+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Wednesday, June 25, 2008

Warkah dari Kamunting: Abah hanya mampu doakan...

Harakahdaily

Tue | Jun 24, 08 | 5:42:37 pm MYT

Menemui yang dikasihi anak abah yang tersayang, semoga sihat sejahtera dan dipelihara Allah sentiasa...Amin.

Suhaib,
Abah di Kemta sihat, Alhamdulillah.

Hari Selasa lepas, 29 Jan 2008, beberapa orang kawan abah iaitu Terhamid, Ahmad dan Zakaria (semua dari Indonesia) telah dilanjutkan lagi penahanan mereka dari empat tahun kepada lapan tahun. Pakcik Yazid Sufaat juga telah ditambah lagi dua tahun iaitu dari enam tahun kepada lapan tahun.

ImageMemang tension juga abah memikirkan kisah pelanjutan penahanan ini, tetapi bila fikir pahala yang Allah janjikan ...apalah sangat ujian seperti ini. Bila abah baca pengalaman Zainab al-Ghazali yang diseksa di penjara Mesir, terasa malu pulak dengan ujian yang tidak seberapa ini.

Suhaib,
Kawan-kawan abah, berebut-rebut nak baca buku Zainab al-Ghazali itu. Sesiapa yang membacanya memang terasa mendapat suntikan baru, menggantikan semangat yang semakin longgar.

Tuan buku tu bernama 'Harun dan Salina', mungkin mereka antara kawan-kawan umi, dan harap dapat sampaikan ucapan terima kasih kepada keduanya kerana sudi pinjamkan buku itu. Lain kali, kalau ada buku seperti itu, bawalah ke Kemta.

Semalam, Selasa 30 Jan 2008, satu rombongan peguam telah datang ke Kemta. Salah seorang dari mereka ialah Pakcik Bon (Edmund Bon), orang kuat Majlis Peguam. Ada ramai peguam India dan seorang peguam berbangsa Melayu.

Peguam itu menceritakan pelbagai aktiviti hak asasi mereka dan juga kerja-kerja GMI. Sebelum bertemu tahanan Jemaah Islamiyyah (JI), Pakcik Bon dan kawan-kawannya berjumpa lima orang pemimpin Hindraf yang turut ditahan di Kem Kamunting ini.

Peguam Edmund Bon minta pengesahan daripada abah sama ada hendak meneruskan Habeas Corpus (HC) atau tidak. Abah, pakcik Murad Sudin, dan pakcik Sufian Saleh bersetuju HC itu diteruskan saja kerana jika tidak buat apa-apa pun, kami akan terus ditahan juga di kem.

Jadi, lebih baik teruskan dengan HC, paling tidak pun, kes itu akan dedahkan kejahatan ISA. Insya-Allah, kami dapat pahala. Mungkin Suhaib dan umi boleh tengok surah Taubah ayat 120 dan cuba fahamkan maksud ayat itu.

Selepas pertemuan itu, peguam telah belanja kami semua (tahanan yang bertemu peguam saja) makan tengahari. Abah rasa, pertemuan hari ini, ada kelainan sedikit dari biasa. Pakcik Bon ada sebut tentang pilihan raya yang semakin hampir. Abah harap pihak pembangkang tidak akan lupakan isu ISA ini.

Suhaib,
Abah sentiasa doakan Suhaib sentiasa bersabar dengan ujian ini. Abah dah rasa terlalu lama ketinggalan dengan urusan penghidupan di luar sana, terutamanya dalam membantu umi mendidik Suhaib tentang akidah dan akhlak. Abah selalu berpesan kepada umi untuk mengatur semuanya dengan sebaik mungkin. Abah hanya mampu mendoakan saja dari penjara ini.

Salam sayang buat Suhaib dan umi.

Abah,
Mat Sah Satray,
12.15 pagi, 1 Feb 2008.
Kem Tahanan Perlindungan.

____________________________

Surat ini merupakan sebahagian coretan yang dimuatkan dalam buku 'Dunia Tanpa Suami', yang menukilkan sebahagian luahan hati para isteri yang dinafikan hak mereka angkara ISA.

Buku setebal 115 muka surat itu antara lainnya menceritaka pengalaman pahit dan kesengsaraan para isteri, yang suami mereka ditahan selama beberapa tahun di bawah ISA.

Malah, bekas tahanan yang kini sudah menjadi wakil rakyat, Saari Sungib turut menulis pengalaman beliau ketika ditahan dan juga selepas bergelar YB.

Membaca pengalaman isteri-isteri tahanan ISA seperti isteri Saari, Aliza Jaafar, Pengarah Kempen Bebaskan Tahanan Enam Tahun ISA, Norlaila Othman dan Siti Norma Ismail, jelas menggambarkan kesengsaraan dan keperitan yang dialami keluarga tahanan.

Bukan sahaja suami mereka ditahan, keluarga termasuk ibu bapa dan rakan-rakan turut diganggu polis cawangan khas (Special Branch-SB), ke mana sahaja mereka pergi, dengan pelbagai cara.

Buku yang dijual dengan harga RM15 itu wajar dimiliki bagi mereka yang prihatin dengan nasib keluarga tahanan ISA kerana wang dari pembelian buku tersebut akan disumbangkan kepada tabung GMI.

Bagi mereka yang ingin memiliki buku tersebut, boleh menghubungi terus Norlaila Othman di talian 012 6892608, dan pejabat Suaram (03-77843525).

Manakala bagi pembaca yang prihatin dengan nasib malang keluarga tahanan, sila hantar sumbangan anda kepada HARAKAHDAILY DOT COM, nombor akaun Maybank 564070000336. - mks._

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |