Malaysiakini |
Abdul Rahim Sabri | Jun 25, 08 4:48pm |
Datuk Seri Anwar Ibrahim akan hadir di mesyuarat perhubungan PKR Selangor bagi membincangkan pelbagai isu panas yang melanda negeri dan parti itu, antaranya pergolakan dalaman selepas penggantungan tugas pegawai kanan menteri besar kelmarin. "Insya Allah, saya akan turut hadir dalam mesyuarat PKR Selangor malam nanti," kata penasihat PKR dalam blognya hari ini. Mesyuarat jam 9 malam ini akan diadakan di ibu pejabat parti di Tropicana, Petaling Jaya. Dua lagi isu yang sedang menantinya: penyaluran wang derma syarikat- syarikat swasta, sepatutnya milik kerajaan negeri, kepada akaun PKR negeri dan rasa tidak puas hati 17 bahagian berhubung pelantikan ahli-ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT). Wang derma sempena sambutan 100 hari kerajaan negeri Pakatan Rakyat dilaporkan dipertikaikan oleh pemimpin-pemimpin PAS, khususnya exco hal-ehwal agama Datuk Dr Hassan Mohamed Ali yang mengetuai jawatankuasa sambutan tersebut. Selain isu keanggotaan PBT, ketua-ketua bahagian itu juga membangkitkan isu kebajikan dan pembelaan terhadap aktivis-aktivis Gerakan Reformasi yang didakwa diabaikan oleh PKR Selangor. Mesyuarat badan perhubungan itu, yang dipengerusikan oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, dijadual akan turut dihadiri bekas pegawainya Mohd Yahya Mat Sahri. Yahya, yang digantung tugasnya sebagai pegawai tugas-tugas khas Abdul Khalid susulan siasatan dakwaan salah guna kuasa, meletakkan dua jawatan pentingnya, termasuk setiausaha badan perhubungan PKR negeri. Beliau memaklumkan kehadirannya di mesyuarat malam ini selepas bertemu Anwar semalam untuk membincangkan masalah penggantungan jawatannya dan juga rasa tidak puas hati 17 bahagian parti itu. Anwar, di blognya itu, cepat-cepat mendakwa desas-desus kemelut dalaman itu angkara "permainan media Umno-BN." "Isu yang digembar-gemburkan dalam media Umno-BN tidak menggugat seperti yang dipaparkan. Penyelesaian baik dicapai," katanya. "Alhamdulillah, saya dapat segera menghubungi Tan Sri Khalid sebaik kembali dari Madinah. "Kemudian saya turut ngobrol (berbual) panjang dengan Yahya Sahri (semalam) sambil menikmati mee mamak tanpa teh tarik." Sementara itu, Angkatan Muda PKR Selangor enggan mengulas lanjut isu pemindahan wang kerajaan negeri ke dalam akaun parti tersebut. "Perlu ada siasatan dijalankan, saya tidak oleh berbuat apa-apa kenyataan dalam masa siasatan tersebut," kata ketuanya Khairul Anuar Ahmad Zainuddin (foto) kepada Malaysiakini. Mengulas dakwaan kerajaan negeri membelakangkan ahli PKR dalam pentadbirannya, beliau yang turut hadir di mesyuarat malam ini berkata perkembangan itu "bagus" untuk partinya. "PKR tidak pernah ada pengalaman memegang kuasa. Kes yang berlaku bagus (kepada kerajaan negeri) kerana ia adalah proses pembelajaran sama ada yang mempunyai kuasa, jawatan ataupun tidak," katanya. Katanya lagi, kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat masih dalam proses membuat penyesuaian, maka tidak hairan timbul perkara- perkara yang tidak diingini. Mengulas dakwaan Yahya bahawa beliau mempunyai 70 hingga 80 peratus pengaruh di peringkat bahagian dan ketegangan Yahya dengan Abdul Khalid sebagai simbol keretakan PKR negeri, Khairul Anuar berkata: "Masalah dalaman parti, media bukan tempat berbincang untuk menyelesaikan masalah parti. Parti ada salurannya." Dalam perkembangan berkaitan, Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak) mencadangkan majlis hisbah (ombudsman) dibentuk bagi memastikan kerajaan negeri ditadbir secara bersih dan telus. Pengerusinya Mohd Nazree Mohd Yunus juga berkata kerajaan Pakatan harus mencerminkan sikap berbeza dengan pentadbiran BN sebelumnya yang didakwa tidak menjalankan tadbir urus yang baik dan tidak telus. Mengulas siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR) terhadap Yahya, beliau berkata: "Kedudukan sebagai pegawai kanan bukan lesen untuk dikecualikan daripada tindakan dan hukuman sekiranya didapati bersalah." Gerak juga menggesa BPR menjalankan siasatan terhadap pemindahan wang kerajaan ke dalam akaun PKR. |
Wednesday, June 25, 2008
Anwar hadapi isu panas PKR S'gor
Posted by
Sang Pemantau
at
10:23 PM
Labels: DSAI, malaysiakini, PKR, selangor
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment