Harakahdaily Wan Nordin Wan Yaacob Tue | May 06, 08 | 9:17:50 am MYT | |
KUALA LUMPUR, 6 Mei (Hrkh) - Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (KeADILan Permatang Pauh) menegaskan, kerajaan perlu memikirkan bagaimana cara untuk membantu golongan petani bagi meningkatkan hasil padi negara. "Sepatutnya daripada berbelanja berbillion ringgit untuk kapal selam dan kapal terbang Sukhoi, lebih baik kerajaan memberi tumpuan dalam meningkatkan ransangan bagi sektor pertanian khasnya dalam rangka menjamin pengeluaran makanan yang mencukupi untuk keperluan rakyat dan juga sebagai persiapan dalam pertahanan negara," ujar Wan Azizah. Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Ucapan Yang DiPertuan Agong di Dewan Rakyat semalam. Menurut Wan Azizah, akhir-akhir ini banyak diperkatakan bahawa dunia sedang menghadapi krisis makanan dimana pengeluaran beras dan bahan-bahan makanan lain tidak dapat memenuhi permintaan yang makin meningkat dan menyebabkan harganya melambung tinggi. Kekurangan berlaku antaranya kerana permintaan yang tinggi terutamanya daripada China dan India, katanya. Selain itu faktor lain seperti pertambahan penduduk dunia, berkurangnya kawasan pertanian untuk memberi laluan kepada pembangunan hartanah dan industri, kurangnya insentif untuk penerokaan kawasan baru untuk penanaman padi, kekurangan air kerana digunakan untuk industri, cuaca dan kenaikan harga bahan bakar. "Yang menghairankan, hampir semua negara-negara Asia dapat menghasilkan padi dan beras bagi memenuhi keperluan dalam negara mereka melainkan empat buah negara iaitu Filipina, Bangladesh, Singapura dan Malaysia!," katanya. "Hatta, negara-negara Asia yang maju industri seperti Jepun, Korea dan Taiwan dapat menghasilkan beras melebihi keperluan dalam negara mereka," katanya. Kerajaan perlu memandang serius perkara ini dan menjadikan agenda pengeluaran padi dan beras mencukupi untuk keperluan negara, tegas Wan Azizah. Hal ini perlu dilihat sebagai agenda penting sepertimana Jepun menjadikan pengeluaran padi dan beras sebagai agenda pertahanan negara, katanya. "Kami menggesa agar usaha yang bersungguh-sungguh, baik bagi peringkat kerajaan persekutuan maupun kerajaan-kerajaan negeri, dilakukan untuk membantu golongan petani dan penanam padi," katanya. Justeru katanya, peruntukan dana awam harus dijamin untuk program pembinaan keberdayaan masyarakat tani kita bagi menghasilkan pengeluaran makanan yang memenuhi keperluan negara. |
Tuesday, May 6, 2008
Bantu petani lebih baik dari belanja berbillion beli kapal selam - Wan Azizah
Posted by
Sang Pemantau
at
5:42 PM
Labels: Harakahdaily, pertahanan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment