+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Wednesday, June 25, 2008

Altantuya - 'Tiada laporan risik tentera' kata Pak Lah

Berita Harian

Oleh Azhar Abu Samah, Anwar Hussin, Zainab Mohd Yatim, Abdul Halim Yusoff, Magendran Rajagopal dan Nazura Ngah


Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi

Dakwaan Raja Petra kaitkan isteri TPM dengan kes Altantuya tak benar: PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan, beliau tidak pernah menerima laporan bertulis daripada perisikan tentera yang mengaitkan isteri timbalannya, Datin Seri Rosmah Mansor dalam kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

"Tak ada... saya tak ingat langsung terima apa-apa dan saya yakin tak terima apa-apa. Tak ada yang dihantar kepada saya," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan jawatankuasa khas mempertingkat daya saing kelapa sawit di Bangunan Parlimen, semalam.Perdana Menteri mengulas dakwaan penulis blog, Raja Petra Kamarudin dalam akuan berkanunnya pada 18 Jun lalu yang menyebut beliau ada menerima laporan bertulis mengenai kes itu daripada perisikan tentera.

Dalam akuan bersumpah itu, Raja Petra mendakwa tiga orang - Rosmah serta pakar bom C4, Pemangku Kolonel Aziz Buyong dan isterinya yang juga pengawal pengiring Rosmah, Norhayati, berada di tempat Altantuya diletupkan di Puncak Alam, Shah Alam pada Oktober 2006.

Raja Petra mendakwa beliau dimaklumkan oleh sumber yang boleh dipercayai secara pasti bahawa Perdana Menteri sudah menerima satu laporan perisikan tentera mengenai perkara itu dan salinannya diberikan kepada menantunya, Khairy Jamaluddin untuk disimpan dengan selamat.

Sambil menegaskan beliau memandang berat dakwaan Raja Petra itu, Abdullah yakin Datuk Seri Najib Razak dan Rosmah tidak terbabit dalam kes berkenaan.

"Perbuatan Raja Petra itu tidak boleh diterima. Sebab apa yang dia nyatakan itu adalah sesuatu yang tidak betul, terutama dalam surat itu (akuan berkanun Raja Petra) disebut yang saya dah diberi satu laporan mengenainya daripada pihak perisikan tentera.

"Itu tak betul," katanya sambil menambah, beliau sudah dimaklumkan oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail mengenai dakwaan itu.

"Peguam Negara memberitahu beliau akan mengarahkan satu siasatan segera dijalankan dan tindakan diambil berhubung akuan bersumpah itu," kata Perdana Menteri.

Sementara itu, Dewan Rakyat menolak usul Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) untuk menangguhkan persidangan bagi membincangkan akuan berkanun Raja Petra.

Ketika menolaknya, Timbalan Speaker Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata kes itu masih dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Dalam usulnya, Lim mendakwa akuan berkanun Raja Petra yang dibuat pada 18 Jun lalu, perlu segera dibincangkan kerana nama Abdullah, Najib dan Rosmah disebut dalam akuan itu.

"Kredibiliti dan kesahihan kepemimpinan Abdullah serta kerajaan akan terjejas teruk sekiranya Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Rosmah terus membisu terhadap dakwaan serius oleh Raja Petra dalam akuan berkanun itu," katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdullah ketika ditanya mengenai dua wakil rakyat Parti Maju Sabah (SAPP) yang tidak menghadiri sidang Dewan Rakyat semalam dan kelmarin, berkata beliau dimaklumkan seorang daripadanya menghadiri majlis pengebumian, manakala seorang lagi tidak memberikan sebab.

"Bagaimanapun, saya baca akhbar yang melaporkan bahawa mereka tidak datang kerana bimbangkan keselamatan mereka berikutan dakwaan ancaman daripada beberapa pihak tertentu," katanya.

Abdullah juga berkata, usul Kenaikan Petroleum dan Harga Barang yang diluluskan Dewan Rakyat kelmarin, dapat meningkatkan keyakinan pelabur kerana kerajaan sekarang masih teguh dan mendapat sokongan padu bagi membolehkannya meneruskan agenda pembangunan.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |