OLEH ROSLAN BIAN
SHAH ALAM, Isnin 5 Mei : Walaupun belum dapat melaksanakan penurunan cukai pintu sebanyak 20 peratus seperti dijanjikan, Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor memberikan insentif dengan mengurangkan denda tunggakan cukai berkenaan, berkuatkuasa hari ini.
Melalui insentif itu, pembayar cukai pintu diberikan potongan 70 peratus bagi jumlah denda cukai pintu tertunggak sebelum 31 Disember 2007 manakala denda cukai tertunggak mulai 1 Januari tahun ini, diberikan pengecualian 100 peratus.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, walaupun kerajaan negeri akan kehilangan pendapatan hasil potongan dan pengecualian tersebut, lanmgkah itu adalah cara terbaik Pakatan Rakyat bagi melaksanakan janji kepada rakyat sebelum ini.
Tanpa menyebut kehilangan pendapatan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) atau kerajaan negeri ekoran pelaksanaan insentif itu, beliau meminta pembayar cukai menjelaskan cukai pintu itu berkuatkuasa hari ini sehingga 30 Jun.
“Selepas tarikh itu, mereka kena bayar seperti biasa,” katanya pada sedan media selepas Majlis perhimpunan pagi bulanan jabatan- jabatan kerajaan yang dianjurkan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di Dataran SUK, di sini, pagi ini.
Ini adalah perhimpunan pertama Abdul Khalid selepas dilantik sebagai Menteri Besar apabila kerajaan Pakatan Rakyat menerajui Selangor selepas pilihan raya umum ke 12 baru-baru ini.
Mengenai pengurangan 20 peratus cukai pintu serta 10 peratus bagi premis perniagaan, janji bertenaan belum dapat dilaksakan kerana beberapa faktor.
Beliau berkata kajian terperinci sedang dilakukan sebelum melaksanakan penurunan cukai pintu itu memandangkan tahap pembangunan ekonomi negeri masih belum sampai tahap diinginkan dan harga tanah yang semakin tinggi di samping pelaksanaan projek-projek perumahan yang masih berterusan.
“ Bagaimanapun, kerajaan negeri sedang memikirkan kaedah terbaik untuk melaksanakan 'janji kepada rakyat' itu dan hanya akan diketahui ketika membuat belanjawan negeri untuk tahun 2009, “katanya.
Abdul Khalid berkata kebanyakan rakyat menjangkakan beban kepada masyarakat melalui kenaikan cukai pintu adalah tinggi tapi berdasarkan kajian awal menunjukkan beban cukai yang tinggi itu dihasilkan oleh nilai hartanah yang mereka duduki sekarang.
"Jadi, saya dapati mereka ini kena bayar kenaikan sedikit, tapi nilai tanah mereka adalah cukup tinggi. Ada yang tanah mereka dalam masa setahun nilainya mencapai nilai tinggi," katanya.
Beliau berkata insentif itu diberikan di semua PBT di negeri Selangor untuk menggalakkan orang ramai menjalankan tanggungjawab menyelesaikan segala tunggakan cukai bagi membantu memperkukuhkan kedudukan kewangan PBT dan negeri.
“Dengan menggalakkan pembayaran cukai dalam masa cepat, kerajaan negeri akan dapat mengumpulkan wang itu semula untuk kegunaan PBT bagi menjalankan perkhidmatan di kawasan mereka.
"Banyak juga perbelanjaan yang diperlukan oleh PBT untuk menjaga kebersihan dan prasarana di kawasan PBT di seluruh negeri Selangor ini," katanya.
0 comments:
Post a Comment