+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Wednesday, June 25, 2008

Parlimen tarik balik larangan petugas media bergerak bebas di lobi

Mstar Online

25-06-2008 11:42:27 AM
Oleh ZANARIAH ABD. MUTALIB

(Mutakhir) KUALA LUMPUR: Selepas 'perang dingin' melibatkan petugas-petugas media dan pentadbiran Parlimen, lobi badan penggubal undang-undang ini dibuka semula untuk mereka membuat liputan dengan bebas.

Pengerusi Kelab Penyokong-penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC), Datuk Seri Tiong King Sing berkata, beliau mengadakan perbincangan dengan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berhubung hal itu pagi ini dan beliau sudah bersetuju untuk membuka semula ruangan lobi kepada media.

“Hal ini sudah selesai... sudah boleh lalu. Kalau ada apa-apa, beritahu kami," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen pagi ini.

Semalam, media tidak dibenarkan berlegar-legar di lobi Parlimen untuk menjalankan tugas atas arahan pihak pengurusan Parlimen dan hanya dibenarkan berada di tempat khas bagi sidang media.

Arahan itu menyebabkan pihak media kecuali Bernama, RTM dan media asing memulaukan semua sidang media termasuk yang diadakan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun razak

Tiong berkata, pihaknya juga tidak berpuas hati mengenai halangan yang dikenakan semalam dan Najib juga tidak tahu-menahu mengenai hal itu.

Bagaimanapun jelas beliau, perkara tersebut sudah boleh dianggap selesai.

Ketika ditanya sama ada halangan itu dilakukan atas sebab keselamatan, beliau berkata, soal keselamatan sebenarnya memerlukan kerjasama semua pihak.

“Bagi pihak wartawan, saya cadangkan semua ketua-ketua datang untuk berbincang dan sementara itu, bagi Ahli Parlimen sama ada daripada BN atau pembangkang, mereka perlu menjaga tingkah laku dan tidak menjadikan Parlimen sebagai tempat untuk sambutan hari jadi dan badan bukan kerajaan (NGO) mengedarkan memorandum mereka.

“Itu tidak sesuai. Soal keselamatan di Parlimen penting. Kita tidak mahu lihat (Parlimen) seperti di negara-negara lain... kalau apa-apa terjadi kepada Parlimen, ia bukan imej yang baik kepada negara,” katanya.

Berhubung isu hanya lima wakil yang dibenarkan bagi setiap media menghadiri sidang Parlimen, Tiong berkata, sepatutnya Speaker mahukan jawapan itu melalui surat dan seterusnya media akan dipanggil untuk mesyuarat.

“Bagaimanapun, saya diberitahu rakan-rakan media, ini bukan soal surat, ini keutamaan. Justeru saya akan berbincang semula dengan Speaker hari ini.

“Nanti kalau Speaker panggil mesyuarat, ketua-ketua media boleh berbincang... kalau lima orang tak cukup, nak 20 orang, kita.boleh berbincang,” katanya.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |