+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Saturday, April 19, 2008

Sultan Selangor gesa umat Islam bersatu selepas pilihan raya

Mstar Online

18-04-2008 04:00:34 PM

KUALA LUMPUR: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menggesa umat Islam di Selangor supaya bersatu semula selepas berbeza pendapat dan pendirian semasa pilihan raya umum lepas.

"Negara kita baru melalui pilihan raya dalam keadaan aman dan damai. Pemimpin yang baru telah dipilih untuk mentadbir negeri Selangor.

"Oleh itu umat Islam di negeri ini hendaklah melupakan segala perbezaan ideologi dan pegangan politik yang telah lalu, tetapi hendaklah samasama bersatu semula untuk kemajuan agama, bangsa dan negeri yang kita cintai ini," titah baginda semasa merasmikan Masjid Bukit Indah di Ampang dekat sini, hari ini.

Baginda bertitah amat penting bagi umat Islam menjauhi perpecahan yang disebabkan perbezaan pendapat kerana ia hanya akan merugikan bangsa dan agama.

Sultan Sharafuddin turut mengingatkan jawatankuasa masjid supaya mengemaskini rekod zakat, wakaf dan perkuburan bagi melicinkan pentadbiran.

"Walaupun perkara ini diurus dengan baik oleh Majlis Agama Islam Selangor, maklumat-maklumat terkini perlu disalurkan kepada mereka demi melicinkan lagi sistem pentadbiran zakat dan wakaf di negeri Selangor.

"Sesungguhnya kita mempunyai aset yang banyak dalam bentuk wakaf, malangnya perkara ini tidak didokumenkan menyebabkan sebahagian aset tersebut dalam bentuk tanah tidak dapat diurus.

Ini banyak berlaku apabila orang yang mewakafkan hartanya hanya melafazkannya dalam bentuk lisan," titah baginda.

Baginda bertitah sistem maklumat ahli kariah perlu dikemaskini agar agihan zakat dapat disalurkan dengan cepat, telus dan saksama bagi mengelak daripada berlaku keciciran dan hak zakat dapat ditunaikan kepada mereka sebagaimana ditetapkan oleh syariat Islam.

Masjid Bukit Indah yang bernilai RM6 juta dibina pada Oktober 2001 dan siap sepenuhnya pada April 2003.

Satu ciri menarik masjid itu ialah ia mempunyai sistem pengumpulan air hujan bagi kegunaan masjid dan untuk siraman pokok di pekarangan masjid. BERNAMA

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |