+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Saturday, April 19, 2008

Abdul Rashid tidak akan layani permintaan Guan Eng untuk beri penjelasan

Mstar Online

18-04-2008 04:41:31 PM

NIBONG TEBAL: Bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Datuk Seri Abdul Rashid Abdullah tidak akan melayani permintaan kerajaan negeri yang memintanya memberikan penjelasan berhubung dakwaan penyelewengan tanah di negeri ini.

Beliau berkata, Ketua Menteri Lim Guan Eng boleh mendapatkan maklumat dengan merujuk kepada dokumen dan butiran terperinci mengenai sebarang status tanah di negeri ini dari semua pejabat tanah dan daerah di negeri ini.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri juga boleh merujuk mengenai perkara itu kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-undang Negeri kerana mereka hadir pada setiap kali mesyuarat Jawatankuasa Tanah Negeri dan juga mesyuarat Exco.

"Saya bukannya perpustakaan dan saya tidak boleh memberi penjelasan terhadap perkara yang tidak jelas butirannya. Semua fail dan dokumen ada disimpan di pejabat kerajaan. Saya tidak menyimpan sebarang fail itu dan jangan ada sebarang implikasi yang mengatakan bahawa fail-fail itu ada dalam simpanan saya.

"Sebab itu, saya tidak mempunyai apaapa penjelasan untuk sebarang dakwaan berlakunya penyelewengan tanah itu dan tindakan mereka itu hanya serkap jarang sahaja serta tidak ada kes yang jelas," kata bekas Exco Tanah, Agama serta Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri itu.

Sehubungan itu, Abdul Rashid berkata, beliau tidak mempunyai tanggungjawab atau obligasi untuk menemui ketua menteri bagi tujuan itu dan sebaliknya meminta kerajaan negeri campuran DAP-Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu supaya menggunakan kebijaksanaan mereka untuk menyemak sendiri dokumen bagi menyelesaikan dakwaan penyelewengan itu.

Beliau juga berkata, sepanjang beliau menjadi Exco bagi portfolio berkenaan, segala keputusan berhubung tanah dibuat secara kolektif serta mengikut prosedur yang ditetapkan dan jika kerajaan negeri sekarang mendapati ada yang tidak mengikut prosedur, maka ia boleh mengambil tindakan yang sesuai.

"Terpulang kepada kerajaan negeri untuk mengambil tindakan yang sesuai termasuk mengikut saluran undang-undang yang ada di negara ini," kata bekas anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap itu.

Baru-baru ini, Lim dilaporkan berkata kerajaan negeri akan meminta Abdul Rashid memberikan penjelasan mengenai dakwaan penyelewengan tanah di negeri ini sebelum akhir bulan ini.

Lim dipetik sebagai berkata, kerajaan negeri ingin memberikan peluang kepada Abdul Rashid untuk berbuat demikian sebelum bertindak mendedahkan penyelewengan yang didakwa itu.

"Exco telah meluluskan keputusan bahawa kes-kes ini boleh didedahkan sekiranya ia tidak melibatkan proses perundangan yang berjalan di mahkamah," kata Lim.

Abdul Rashid juga menjelaskan bahawa laporan akhbar sejak beberapa hari lalu yang menyatakan bahawa kerajaan negeri telah menjemput beliau untuk memberikan penjelasan adalah tidak benar kerana beliau hanya menerima surat jemputan itu petang semalam.

"Saya menafikan bahawa ada jemputan lebih awal daripada kerajaan negeri kepada saya sebelum ini untuk memberi penjelasan kepada Ketua Menteri," katanya.

Sehubungan itu, katanya beliau telah merujuk perkara itu kepada peguam untuk mengkaji bentuk tindakan yang boleh diambil terhadap kerajaan negeri. BERNAMA

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |