian akan meneruskan usaha melindungi pengguna daripada perbuatan mencatu barangan oleh peniaga-peniaga yang tidak beretika semasa musim perayaan.

Read More...

Anwar: 'Tiada sebab tahan saya bawah ISA'

Malaysiakini

Muda Mohd Noor | Sep 18, 08 5:41pm

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata, tiada sebab untuk menahan beliau di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

“Jelas tiada pilihan ke arah itu," katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini ketika ditanya kemungkinan beliau ditahan di bawah akta itu.

Sebaliknya, kata beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi seharusnya memberi tumpuan kepada masalah politik dan ekonomi.

Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan ketua pembangkang itu sebagai "satu ancaman kepada ekonomi negara, bahkan kemungkinan keselamatan".

Abdullah dilaporkan berkata, ekoran tindak tanduk Anwar itu, terdapat pengurus dana yang membuat laporan kononnya Malaysia bukan tempat yang baik untuk membuat pelaburan kerana suasana politik negara yang tidak menentu," katanya.

Ditanya mengenai tindakan yang bakal diambil oleh kerajaan terhadap Anwar ekoran ancaman tersebut, Abdullah juga dilaporkan berkata, kerajaan akan melakukan apa yang perlu.

Anwar menolak dakwaan Abdullah bahawa beliau menjadi faktor kemerosotan ekonomi negara dan keselamatan negara.

Katanya, penganalisis ekonomi serantau tidak menyebut Anwar sebagai faktor kejatuhan harga saham dan ekonomi.

Sebaliknya, kata beliau saham merudum selepas pengumuman menteri kewangan yang baru dan faktor global.

"Dasar yang ditekan oleh Pakatan ialah kebebasan media dan jenayah telah menyebabkan negara hilang daya saing," katanya.

Anwar berkata, BN sudah menjadi minoriti kerana majoriti ahli Parlimen telah bersama Pakatan Rakyat.

"Sebaliknya, PKR, PAS dan DAP mahu menstabilkan dan menyelamatkan politik dan ekonomi negara," katanya.

Read More...

Tindakan ke atas Anwar, kerajaan lihat suasana negara - Syed Hamid

Mstar Online

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri akan memantau keadaan dan suasana dalam negara termasuk tindak tanduk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum mengambil sebarang tindakan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, keselamatan dan ketenteraman awam penting bagi memastikan negara dalam keadaan aman dan manamana pihak yang cuba menjejaskannya boleh dikenakan tindakan.

Bagaimanapun, beliau meminta orang ramai agar jangan membuat sebarang andaian atau spekulasi mengenai tindakan kementeriannya.

"Lebih baik kita tengok suasana... bila tiba masanya jika perlu ambil tindakan kita akan ambil tindakan, tapi jangan buat spekulasi," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam berkata Anwar kini sudah menjadi ancaman kepada ekonomi dan keselamatan negara.

"Kita akan melaksanakan tugas untuk memerintah dan mentadbir sebagai mandat yang diberikan kerajaan.

"Apa tindakan yang akan kita ambil, kita akan ambil bila tiba masanya tapi saya tidak mahu bincangkan perkara ini sebelum masanya tiba dan perkara itu berlaku," kata Syed Hamid.

Syed Hamid berkata, tidak ada keperluan untuk membincangkan perihal Anwar setiap hari seolah-olah Malaysia ditadbir dan dikawal oleh Anwar.

"Kita tidak perlu tiaptiap hari bincang mengenai ketua pembangkang itu banyak lagi bendabenda yang boleh kita buat," katanya.

Mengenai penahanan penulis blog "Kickdefella", Syed Azidi Syed Aziz di rumahnya di Demit, Kota Baharu mengikut Akta Hasutan semalam, Syed Hamid berkata, ia adalah sebahagian daripada pelaksanaan undang-undang.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, pegawainya telah menerima laporan polis yang dibuat oleh Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok yang kini ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Ketika ditemui pada majlis yang sama, Ismail berkata bagaimanapun, beliau belum melihat laporan tersebut.

Semalam, Teresa melalui peguamnya Sankara Nair membuat laporan polis dan menyaman akhbar Utusan Malaysia, Pengarangnya Zaini Hassan dan bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Khir Toyo kerana memfitnahnya berkaitan isu larangan azan di sekitar Kota Damansara, Sri Serdang dan Puchong Jaya. BERNAMA

Read More...

Mustafa Ali akui faham teguran Mursyidul Am

Harakahdaily

Thu | Sep 18, 08 | 3:49:43 pm MYT

KOTA BHARU, 18 Sept (Hrkh) - Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Mustapa Ali menjelaskan faham segala teguran Mursyidul Am, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat terhadapnya baru-baru ini.

"Jadi apa sebab Tok Guru tegur saya itu saya fahamlah. Dan selepas itu saya ambil sikap tidak jawab Tok Guru. Saya sebagai anak, Tok Guru boleh panggil saya pada bila-bila masa sahaja.

"Jadi saya terus terang apabila keluar dalam Harakah kata Tok Guru tegur saya itu sebenarnya saya sudah menghantar mesej kepada Setiausaha Politiknya, Haji Annual Bakri Haron.

"Saya kata sampaikan terima kasih saya kepada Tok Guru. Jadi rasanya ada sesuatu yang Tok Guru tegur saya dan saya sendiri rasa tidak jelas. Jadi hari ini jelaslah," katanya kepada media selepas pertemuan dengan Menteri Kelantan di JKR 10, hari ini.

Baru-baru ini dalam wawancara ekslusif bersama Harakah, Mustafa yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat mendakwa pertukaran kerajaan pada 16 September tidak menjadi kenyataan.

Ekoran itu Tuan Guru Nik Abdul Aziz menegur kenyataan tersebut kerana dianggap bertentangan dengan keputusan yang dicapai pada muktamar di Ipoh Ogos lalu.

Pesuruhjaya PAS Terengganu itu berkata, beliau tidak boleh hendak cerita apa dimaksudkan jelas itu.

"Sebagai anak saya kena mari. Jadi apa yang diterangkan Tok Guru saya fahamlah. Bagi saya sekarang sudah tidak ada apalah.

"Dan InsyaAllah seterusnya tidak ada apa. Saya puas hati dan faham apa hasil pertemuan tadi," katanya.

Menurutnya beliau dan Tok Guru sebagai ayah dan anak dan hubungan di antara ayah dengan anak.

"Hubungan ayah dengan anak kadang-kadang ada benda-benda kecil, sebab ayah rasa dia hendak tegur dia tegur.

"Dan sebagai anak apabila kena kena tegur kadang-kadang ada rasa hendak cakap atau lagu mana ke... itu sudah menjadi perkara biasa," ujarnya.

Beliau menjelaskan isu itu bermula ada hubung kait interview khasnya yang disiarkan Harakah sebelum ini. Image

"Jadi tidak berbangkit dengan mana-mana isu lain dan ia hanya ada kaitan dengan interview saya dalam Harakah sahaja. Saya hormat Tok Guru macam ayah saya," katanya.

Oleh itu beliau menolak andaian yang menyebut PAS dilanda krisis.

"Bukan krisis sebagaimana diperkatakan. Kita akui ada perbezaan pendapat itu dan bukan krisis. Tok Guru akan tegur semua," katanya.

Manakala Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, isu itu seumpama kiambang bertaut bagi merapatkan hubungan kepemimpinan PAS. - mns_

Read More...

Selesai: Mustafa bertemu Nik Aziz di Kota Bharu


Siasahdaily

KOTA BHARU, 18 Sept: “Selesai,” kata Pengarah Pilihan raya PAS, Datuk Mustafa Ali sebaik sahaja selesai pertemuan antara beliau dengan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pagi ini.

Setelah dilihat bertembung dalam akhbar rasmi parti mereka, Harakah, Mustafa bertemu dengan Nik Abdul Aziz di kediaman rasmi Menteri Besar Kelantan, JKR 10 jam 10 pagi ini.

Pertemuan itu berlangsung lebih satu jam dalam suasana yang sangat harmoni.

"Ia umpama pertemuan anak dan ayah," kata Mustafa kepada wartawan.

Kedua-dua mereka dilihat bertembung apabila Harakah menyiarkan wawancara khas dengan Mustafa berkait dengan 16 September dan usaha menubuhkan kerajaan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mustafa, dalam wawancaranya, tidak pro sangat dengan projek itu.

Nik Aziz tidak bersetuju dengan Mustafa lalu membuat satu kenyataan kepada Harakah selepas lidah rasmi PAS itu menyiarkan wawancara Mustafa itu.

Harakah telah menyiarkan pula kenyataan Nik Aziz itu dan dijadikan berita utama muka belakang.

Tidak cukup dengan kenyataan itu, Nik Aziz telah sekali lagi mengkritik Mustafa dalam ceramahnya di Markas Tarbiyah PAS di Taman Melewar beberapa hari lepas.

Sesetengah pihak mendakwa Harakah menyekat kenyataan Nik Aziz seolah-olah tidak menyiarkannya dengan menuduh Harakah mengISAkan kenyataan itu.

Padahal apa yang dilakukan Harakah adalah menyiarkan kenyataan itu dengan mengambil fakta penting kenyataan itu dan dibuat dalam bentuk berita.

Read More...

PM tolak gesaan Anwar sidang khas Parlimen bincang undi tidak percaya

KUALA LUMPUR: Kira-kira empat jam selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa diadakan sidang khas Parlimen sebelum 23 September ini bagi membincangkan usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan beliau, Perdana Menteri berkata: "Tidak perlu."

Abdullah ketika ditemui selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno berkata, sidang tergempar Parlimen tidak perlu diadakan memandangkan Dewan Rakyat akan bersidang tidak lama lagi.

Dewan Rakyat dijadual bersidang 13 Oktober ini.

Perdana Menteri berkata, beliau tidak nampak sebab perlunya diadakan sidang khas Parlimen kerana Dewan Rakyat akan mula bersidang selepas Aidilfitri.

Kata Abdullah, Anwar boleh membangkitkan apa jua perkara sebaik sahaja Parlimen bersidang kelak.

Pada sidang media pukul 2 petang di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Anwar yang juga Ketua Pembangkang berkata, pihaknya mahu Perdana Menteri memanggil sidang tergempar Parlimen bagi membincangkan susana politik termasuk dakwaan kepercayaan ke atas Abdullah sudah terhakis.

Kelmarin, Abdullah telah menolak permintaan pertama Ketua Umum Pakatan Rakyat itu untuk membincangkan soal peralihan kuasa dan pembentukan kerajaan baru secara aman.

Anwar menjelaskan beliau tidak memaklumkan perkara itu kepada Speaker Dewan Rakyat kerana berdasarkan peraturan mesyuarat tersebut, ia hanya perlu dimaklum kepada Perdana Menteri yang akan memanjangkan kepada Speaker.

Kata Anwar, seandainya Perdana Menteri menolak permintaan tersebut beliau akan berbincang semula dengan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat untuk tindakan lanjut.

Pihak pembangkang akan membawa usul yang berbunyi "bahawa Dewan yang mulia ini telah hilang kepercayaan kepada Perdana Menteri dan kerajaan pimpinannya."

Ini kerana, menurut beliau, Peraturan Mesyuarat 11(3) yang memerlukan Parlimen untuk bersidang dengan segera kerana keadaan politik yang kritikal dan berlanjutan.

Ditanya mengapa tidak tunggu 13 Oktober ini iaitu tarikh Dewan Rakyat bersidang semula, beliau berkata, ia tidak boleh ditangguhkan kerajaan sebab majoriti di Dewan Rakyat sudah hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri.

"Saya ada cukup jumlah Ahli Parlimen. Ini bermakna kami ada suara majoriti untuk mengadakan undi tidak percaya kepada beliau dan kerajaannya," kata beliau.

Read More...

Anwar tuntut Parlimen adakan sidang tergempar

Malaysiakini

Muda Mohd Noor | Sep 18, 08 2:30pm

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata beliau telah menghantar surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menuntut beliau mengadakan sidang tergempar Dewan Rakyat bagi membahaskan usul tergempar terhadap kerajaan pimpinannya.

anwar ibrahim pc call for emergency parliament meeting 180908 02"Saya telah membuat permohonan rasmi supaya Parlimen mengadakan sidang tergempar untuk membahaskan usul tidak percaya terhadap kepimpinan Barisan Nasional, selewat-lewatnya pada 23 September.

"Ini mengikut Peraturan 11 (3) Parliament sebagai respons segera terhadap politik hari ini," katanya.

Bercakap dalam satu sidang akhbar, pemimpin Pakatan Rakyat itu berkata, pakatan pembangkang mahu membahaskan usul tidak percaya terhadap Abdullah.

Anwar mahu sidang tergempar itu diadakan selewat-lewatnya Selasa depan.

"Jika permintaan tersebut ditolak, kami pemimpin Pakatan akan berbincang segera untuk mengambil pilihan lain.

"Kamu tidak boleh melengah-lengahkan sidang tergempar tersebut kerana majoriti ahli Parlimen sudah bersama kami.

"Kamu lihat dalam sidang Parlimen nanti jika tidak percaya," katanya.

Anwar juga berkata tiada sebab untuk beliau ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

"Apa yang kita mahu ialah ahli Parlilmen, termasuk Teresa Kok, diberi hak menghadiri Parlimen pada hari Selasa," katanya merujuk kepada ahli parlimen pembangkang itu yang ditahan di bawah ISA.

"Di segi politik, ekonomi kita dalam krisis, kita tidak boleh tangguh (ambil alih kuasa)," katanya.

Malah, kata beliau, Pakatan (jika memerintah) pun sukar dalam keadaan ekonomi sekarang.

Beliau juga mendakwa Abdullah sengaja tidak mahu menerima keadaan sebenarnya.

"Jika beliau tidak percaya, pergilah ke Parlimen" kata Anwar.

bm version parliament standing orders section 11 3"Jika beliau mahu melihat butir-butir (senarai), adakan sidang tergempar Parlimen dan beliau akan lihat...jika beliau tidak percaya saya, pergilah ke Parlimen," tambahnya.

Anwar turut mengulangi bahawa beliau mempunyai jumlah penyertaan ahli parlimen BN yang cukup untuk mengambil alih kuasa.

Beliau bagaimanapun mendakwa mereka tidak mahu identiti mereka didedahkan sekarang bagi mengelak mereka daripada diganggu.

Anwar juga ditanya sama ada penangguhan pengumuman nama mereka itu akan menjejaskan imejnya di mata umum.

"Saya telah kata, kita ada senarainya, dan akan berkongsinya dengan PM. Jika gagal, kita akan ke Parlimen. Apa lagi yang anda mahu saya buat? Anda mahu saya menamakan mereka dan biarkan mereka diganggu?".

Menurut Anwar, mereka meminta beliau supaya jangan mengumumkan nama mereka buat masa ini.

Beliau menegaskan bahawa mereka yang melompat parti itu mahu jaminan keselamatan mereka sebelum nama mereka didedahkan.

Ditanya mengapa beliau tidak mahu menunggu sehingga 13 Oktober apabila sidang Parlimen disambung semula, Anwar berkata, keadaan politik dan ekonomi negara tidak mengizinkan untuk menunggu sehingga tarikh tersebut.

"Berapa lama anda boleh tunggu? Apakah visi baru dan rancangan ekonomi untuk masa ini? Sebarang kerajaan yang bertanggungjawab harus sekurang-kurangnya mempunyai satu pasukan petugas untuk menangani krisis ekonomi.

Menurut, kerajaan tidak mempunyainya tetap ia perlu ditangani dengan segera.

Sidang akhbar itu turut dihadiri oleh setiausaha agung PAS, Datuk Kamaruddin Jaffar dan ahli jawatankuasa pusat DAP, Anthony Loke.

Read More...

SAPP sah keluar daripada BN

Berita Harian

KOTA KINABALU:
Selepas tiga bulan mencetuskan kontroversi dengan menyokong usul undi tidak percaya terhadap kepemimpinan Pusat, Parti Maju Sabah (SAPP) semalam mengumumkan keluar daripada Barisan Nasional (BN).

Keputusan itu dibuat pada mesyuarat khas Majlis Tertinggi SAPP di Luyang dekat sini, yang dipengerusikan Presidennya, Datuk Yong Teck Lee.

Pada sidang media selepas mesyuarat dua setengah jam itu, Yong bagaimanapun berkata SAPP kekal sebagai parti politik bebas dan tidak akan memohon menyertai Pakatan Rakyat.
"Ini adalah suara majoriti dan 30 daripada 32 Ahli MT yang hadir bersetuju dengan keputusan ini, manakala Timbalan Presiden, Datuk Raymond Tan dan Naib Presiden, Jimmy Wong, membantah," katanya.

Yong yang menjadi Ketua Menteri pada 1996-98 menerusi sistem penggiliran berkata, sejak SAPP mengumumkan untuk menyokong usul undi tidak percaya terhadap kepemimpinan Perdana Menteri pada 18 Jun lalu, parti itu tidak dijemput menghadiri empat mesyuarat Dewan Tertinggi BN dan dua mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan.

"Perkembangan itu menunjukkan BN seolah-olah sudah menggugurkan keahlian SAPP. Maka saya isytiharkan SAPP bukan lagi parti sekutu BN. Mulai hari ini, SAPP menjadi pembangkang yang berkualiti hingga kita kembali sebagai kerajaan," katanya.

Tan yang juga Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri dan Wong yang juga Setiausaha Politik Ketua Menteri, lebih awal meninggalkan mesyuarat itu.

SAPP mempunyai dua Ahli Parlimen iaitu Datuk Eric Majimbun (Sepanggar) dan Datuk Dr Chua Soon Bui (Tawau) serta empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) - Tan (Tanjung Papat), Pembantu Menteri Kewangan, Melanie Chia (Luyang), Au Kam Wah (Elopura) dan Liew Teck Chan (Likas).

Penarikan diri daripada BN itu secara automatik menjadikan semua wakil rakyat SAPP sebagai wakil Bebas, manakala Tan dan Chia perlu melepaskan jawatan dalam Kabinet negeri.

Sementara itu, Tan ketika ditemui pemberita berkata, beliau kekal setia bersama BN dan akan membuat keputusan berhubung kedudukannya dalam SAPP serta kerajaan negeri dalam tempoh terdekat.

Mengenai kemungkinan beliau menubuhkan parti baru, Tan berkata, perkara itu belum difikirkannya.

Read More...

Bursa jatuh hampir 4 peratus, pulih di sebelah petang

Malaysiakini

Sep 18, 08 3:19pm

Harga saham di Bursa Malaysia terus mengalami kerugian sehingga tengahari tadi, di tengah-tengah kegiatan jualan besar-besaran di seluruh dunia berikutan peningkatan kebimbangan mengenai kesan tempias kegawatan kredit AS dan banyak ketidaktentuan makroekonomi khusus yang ditambah beberapa ketidaktentuan politik domestik, kata para peniaga.

Sentimen keseluruhan kekal lemah dan ditambah dengan jualan besar-besaran saham perladangan dan kewangan, kata mereka.

Jualan besar-besaran oleh pelabur asing ke atas saham berwajaran tinggi terpilih telah menarik turun Indeks Komposit Kuala Lumpur sebanyak 3.74 peratus atau 37.53 mata untuk ditutup sesi pagi kepada 965.46, paras terendahnya sejak Jun 2005. KLCI dibuka 9.78 mata lebih rendah kepada 993.46.

Menurut Bernama, indeks Persahaan turun 40.73 mata kepada 2,120.87, Indeks Kewangan turun 332.06 mata kepada 7,827.65 dan Indeks Perladangan turun 237.31 mata kepada 4,604.91.

Sementara itu, FBMEmas turun 241.48 mata kepada 6,407.27, FBM30 turun 237.02 mata kepada 6,186.59, FBM-MDQ turun 166.17 mata kepada 3,843.26 dan FBM2BRD
turun 159.45 mata kepada 4,830.74.

Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 631 kepada 32 manakala 106 kaunter tidak berubah, 577 kaunter tidak diniagakan dan 23 kaunter digantung.

Volum dicatatkan 241.835 juta saham bernilai RM527.042 juta.

Bank Pembangunan Asia hari ini memberi amaran bahawa kegawatan yang melanda bank-bank utama di Barat boleh melanda badan peminjam utama Asia dan menyeru para pengawal selia dan bank pusat rantau ini untuk menyelaraskan tindakan bagi mengekalkan kestabilan.

Bursa-bursa tempatan menghadapi tekanan jualan berikutan jualan besar-besaran semalaman di Wall Street semasa Rezab Persekutuan AS membelanjakan AS$85 bilion untuk menyelamatkan badan korporat AIG gagal menenangkan para pelabur.

"Kebimbangan timbunan kerugian kredit telah mencetuskan jualan ketakutan di bursa di seluruh dunia," kata salah seorang peniaga itu.
Di antara saham berkaitan perladangan, Kuala Lumpur Kepong turun 90 sen kepada RM8.60, IOI Corp turun 18 sen kepada RM3.78 dan PPB Group turun 50 sen kepada RM7.90.

Antara kaunter kewangan, Bumiputra-Commerce turun 50 sen kepada RM6.90, Maybank turun 20 sen kepada RM6.70 dan Public Bank turun 30 sen kepada RM9.50.

Mendahului senarai aktif, UEM Builder turun satu sen kepada RM1.38, AirAsia turun dua sen kepada RM1.18, KNM Group turun enam sen kepada RM1.09 dan Sime Darby tidak berubah di paras RM5.95.

Tenaga Nasional turun 40 sen kepada RM6.40 dan Telekom Malaysia turun 18 sen kepada RM3.32.

Bagaimanapun, apabila urusniaga disambung selepas makan tengahari pada jam 2 petang tadi, kedudukan indeks mulai pulih.

Ia melonjak kembali kepada 983.63 pada jam 4 petang, tetapi masih kerugian sebanyak 19.63 mata. Pasaran akan ditutup jam 5 petang.

Read More...

Zaid Ibrahim masuk PKR

matsamankati

Zaid Ibrahim membuat keputusan untuk menyertai PKR. Pengumuman rasmi akan dibuat esok. 34 MP sudah pun menandatangani surat persetujuan untuk menyertai Pakatan Rakyat.

Sementara itu, khabar dari saudara mara yang bekerja dengan Angkatan tentera memberitahu bahawa semua cuti anggota tentera dibekukan dan semua anggota tentera diperintahkan tinggal didalam kem.

Read More...

Bursa Saham Malaysia Merudum Bawah 1000 mata

Tranungkite

Dilulus terbit pada Thursday, September 18 @ 11:04:23 MYT oleh greenboc
Berita

Oleh greenboc

a

Indeks Komposit Bursa Malaysia hari ini menjunam ke bawah paras garis psikologi 1000 mata dimana pada pukul 10.36 pagi ini, indeks komposit ialah pada kedudukan 973. 35 mata, penurunan sebanyak hampir 30 mata daripada mata penutup petang semalam. Kaunter-kaunter rugi mengatasi kaunter untung, 458 rugi berbnding cuma 47 untung sementara 100 tidak berubah.

Di kebanyakan negara Asia, indeks-indeks merudum teruk, Kospi di Korea turun 34.53 mata atau 2.42% kepada 1,390.73, Nikkei Jepun 225 jatuh 2.81% kepada 11,420.02 dan indeks Straits Times Singapura turun 3.21% kepada 2,341.6.

Keseluruhan sentimen pasaran adalah lemah apabila pelabur masih bimbang dengan keadaan politik tempatan yang tidak menentu dan krisis kewangan AS berikutan keruntuhan bank pelaburan gergasi Lehman Brothers dan penurunan gred penarafan ke atas kumpulan insurans utama AS, American International Group.

Tindakan kerajaan Amerika Syarikat (AS) bertindak menyelamatkan, American International Group Inc (AIG), iaitu tindakan menyelamat kali kedua dalam bulan ini bagi mengelakkan kegagalan syarikat insurans itu telah memberikan kesan kepada pasaran kewangan serta mengancam ekonomi negara itu yang sudah sedia rapuh.

Pelabur asing juga terus melepaskan pegangan mereka dalam saham perladangan dan kewangan dengan kaunter utama dalam sektor ini mengalami kejatuhan menjunam.

Ini diperburukkan dengan keadaan ketidakstabilan politik negara di bawah pimpinan Abdullah Ahmad Badawi dimana Parti Maju Sabah (SAPP) telah bertindak keluar daripada Barisan Nasional yang menyebabkan majoriti kerajaan BN di Parlimen telah menurun menjadi 54 apabila dua orang ahli parlimen SAPP akan ditempatkan di kerusi pembangkang.

Tuduhan PM, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badwi terhadap Datuk Seri Anwar kononnya Datuk Seri Anwar merupakan satu ancaman kepada ekonomi dan keslmatan negara telah ditolak mentah oleh rakyat kerana ia jlas merupakan satu eskapisme Datuk Seri Abdullah terhdap kelemahan pemerintahannya dan kini cuba mempersalahkan orang lain.

Pertukaran portfolio diantara Abdullah dan timbalannya Datuk Seri Mohd Najib tidak mampu untuk meyakinkan rakyat khusunya para pelabur keana pertamanya, kemusnahan telah pun berlaku (damage has been done) dan kelayakan Najib untuk mentadbir dan mengurus ekonomi negara juga diragui kerana beliau dikenali sebagai pemimpin yang suka melakukan pembaziran. Cadangan ,beliau untuk menganugerahkan RM1juta kepada pemenang pingat emas Sukan Olimpik baru lalu adalah satu bukti beliau tidak tahu menguruskan dana negara dengan baik tatkala ekonomi sedang berada di ambang kejatuhan.

Ramai pemerhati politik berpendapat bahaa pertukaran kerajaan nampaknya tidak berupaya untuk dielakkan apabila berlaku penghijrahan beramai-ramai ahli parlimen Barisan Nasional ke Pakatan Rakyat kerana tidak-yakinan mereka terhadap kepimpinan Abdullah-Najib.

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |