ALOR STAR - Ketika syarikat-syarikat bas 'berlumba-lumba' menaikkan kadar tambang ekoran kenaikan harga bahan api dan kos penyelenggaraan, Konsortium Transnasional Berhad (Transnasional) di sini melaksanakan pendekatan yang berbeza.
Pengurusan syarikat itu mengambil keputusan untuk menurunkan sehingga 50 peratus bagi perkhidmatan bas henti-henti melibatkan perjalanan dua hala dari Terminal Bas Shahab Perdana ke Hentian Bas Pekan Rabu di sini bermula semalam.
Penyelia Operasi Bas Henti-Henti Transnasional, Mahadzir Abdul Ghani berkata, selain mempromosi kenderaan awam, penurunan tambang itu dilakukan untuk membantu meringankan beban rakyat selepas harga petrol dan diesel dinaikkan.
"Kami menurunkan tambang dari RM1 sehala kepada 50 sen sehala bagi perjalanan tersebut.
"Kami mencuba tambang murah ini di laluan paling sibuk di daerah ini melibatkan jarak lapan kilometer," katanya ketika ditemui Kosmo! di Terminal Bas Shahab Perdana semalam.
Malah Mahadzir berkata, Transnasional juga akan mengekalkan harga tambang baru itu untuk jangka masa yang panjang sekiranya mendapat sambutan.
Jelasnya, Transnasional juga akan mengkaji menurunkan tambang bagi laluan lain di daerah ini.
Bagaimanapun di Kuala Lumpur lain pula halnya. Syarikat yang sama merayu supaya kerajaan menimbang permohonan pengusaha-pengusaha bas untuk menaikkan kadar tambang bagi mengelakkan mereka terbeban dengan peningkatan kos operasi.
Selain itu, Pengerusi KTB, Datuk Mohd. Nadzmi Mohd. Salleh berkata, kerajaan juga perlu menimbang pemberian subsidi minyak sebanyak 80 sen per kilometer bagi menampung kos operasi bas henti-henti.
"Kami memohon kerajaan mempertimbangkan kenaikan sebanyak 54 peratus untuk untuk tambang bas ekspres dan 38 peratus untuk bas henti-henti.
"Subsidi yang diminta untuk bas henti-henti adalah bagi menampung kos operasi yang lebih tinggi berbanding kos operasi bas ekspres," katanya selepas Mesyuarat Tahunan KTB, di sini semalam.
Menurut Mohd. Nadzmi, walaupun kos operasi bas henti-henti lebih tinggi, namun tambangnya tidak boleh dinaikkan terlalu mendadak memandangkan penumpangnya terdiri daripada golongan berpendapatan rendah.
Ketika ini, KTB mempunyai 1,500 buah bas dengan 80 peratus daripadanya adalah bas ekspres manakala 20 peratus lagi adalah bas henti-henti.
0 comments:
Post a Comment