+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Saturday, April 19, 2008

Abdullah sambut baik kerjasama Perak jayakan NCER


Abdullah Ahmad Badawi bersalam dengan Mohammad Nizar Jamaluddin yang melakukan kunjungan hormat di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, semalam. - Bernama


PUTRAJAYA 18 April - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyambut baik kesediaan kerajaan Perak untuk bekerjasama menjayakan beberapa projek seperti Pelan Pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan landasan kereta api berkembar.

Menteri Besar Perak, Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, dalam pertemuannya dengan Abdullah di sini hari ini, beliau berkata, projek NCER perlu diteruskan kerana ia membabitkan sektor pelancongan, pertanian, pembuatan dan modal insan khususnya di negeri-negeri yang bersempadan dengan Perlis dan Kedah.

''Kami sebagai kerajaan campuran (pakatan pembangkang) akan bekerjasama mengenai projek ini supaya ia dapat dilaksanakan kerana ia memberi kebaikan kepada rakyat.

''Perdana Menteri cukup prihatin dengan projek landasan berkembar. Beliau minta kerajaan Perak beri kerjasama melalui projek berkembar dari Rawang sampai Perlis agar dapat dilaksanakan dengan elok,'' katanya kepada pemberita selepas pertemuan selama sejam antara kedua-dua mereka di Pejabat Perdana Menteri.

Dalam pada itu, beliau turut merayu Kerajaan Pusat meneruskan projek-projek pembangunan dan infrastruktur yang telah dirancang untuk kemajuan negeri itu.

Menurutnya, projek-projek tersebut meliputi pembesaran Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di Ipoh, pembangunan infrastruktur pelabuhan Lumut serta kemudahan gas asli untuk kegunaan industri di Manjung dan Seri Iskandar.

Katanya, beliau turut membincangkan projek-projek kecil dan infrastruktur di majlis-majlis daerah yang telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-12.

''Keseluruhan projek itu bernilai RM52 juta. Jadi kami merayu peruntukan sebanyak RM52 juta itu diteruskan supaya boleh dilaksanakan pada tahun ini,'' katanya.

Mohammad Nizar berkata, beliau juga memohon kerajaan mengkaji semula beberapa peruntukan dalam Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) agar ia memberi lebih ruang kepada rakyat Perak kerana Penjara Kamunting yang menempatkan tahanan ISA terletak di negeri itu.

Jelasnya, perkara itu mempunyai hubung kait dengan kenyataan Perdana Menteri semasa Majlis Makan Malam Majlis Peguam Malaysia semalam, supaya institusi kehakiman dapat ditambah nilai menerusi penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman.

''Penjara Kamunting berada di Taiping, Perak. Sudah tentu banyak program dan atur cara rakyat kadang-kadang menyentuh Akta ISA.

''Saya merayu supaya ada ruang untuk dikaji semula dan beliau menyatakan perkara itu perlu dilihat secara lebih terperinci," katanya.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |