+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Wednesday, June 25, 2008

RM1 juta insentif atlet negara menang emas di Olimpik

Utusan Online



KUALA LUMPUR 24 Jun – Atlet negara yang memenangi pingat emas pada Sukan Olimpik di Beijing, Ogos ini dan pada temasya serupa pada masa akan datang akan menerima insentif RM1 juta berbanding hanya RM160,000 sebelum ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, walaupun hadiah itu dianggap besar, ia wajar memandangkan standard Sukan Olimpik semakin meningkat.

“Untuk memenangi pingat emas ini juga bukan satu perkara mudah kerana pertandingan pada Olimpik semakin sukar. Daripada satu Olimpik kepada Olimpik yang satu lagi kita lihat standard semakin meningkat.

“Oleh itu, kita harus meletakkan sasaran yang lebih besar, lebih menarik lagi,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pembangunan Sukan di bangunan Parlimen hari ini.

Najib berkata, negara-negara jiran seperti Singapura juga menawarkan insentif S$1 juta untuk atlet mereka yang meraih emas Olimpik.

Beliau berkata, ganjaran RM1 juta adalah wajar dan berpatutan memandangkan temasya sukan Olimpik itu ‘begitu gah’ dan diadakan empat tahun sekali.

Najib berkata, mesyuarat juga bersetuju memberi RM300,000 kepada pemenang pingat perak dan RM100,000 untuk gangsa.

Bagi pasukan yang memenangi emas, kadar minimum yang ditentukan ialah RM150,000 untuk setiap pemain.

Selain itu, pencen bulanan yang diterima oleh pemenang pingat Olimpik juga dinaikkan daripada RM3,000 kepada RM5,000 bagi pemenang emas, RM3,000 perak (sebelum ini RM1,500) dan RM2,000 gangsa (sebelum ini RM1,000). Ia berkuat kuasa bulan depan.

Buat masa ini hanya lima atlet negara pernah memenangi pingat Olimpik iaitu pasangan beregu lelaki badminton negara, Razif dan Jailani Sidek (gangsa Olimpik Barcelona 1992), beregu lelaki, Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock (perak Olimpik Atlanta 1996) dan pemain perseorangan Rashid Sidek (gangsa Olimpik Atlanta).

Jawatankuasa itu juga bersetuju memberi insentif kepada atlet paralimpik negara iaitu RM300,000 (emas), RM200,000 (perak) dan RM100,000 (gangsa).

– Bernama

Read More...

LAGI GAMBAR SUASANA LARANGAN MEDIA DI PARLIMEN

Mstar Online

25-06-2008 10:50:27 AM

PETUGAS-petugas media di Parlimen tidak lagi dibenarkan membuat liputan berita di lobi Parlimen yang sebelum ini merupakan kawasan bagi menteri atau Ahli Parlimen mengadakan sidang akhbar. Pihak media yang tiba seawal 9.30 pagi ini telah dilarang berada di kawasan itu oleh petugas keselamatan Parlimen yang menjelaskan ia atas arahan pejabat pentadbiran Parlimen.

Berikut gambar-gambar yang merakamkan suasana di lobi Parlimen sejak pagi tadi.

JURUGAMBAR organisasi media melihat kamera yang diletakkan di lantai lobi Parlimen sebagai tanda protes.


SUASANA 'tenang' di lobi Parlimen ekoran larangan dikuatkuasakan.

PETUGAS-petugas media diberi penjelasan.

SEORANG jurugambar merakamkan persekitaran lobi Parlimen selepas sekumpulan jurugambar membiarkan sahaja kamera masing-masing di lantai sebagai tanda protes.

SEORANG petugas media menunjukkan surat arahan dikeluarkan pentadbiran Parlimen.

PERSEKITARAN di lobi Parlimen selepas larangan petugas bergerak bebas 'ditarik balik'.


Lim Guan Eng sedang berbual dengan para warrtawan di lobi Parlimen

Read More...

Parlimen tarik balik larangan petugas media bergerak bebas di lobi

Mstar Online

25-06-2008 11:42:27 AM
Oleh ZANARIAH ABD. MUTALIB

(Mutakhir) KUALA LUMPUR: Selepas 'perang dingin' melibatkan petugas-petugas media dan pentadbiran Parlimen, lobi badan penggubal undang-undang ini dibuka semula untuk mereka membuat liputan dengan bebas.

Pengerusi Kelab Penyokong-penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC), Datuk Seri Tiong King Sing berkata, beliau mengadakan perbincangan dengan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berhubung hal itu pagi ini dan beliau sudah bersetuju untuk membuka semula ruangan lobi kepada media.

“Hal ini sudah selesai... sudah boleh lalu. Kalau ada apa-apa, beritahu kami," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen pagi ini.

Semalam, media tidak dibenarkan berlegar-legar di lobi Parlimen untuk menjalankan tugas atas arahan pihak pengurusan Parlimen dan hanya dibenarkan berada di tempat khas bagi sidang media.

Arahan itu menyebabkan pihak media kecuali Bernama, RTM dan media asing memulaukan semua sidang media termasuk yang diadakan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun razak

Tiong berkata, pihaknya juga tidak berpuas hati mengenai halangan yang dikenakan semalam dan Najib juga tidak tahu-menahu mengenai hal itu.

Bagaimanapun jelas beliau, perkara tersebut sudah boleh dianggap selesai.

Ketika ditanya sama ada halangan itu dilakukan atas sebab keselamatan, beliau berkata, soal keselamatan sebenarnya memerlukan kerjasama semua pihak.

“Bagi pihak wartawan, saya cadangkan semua ketua-ketua datang untuk berbincang dan sementara itu, bagi Ahli Parlimen sama ada daripada BN atau pembangkang, mereka perlu menjaga tingkah laku dan tidak menjadikan Parlimen sebagai tempat untuk sambutan hari jadi dan badan bukan kerajaan (NGO) mengedarkan memorandum mereka.

“Itu tidak sesuai. Soal keselamatan di Parlimen penting. Kita tidak mahu lihat (Parlimen) seperti di negara-negara lain... kalau apa-apa terjadi kepada Parlimen, ia bukan imej yang baik kepada negara,” katanya.

Berhubung isu hanya lima wakil yang dibenarkan bagi setiap media menghadiri sidang Parlimen, Tiong berkata, sepatutnya Speaker mahukan jawapan itu melalui surat dan seterusnya media akan dipanggil untuk mesyuarat.

“Bagaimanapun, saya diberitahu rakan-rakan media, ini bukan soal surat, ini keutamaan. Justeru saya akan berbincang semula dengan Speaker hari ini.

“Nanti kalau Speaker panggil mesyuarat, ketua-ketua media boleh berbincang... kalau lima orang tak cukup, nak 20 orang, kita.boleh berbincang,” katanya.

Read More...

Media boikot liputan di lobi Parlimen

Malaysiakini

Jun 24, 08 12:01pm

Petugas media di Parlimen tidak lagi dibenarkan membuat liputan berita di lobi Parlimen yang sebelum ini merupakan kawasan bagi menteri atau ahli Parlimen mengadakan sidang akhbar.

journalist media barred from parliament lobby area 240608 01Pihak media yang tiba seawal jam 9.30 pagi ini dilarang berada di kawasan itu oleh petugas keselamatan Parlimen yang menjelaskan ianya arahan pejabat pentadbiran Parlimen.

Wakil-wakil media dimaklumkan mereka hanya dibenarkan berada di satu sudut di hujung ruang lobi yang telah ditetapkan sebagai kawasan sidang akhbar.

Larangan yang berkuatkuasa hari ini bermakna wartawan tidak lagi dibenarkan berlegar di kawasan lobi, di hadapan bilik rehat ahli Parlimen serta pejabat-pejabat menteri.

Kawasan itu turut diawasi beberapa pengawal keselamatan Parlimen, demikian menurut laporan Bernama.

Perkara itu telah mendapat perhatian Lim Guan Eng (DAP-Bagan) yang telah meminta Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang mempengerusikan sesi pertama persidangan hari ini supaya menarik balik larangan itu kerana ia menghalang tugas pengamal media.

"Saya menimbulkan perkara ini kerana saya telah menerima banyak aduan dari pihak media bahawa mereka telah dipinggirkan di luar dewan ke satu tempat yang agak terpencil di mana ia akan menjejaskan usaha mereka untuk menjalankan tugas," katanya.

'Tidak hormati media'

journalist media barred from parliament lobby area 240608 05Lim berkata menjadi tugas wartawan membuat liputan menteri dan mendapatkan penjelasan mengenai apa-apa dasar yang diumumkan di dalam dewan.

"Saya rasa tindakan ini tidak menghormati peranan yang dimainkan oleh media massa dan akan menjejaskan usaha mereka untuk menjalankan tugas, oleh itu saya ingin menyeru kepada Datuk Yang Dipertua kalau boleh membenarkan mereka menjalankan tugasnya dengan baik, lancar dan teratur tanpa sebarang sekatan.

"Ini kerana ia tidak memenuhi hasrat kebebasan akhbar dan juga semangat Parlimen. harap larangan ini boleh ditarik balik," katanya.

Wan Junaidi pula berkata peraturan itu dibuat hasil kata sepakat berikutan perbincangan antara beliau, Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan seorang lagi Timbalan Speaker, Datuk Ronald Kiandee, pada sesi Parlimen yang lepas bagi memastikan keadaan di lobi teratur dan terkawal.

"Keadaan kadang-kadang bercelaru di lobi, (dan) berlandaskan (perbincangan) itu, berkemungkinan keputusan dibuat dan diberi kepada pegawai untuk melaksanakannya," katanya.

Wan Junaidi berkata memandangkan perkara itu telah dibangkitkan oleh Lim di dalam dewan, ia akan dibincangkan semula dan keputusannya akan diumumkan oleh Pandikar Amin dalam masa terdekat.

journalist media barred from parliament lobby area 240608 04Jawapan Wan Junaidi itu menyebabkan Lim bangkit dan menyeru sekali lagi agar larangan itu dihentikan buat sementara waktu bagi menghormati peranan media yang banyak memberi sumbangan dalam membuat liputan persidangan.

Jumaat lalu, Parlimen turut mengeluarkan arahan mengehadkan hanya lima wartawan dari sesebuah organisasi media yang boleh membuat liputan persidangan "untuk tujuan keselamatan".

Berikutan itum, lebih 100 wartawan yang membuat liputan sidang Parlimen, telah mengadakan boikot.

Ini adalah kali pertama Parlimen menguatkuasakan peraturan seumpama itu. Tiada sebarang penjelasan diberikan kepada wakil-wakil media mengenai larangan tersebut.

journalist media barred from parliament lobby area 240608 06Protes para wartawan itu akan menjejaskan sidang akhbar yang diadakan oleh ahli Parlimen dari Pakatan Rakyat Kuala Lumpur untuk membincangkan Draf Pelan Bandaraya Kuala Lumpur. Sidang akhbar itu dijadual diadakan di Parlimen pada jam 12.45 tengahari.

Sidang akhbar tersebut kemudiannya dipindahkan ke pusat media.

Bagaimanapun, wartawan di situ memberitahu ahli-ahli Parlimen berkenaan, bahawa mereka akan hanya melaporkan tentang sesi parlimen.

MP BN alih halangan

Bagaimanapun, keputusan tersebut tidak dapat diterima, malah oleh ahli-ahli Parlimen kerajaan sendiri.

Pada kira-kira jam 2.45 petang, beberapa orang penyokong kerajaan yang diketuai oleh Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) telah bertindak mengalihkan halangan tersebut.

Para wartawan bagaimanapun, tetap dengan keputusan mereka untuk meneruskan boikot kerana tidak ada pembatalan rasmi dari pihak pentadbiran Parlimen.

Apabila perkara tersebut dibangkitkan sekali lagi oleh Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) ketika sesi perbahasan petang, Speaker Pandikar Amin mempertahankan tindakan tersebut dan membidas wakil rakyat pembangkang yang membangkit isu tersebut.

Beliau bertanya kepada Guan Eng dan Fong sejak bila mereka berminat menjadi editor dan sama ada mereka yang memakai kad akhbar itu, benar-benar wartawan.

Menurut Speaker, beliau sedang menunggu reaksi dari pertubuhan media terhadap 'pertanyaannya' sama ada sesuai untuk menguatkuasakan peraturan yang menghadkan hanya lima wartawan sahaja dari setiap media membuat liputan sesi Parlimen.

Bagaimanapun, salinan notis yang dihantar kepada pertubuhan media minggu lalu, secara jelas menyatakan bahawa Parlimen telah memutuskan setiap akhbar hanya dibenarkan menghantar lima orang wartawan.

Selain wartawan, pembantu dan setiausaha akhbar kepada ahli-ahli parlimen juga tertakluk kepada peraturan keselamatan yang ketat - mereka tidak lagi dibenarkan mengedar kenyataan akhbar ke pusat media, tempat wartawan menyediakan dan menghantar berita mereka.

Hanya ahli Parlimen dibenarkan berbuat demikian, kata pegawai Guan Eng - Lim Swee Kuan - yang diarahkan oleh anggota keselamatan supaya meninggalkan pusat media.

Sidang akhbar PM terjejas

Protes tersebut turut menjejaskan sidang akhbar Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi; Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak dan ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat dari Kuala Lumpur.

Abdullah mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa kabinet mengenai daya saing minyak kelapa sawit di banguna Parlimen manakala Najib pula mempengerusikan dua mesyuarat, termasuk mesyuarat pengurusan Umno.

Manakala ahli Parlimen Pakatan dari Kuala Lumpur pula mahu mengadakan sidang akhbar mengenai draf pelan bandaraya KL.

Bagaimanapun, kesemua sidang akhbar tersebut diboikot oleh para wartawan. Hanya agensi berita nasional, Bernama menghantar wartawannya membuat liputan di sidang akhbar terbabit.

Selepas mendapat tahu mengenai boikot tersebut, ahli-ahli Parlimen Pakatan pergi ke pusat media untuk mengadakan sidang akhbar mereka, tetapi diberitahu bahawa para wartawan hanya akan melaporkan sesi Parlimen sahaja.

Manakala majlis pelancaran lamanweb rasmi kerajaan 'Myblog.my" oleh Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, yang dijadualkan diadakan di lobi Parlimen pagi esok, telah ditangguhkan ke tarikh lain ekoran boikot tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz, enggan mengulas, apabila ditanya mengenai larangan tersebut.

Sebaliknya, Nazri berkata beliau hanya menjadi orang tengah dan tidak terbabit dalam hal tersebut.

NUJ bingung

Sementara itu, Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) mendesak supaya larangan terhadap media itu ditarik balik dan wartawan dibenarkan bebas bergerak di Parlimen.

Presidennya, Norila Mohd Daud berkata, kesatuan itu menyifatkan larangan tersebut sebagai satu langkah yang tidak produktif dan boleh menyebabkan pihak media tidak dapat memberi liputan sepenuhnya terhadap sidang Parlimen.

Norila berkata peraturan larangan tersebut membingungkan dan tidak rasional kerana "Parlimen merupakan simbil demokrasi".

Read More...

Siumankah Untuk Mengatakan Pas Bekerjasama Dengan Umno


Siasahdaily.com

Listed by -mbo -

Oleh YB Hj Mahfuz Omar

TIDAK semena-mena bertiup kencang cerita PAS sedang berunding dengan Umno untuk mengadakan kerjasama atau pakatan politik, kononnya demi ketuanan politik Melayu. Entah siapa yang memulakannya, tetapi ia telah tersebar luas di blog-blog dan juga berkeliaran dalam sms.

Ramai juga peminat politik yang percayakan desas-desus ini kerana mungkin logik juga kalau hendak dicarikan sebab mengapa PAS perlu bekerjasama dengan Umno. Tetapi ramai yang memandang jejek kepada perbuatan ini jika PAS berhasrat demikian.

Tidak timbul isu ini benar atau tidak, kerana saya sudah pun menafikan adanya rundingan sulit untuk ‘mengahwinkan’ PAS dengan Umno. Lagipun perkahwinan politik seperti ini mungkin ‘tidak sah’ kerana antara PAS dan Umno memang tidak ‘sekufu’. PAS mempunyai dasar Islam, sedangkan Umno ‘beraqidah’ Islam Hadhari. Jika Umno itu ‘ahli Kitab’ ada juga tendensinya, tetapi dengan Islam Hadhari ini PAS terpaksa menjauhkan diri. Lagipun PAS amat tidak sekufu dengan Umno kerana PAS adalah parti yang masih suci, sedangkan Umno sudah terpalit dengan noda-noda rasuah, politik wang, kronisme, nepotisme dan macam-macam kebejatan yang lain.

Ada pihak yang berpandangan supaya PAS tidak harus ‘menjual mahal’ dalam konteks kepentingan politik nasional, tetapi isu yang berbangkit sekarang bukannya kepentingan negara, sebaliknya adalah kepentingan survival politik Umno itu sendiri. Kerjasama ini adalah talian hayat yang amat diharapkan oleh Umno dan sudah tentu mereka sanggup bergolok-gadai untuk memenuhi keperluan PAS demi talian hayat ini. PAS tidak akan menjual maruahnya dengan harga yang murah kepada Umno, sebaliknya akan terus mempertahankan prinsip demi kepentingan dan kebajikan rakyat yang sudah lama dipijak-pijak oleh Umno/BN apatah lagi kini dengan kenaikan harga minyak, kerajaan Umno/BN tergamak membawa satu usul dalam perlimen bagi menghalalkan tindakan untuk menindas rakyat. Maka ternyatalah 129 ahli-ahli perlimen BN menyokong usul untuk menindas rakyat. PAS akan terus memikul amanah dan kepercayaan rakyat kepada Pakatan Rakyat, dan akan terus memberikan pembelaan kepada rakyat yang ditindas oleh kerajaan BN.

Sejarah telah membuktikan bahawa PAS adalah parti yang paling terbuka di negara ini sehingga menjadi parti yang paling banyak menjalin kerjasama politik. Keterbukaan Islam yang didukung oleh PAS diterjemahkan melalui siri-siri kerjasama sama bukan sahaja dengan orang Melayu, bahkan semua kaum. PAS pernah duduk semeja dengan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP), MIC dan Persatuan Ceylonese Malaya dalam National Conference pada 1953, kemudian menyertai National Convention yang turut diserati oleh Umno dan MCA mulai September tahun yang sama. PAS juga berpakat dengan parti-parti kiri ketika memperjuangkan kemerdekaan, sebelum bekerjasama dengan Dato’ Onn dalam pilihan raya 1959. Kerana kerjasama PAS Dato’ Onn menang di Terengganu.

PAS juga mempunyai hubungan yang baik dengan Sosialis Front pada 1959 dan 1964 walaupun pakatan itu dianggotai oleh pendukung sosialis seperti Parti Rakyat, Parti Buruh dan National Convention Party. Selepas krisis politik 1969, PAS telah memilih untuk bekerjasama dengan Perikatan yang ketika itu sudah disertai oleh parti-parti dari Sabah dan Sarawak, selain PPP dan Gerakan. Pada 1986, PAS bersama tiga parti lain menubuhkan Harakah Keadilan rakyat (HAK), di samping hubungan dengan masyarakat Cina melalui CCC. Kemudian PAS menyertai pula Angkatan Perpaduan Ummah (1988-1996) dan Barisan Alternatif (1999-2008) sebelum Pakatan Rakyat ditubuhkan selepas pilihan raya ini. Inilah keterbukaan PAS!

Dengan Umno sendiri, PAS sudah dua kali berpengalaman. Pada 1953, atas usaha keras bapa Perdana Menteri, Ustaz Haji Ahmad Badawi, PAS meninggalkan Dato’ Onn dan National Conference untuk menyertai National Convention yang ditaja oleh Umno-MCA. Apabila berunding tentang pilihan raya pertama, cadangan PAS untuk membela kepentingan orang Melayu dengan menolak jus soli dalam hak mengundi serta menambahkan wakil ekonomi Melayu dalam Dewan Undangan Persekutuan telah ditolak oleh Umno. Umno bersikap demikian kerana menjaga kepentingan MCA. PAS tidak dapat menerima kerjasama yang membunuh bangsa sendiri, lalu keluar daripada National Convention sebelum 1953 berakhir.

Apabila berlaku peristiwa 13 Mei 1969, PAS memandang kepentingan perpaduan nasional dan survival politik orang Melayu. Walaupun Muktamar Khas PAS meluluskan dengan majoriti mudah – sebagai tanda berat hati PAS – Kerajaan Campuran PAS-Perikatan dibentuk pada 1973. Kemudian PAS bersama-sama parti lain menubuhkan Barisan Nasional pada 1974. PAS yang mencadangkan nama Perikatan ditukar kepada BN dan simbol dacing itupun dicadang oleh Dato’ Mohd Asri bagi menggantikan Kapal Layar. Tun Ghafar Baba melukiskan simbol dacing itu. Tetapi Umno mengkhianati PAS dengan memainkan peranan untuk melagakan pimpinan PAS di Kelantan, kemudian didaruratkan Kelantan.

Akibat darurat itu, PAS kehilangan Kelantan yang dikuasainya sejak 1959. PAS terpaksa menentang usul mendaruratkan Kelantan kerana percaya ada tujuan politik sulit di sebalik undang-undang darurat itu. Tetapi PAS tidak mengkhianati BN dengan keluar dari pakatan itu seperti yang dilakukan oleh PBS pada 1990 dahulu. Sebaliknya, Umno yang mencadangkan supaya PAS disingkirkan pada Disember 1977 dan akhirnya PAS tidak lagi sebulu dengan Umno. Sejak itu, PAS sentiasa ditindas dalam berbagai-bagai isu seperti Pembunuhan Memali, Ops Lalang, Ops Kenari dan lain-lain. Namun, PAS masih bersedia duduk semeja dengan Umno ketika membantah isu nuklear dan isu Palestin kerana kepentingan kemanusiaan.

Hari ini apabila Umno sudah tersepit, mereka mencari PAS semula seperti mana Tun Razak lakukan dahulu. Mereka sanggup tawarkan apa sahaja jika PAS bersedia. Tidak cukup dengan itu, dek cemburu oleh kejayaan kerajaan-kerajaan Pakatan Rakyat di lima buah negeri, mereka melancarkan perang saraf kononnya PAS sedang berunding dengan Umno. Mereka mahu PAS renggan dengan rakan Pakatan Rakyat dan terus menggoda PAS supaya terima sahaja tawaran mereka. PAS sedar tawaran ini bukannya untuk menjayakan matlamat politik PAS, tetapi memberikan nyawa baru kepada Umno yang sudah tidak diyakini lagi oleh rakan-rakan BN mereka. Bila adalah wartawan mengatakan PAS adalah ‘real kingmaker’, Umno merasakan PAS pasti terjerat.

PAS tidak akan mengambil sikap demikian walaupun ada pandangan pemerhati politik picisan yang melihat bahawa PAS perlu memanfaatkan peluang ini jika mahu melaksanakan dasar-dasar Islam yang diperjuangkannya. Pemerhati-pemerhati politik ini berpandangan bahawa PAS masih sukar ‘bernafas’ dalam Pakatan Rakyat yang ada DAP ini. Mereka membangkitkan keadaan di Selangor yang lebih ‘mesra kandang babi’ daripada ‘mesra masjid’. Inilah peluang PAS untuk memaksa Umno melaksanakan Islam, kata mereka. Ada kebenarannya. Tetapi kepimpinan PAS melihat bahawa tawaran kerjasama dengan Umno ini tidak akan membawa PAS ke matlamatnya, sebaliknnya menjadi alat untuk memulihkan semula Umno yang sudah parah itu.

Pada saya, walaupun banyak perkara yang perlu dirunding dan disepakati oleh parti-parti dalam Pakatan Rakyat yang memerintah di lima negeri, tetapi semua harus faham umur Kerajaan Pakatan Rakyat baru mencapai 100 hari dan amat memerlukan kesabaran komitmen semua pihak. PAS tetap bersabar dengan karenah rakan-rakan yang baru belajar memerintah dan yakin rakan-rakan Pakatan Rakyat tidak memandang sebelah mata kepada PAS. Kesemua pihak dalam Pakatan Rakyat mestilah boleh menerima dan memberi yang penting semua parti mesti setia sebagai rakan pakatan. Ketiga-tiga parti mesti melihat bahawa setiap antara mereka ada wibawanya yang harus dihormati, dengan itu sahaja pakatan ini boleh dipertahankan.

Jika ketiga-tiga parti Pakatan Rakyat adil sesama senndiri, maka saraf Umno untuk memecahkan pakatan ini akan menjadi seperti menjual buah yang tidak laku dan akhirnya busuk begitu sahaja. Tetapi, jika kita sengaja membiarkan ketidakpuasan hati ahli-ahli dan penyokong-penyokong pakatan di bawah, mungkin mereka akan berubah sikap terhadap pakatan ini. Sebab itu mungkin ada ahli dan penyokong-penyokong bersikap positif dengan desas-desus kerjasama ini. PAS sudah beberapa kali belajar daripada ‘eksploitasi politik’ Umno ini dan adalah mustahil PAS dipatuk pada lubang yang sama sekali lagi. Pimpinan tertinggi PAS sudah bertegas bahawa tidak akan ada rundingan dan kerjasama politik PAS-Umno selagi Umno dengan wajah yang sedia ada. Mursyidul Am PAS sudah bertegas dalam soal ini.

Pada masa ini ahli-ahli PAS atau ahli serta penyokong Pakatan Rakyat jangan terpengaruh dengan dakyah palsu ini. Ia adalah serangan minda untuk melumpuhkan Pakatan Rakyat bagi menyelamatkan masa depan Umno. Pimpinan PAS amat sedar tentang siuman atau tidak untuk menerima kerjasama ini. Kalau kita percayakan khabar angin ini, maka kita seolah-olah tidak siuman sebenarnya, bahkan Umno sendiripun tidak siuman jika terus mewar-warkan berita palsu ini. Bukan PAS namanya jika kita meninggalkan harapan besar rakyat, kerana mengejarkan pangkat dan wang ringgit yang ditaburkan. Lebih tidak siuman jika kagum dengan dunia sehingga melupakan perjuangan panjangnya. Adalah menjadi tanggungjawab PAS untuk mengukuhkan Pakatan Rakyat yang dibinanya dan ‘memuziumkan’ Umno bersama kebobrokannya.

YB Hj Mahfuz Omar
Ahli Parlimen Pokok Sena
Ketua Penerangan PAS Pusat

Read More...

Kerajaan penipu - turun elaun masuk akhbar, naik elaun buat senyap je...


MUSANG BERBULU AYAM – ELAUN NAIK LAGI!!!!!!!!

Dilulus terbit pada Tuesday, June 24 @ 21:25:32 MYT oleh reformis
Coretan @ Luahan Oleh adamaf

"

 Dalam keadaan rakyat tertekan dengan keadaan kos sara hidup semakin meningkat, saya sungguh kecewa apabila kerajaan yang semalamnya pada 23 Jun 2008, bermula pukul 10 pagi melalui wakil-wakil rakyat BN melaung-laungkan betapa kerajaan pimpinan Abdullah Ahmad Badawi sungguh prihatin, amanah, bertanggungjawab dan adil untuk menangani permasalahan rakyat.

Masalah ekonomi sekarang bersifat global maka Kerajaan tiada pilihan lain selain terpaksa menaikkan harga minyak. Kononnya semuanya telah difikirkan semasak-masaknya dan beberapa langkah telah, sedang dan akan diambil untuk menolong rakyat. Berkokoklah si menantu yang kononnya hebat dengan hujah-hujah ekonomi tetapi semuanya kosong. Pembelit, perompak, pemfitnah dan hipokrit!!! Bak Musang berbulu ayam atau Ada Udangkah di sebalik Batu?


Sedar tak sedar, pada detik yang sama, iaitu pada 23 Jun 2008, pukul 10.04 pagi, satu pekeliling telah dimuatkan di Laman Web JPA bertajuk “
Surat Pekeliling Perkhidmatan Bil. 10/2008 Pindaan Kadar Imbuhan Tetap Jawatan Gred Khas dan Imbuhan Tetap Keraian Bagi Jawatan Gred Khas –{Artikel ini dikirim pada hari Isnin, Jun 23rd, 2008, 10:04 am dan difailkan di bawah Surat Pekeliling Perkhidmatan. Anda boleh mengikuti sebarang respons bagi artikel ini melalui suapan RSS 2.0.} (http://www.jpa.gov.my/docs/spp/2008/10/spp102008.pdf).

Cuba teliti jadual di bawah:


Gred Khas

Imbuhan Tetap Jawatan Gred Khas “Lama”Imbuhan Tetap Keraian Gred Khas “Lama”Jumlah(A)Imbuhan Tetap Jawatan Gred Khas “Baru”Imbuhan Tetap Keraian Gred Khas “Baru”Jumlah(B)Perbezaan(B – A)

A

2000

3300

5300

2500

4000

6500

1200

B

1200

2650

3850

1500

3050

4550

700

C

800

2150

2950

1000

2500

3500

550









Nah apa rasionalnya Kerajaan berbuat demikian. Siapakah mereka ini yang menyandang jawatan Gred Khas? Pembantu Am Rendahkah mereka ini? Penghantar suratkah mereka ini? Jurutaipkah mereka ini? Pegawai Eksekutifkah mereka ini? PA Pegawai Daerahkah mereka ini? Gurukah mereka ini? Kalaupun Kerajaan nak samakan kadar elaun mereka dengan penjawat jawatan Gred Utama A, B dan C, langkah ini, pada waktu ini, sangat menghiris perasaan rakyat marhaen macam saya. Kenaikan antara 550 – 1200 yang akan diterima mereka ini setiap bulan mulai 1 Julai 2008. Bukankah mereka ni dapat kereta percuma, minyak percuma, tol percuma dan banyak lagi benda percuma yang kita tak tahu termasuklah pelbagai elaun lagi? Makan duit elaun pun tak habis. Nak kisah apa puak-puak ni. Semuanya percuma. Cuci tangan. Naiklah minyak setinggi mana pun apa mereka kisah!!!! Hai baru semalam permohonan kenaikan gaji 100% pegawai kanan GLC ditolak Kerajaan tapi tup-tup pada hari yang sama ada pula pekeliling baru untuk pegawai tinggi kerajaan. Hebat Kerajaan Abdullah. Kalau ikutkan pengetahuan sayalah, puak-puak Gred Khas C ni semuanya daripada kalangan pegawai-pegawai yang dah bersara, yang dilantik semula. Dahlah gaji dan elaun berbelas atau berpuluh ribu, itu tak dikira pencen lagi. Geng-geng ini juga mungkin dari pihak swasta yang dilantik secara kontrak seperti untuk menjadi penasihat kepada menteri. Atau yang lebih saya faham dari akal rakyat marhaen macam saya, puak-puak ni bapak menteri atau kroni-kroni menteri yang bawa masuk macamlah geng-geng di tingkat 4 tu. Walahuallam.

Sedangkan, pada masa yang sama rakyat digula-gulakan. Rakyat marhen dapat geran bantuan 150 dan 625 setahun. Itupun untuk tahun ini sahaja. Itupun belum tentu semuanya dapat kalau tidak ada masalah teknikal atau masalah pendaftaran kenderaan. Pada masa yang sama, maka berbondong-bondonglah rakyat pergi mendapatkan motosikal untuk menjimatkan kos pengangkutan. Siapa yang kaya????? Maka dibenarkanlah lebuhraya-lebuhraya seperti di Putrajaya dibuka semula untuk penunggang motosikal. Maka berduyun-duyunlah rakyat marhaen bermotosikal. Dikisahkan di Jambatan Pulau-Pinang sekarang sesak dengan motosikal kerana rakyat marhaen mula pandai berjimat cermat. Nah, di mana Prof Ir. Raden Umar kita? Sibuk sangatkah di Jabatan Pengajian Tinggi? Mana komen MIROS? PDRM@KPN? Ketua Bahagian Trafik Bukit Aman? Kalau dulu, hari-hari ada komen tentang keselamatan rakyat terutamanya penunggang motosikal. Penunggang motosikal ni ibarat meletakkan nyawa dihujung tanduk. Wahai rakyat!!! Cuba cari alternatif lain untuk bergerak!!! Naiklah pengangkutan Awam!!! Jangan naik motosikal!!! Penunggang motosikal penyumbang utama kematian jalanraya!!!.Tapi sejak harga minyak melambung tinggi, nyawa rakyat dah tidak dipedulikan lagi. Mana dia nasihat-nasihat berbunga-bunga sebelum ini? Itulah nilai nyawa rakyat marhaen. Lagi ramai rakyat bermotosikal, lagi baguskan! Jimat duit kerajaan. Bayar 150 aje. Tak payah 625. Boleh jimat lagi. Boleh buat pembangunan mega lagi. Aduh Aduh Aduh!!!!! Makin banyak dapat hasil makin lokek Kerajaan. So yang sokong usul seramai 129 orang semalam tu, semuanya HIPOKRIT.


Jadi, tolong jawablah Abdullah dan rakan-rakan BN? Itu kita tak tengok dari perspektif hubungan kekeluargaan kita lagi? Apa nak jadi hubungan anak dengan ibu bapa yang tinggal di KL dan Pulau Pinang? Bayangkan kalau tahun 2000, boleh balik kampung sebulan sekali sekurang-kurangnya. Tahun 2004, 3 bulan sekali?, Tahun 2006 bila minyak naik 30 sen, balik 6 bulan sekali!. Tahun 2008 silap-silap setahun sekali. Sebabnya budget lari, minyak naik, tol tinggi, maintenance tinggi. Silap-silap elaun bulanan kepada ibu bapa pun boleh tertunggak. Itu baru KL-PP! Kalau JB- Kangar???? Segalanya mungkin walaupun nampak simplistic macam orang Rembau dan Padang Rengas suka sebut!!! Ini realiti hubungan insan era Hadhari.

Oleh itu kepada wakil-wakil rakyat yang terbaca artikel ini, kalau artikel ini ada nilainya untuk dibangkitkan… Bangkitkanlah jangan sampai bila bangkit nanti … terus kena soal di alam yang satu lagi!!!!!!


Ikhlas,

AAF

Read More...

Warkah dari Kamunting: Abah hanya mampu doakan...

Harakahdaily

Tue | Jun 24, 08 | 5:42:37 pm MYT

Menemui yang dikasihi anak abah yang tersayang, semoga sihat sejahtera dan dipelihara Allah sentiasa...Amin.

Suhaib,
Abah di Kemta sihat, Alhamdulillah.

Hari Selasa lepas, 29 Jan 2008, beberapa orang kawan abah iaitu Terhamid, Ahmad dan Zakaria (semua dari Indonesia) telah dilanjutkan lagi penahanan mereka dari empat tahun kepada lapan tahun. Pakcik Yazid Sufaat juga telah ditambah lagi dua tahun iaitu dari enam tahun kepada lapan tahun.

ImageMemang tension juga abah memikirkan kisah pelanjutan penahanan ini, tetapi bila fikir pahala yang Allah janjikan ...apalah sangat ujian seperti ini. Bila abah baca pengalaman Zainab al-Ghazali yang diseksa di penjara Mesir, terasa malu pulak dengan ujian yang tidak seberapa ini.

Suhaib,
Kawan-kawan abah, berebut-rebut nak baca buku Zainab al-Ghazali itu. Sesiapa yang membacanya memang terasa mendapat suntikan baru, menggantikan semangat yang semakin longgar.

Tuan buku tu bernama 'Harun dan Salina', mungkin mereka antara kawan-kawan umi, dan harap dapat sampaikan ucapan terima kasih kepada keduanya kerana sudi pinjamkan buku itu. Lain kali, kalau ada buku seperti itu, bawalah ke Kemta.

Semalam, Selasa 30 Jan 2008, satu rombongan peguam telah datang ke Kemta. Salah seorang dari mereka ialah Pakcik Bon (Edmund Bon), orang kuat Majlis Peguam. Ada ramai peguam India dan seorang peguam berbangsa Melayu.

Peguam itu menceritakan pelbagai aktiviti hak asasi mereka dan juga kerja-kerja GMI. Sebelum bertemu tahanan Jemaah Islamiyyah (JI), Pakcik Bon dan kawan-kawannya berjumpa lima orang pemimpin Hindraf yang turut ditahan di Kem Kamunting ini.

Peguam Edmund Bon minta pengesahan daripada abah sama ada hendak meneruskan Habeas Corpus (HC) atau tidak. Abah, pakcik Murad Sudin, dan pakcik Sufian Saleh bersetuju HC itu diteruskan saja kerana jika tidak buat apa-apa pun, kami akan terus ditahan juga di kem.

Jadi, lebih baik teruskan dengan HC, paling tidak pun, kes itu akan dedahkan kejahatan ISA. Insya-Allah, kami dapat pahala. Mungkin Suhaib dan umi boleh tengok surah Taubah ayat 120 dan cuba fahamkan maksud ayat itu.

Selepas pertemuan itu, peguam telah belanja kami semua (tahanan yang bertemu peguam saja) makan tengahari. Abah rasa, pertemuan hari ini, ada kelainan sedikit dari biasa. Pakcik Bon ada sebut tentang pilihan raya yang semakin hampir. Abah harap pihak pembangkang tidak akan lupakan isu ISA ini.

Suhaib,
Abah sentiasa doakan Suhaib sentiasa bersabar dengan ujian ini. Abah dah rasa terlalu lama ketinggalan dengan urusan penghidupan di luar sana, terutamanya dalam membantu umi mendidik Suhaib tentang akidah dan akhlak. Abah selalu berpesan kepada umi untuk mengatur semuanya dengan sebaik mungkin. Abah hanya mampu mendoakan saja dari penjara ini.

Salam sayang buat Suhaib dan umi.

Abah,
Mat Sah Satray,
12.15 pagi, 1 Feb 2008.
Kem Tahanan Perlindungan.

____________________________

Surat ini merupakan sebahagian coretan yang dimuatkan dalam buku 'Dunia Tanpa Suami', yang menukilkan sebahagian luahan hati para isteri yang dinafikan hak mereka angkara ISA.

Buku setebal 115 muka surat itu antara lainnya menceritaka pengalaman pahit dan kesengsaraan para isteri, yang suami mereka ditahan selama beberapa tahun di bawah ISA.

Malah, bekas tahanan yang kini sudah menjadi wakil rakyat, Saari Sungib turut menulis pengalaman beliau ketika ditahan dan juga selepas bergelar YB.

Membaca pengalaman isteri-isteri tahanan ISA seperti isteri Saari, Aliza Jaafar, Pengarah Kempen Bebaskan Tahanan Enam Tahun ISA, Norlaila Othman dan Siti Norma Ismail, jelas menggambarkan kesengsaraan dan keperitan yang dialami keluarga tahanan.

Bukan sahaja suami mereka ditahan, keluarga termasuk ibu bapa dan rakan-rakan turut diganggu polis cawangan khas (Special Branch-SB), ke mana sahaja mereka pergi, dengan pelbagai cara.

Buku yang dijual dengan harga RM15 itu wajar dimiliki bagi mereka yang prihatin dengan nasib keluarga tahanan ISA kerana wang dari pembelian buku tersebut akan disumbangkan kepada tabung GMI.

Bagi mereka yang ingin memiliki buku tersebut, boleh menghubungi terus Norlaila Othman di talian 012 6892608, dan pejabat Suaram (03-77843525).

Manakala bagi pembaca yang prihatin dengan nasib malang keluarga tahanan, sila hantar sumbangan anda kepada HARAKAHDAILY DOT COM, nombor akaun Maybank 564070000336. - mks._

Read More...

Pembangkang: K'jaan lumpuhkan media

Malaysiakini

Jun 24, 08 5:22pm

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan tindakan menyekat petugas media membuat liputan di lobi Parlimen - yang pertama dalam sejarah Dewan Rakyat - sebagai tekanan terbaru kerajaan untuk melumpuhkan peranan media dalam melaporkan perbahasan yang berkaitan dengan kepentingan rakyat.

"Parlimen adalah badan perundangan tertinggi negara yang berhubungkait dengan segala aspek hidup rakyat semua lapisan
masyarakat.

"Oleh itu media memainkan peranan penting dalam menyebarkan isu-isu berbangkit yang melibatkan kepentingan umum dalam perbahasan ahli-ahli dewan rakyat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

dr wan azizahWan Azizah berkata, sejak Parlimen mula bersidang selepas pilihanraya mum ke-12, dengan scenario baru di mana Pakatan Rakyat menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional, kebanyakan media menghantar lebih daripada lima orang wartawan untuk membuat liputan berita yang lebih menyeluruh dan mendalam.

"Media televisyen juga terpaksa membuat rakaman di luar dewan sepanjang hari kerana siaran langsung sidang Parlimen terhad kepada hanya setengah jam pertama bagi sesi soal jawab sahaja," katanya.

Namun, kata Wan Azizah yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh, mulai semalam, media telah dihadkan kepada tidak lebih daripada lima orang wakil.

Tidak menghormati media

"Hari ini media dikejutkan lagi dengan sekatan untuk membuat liputan berita di lobi Parlimen, yang sebelum ini merupakan kawasan bagi menteri atau ahli Parlimen mengadakan sidang akhbar.

"Adakah sekatan ini bertujuan melindungi menteri daripada pertanyaan media yang sentiasa menginginkan penjelasan atau penerangan daripada menteri?" soalnya.

Wan Azizah berkata, Freedom House baru-baru ini meletakkan Malaysia di tangga ke-141 daripada 195 negara yang dikaji dalam senarai kedudukan kebebasan akhbar.

"Ini bermakna Malaysia tergolong dalam kategori "negara yang tidak bebas" bersama dengan negara-negara di Benua Afrika seperti Cameroon dan Libya.

"Tindakan ini bukan sahaja tidak menghormati media, malah tidak menghormati rakyat yang ingin melihat perubahan selepas Pilihanraya Umum ke-12.

"Percubaan kerajaan untuk menyekat berita daripada sampai kepada rakyat akan menjejaskan kredibiliti kerajaan yang telahpun merosot," tambahnya.

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |