+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Tuesday, May 6, 2008

Selangor tidak turun cukai taksiran tahun ini - Menteri Besar

SHAH ALAM 5 Mei - Kerajaan negeri pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas tidak akan menurunkan cukai taksiran sebanyak 20 peratus kepada rakyat Selangor seperti yang dijanjikan dalam manifesto pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat kerana keadaan ekonomi Selangor ketika ini masih belum mencapai tahap yang memuaskan bagi membolehkan janji tersebut dilaksanakan.

Selain itu, beliau bimbang langkah menurunkan cukai taksiran akan menambah beban kerajaan negeri dan mengurangkan hasil.

Menurut Abdul Khalid, jika kerajaan negeri menurunkan cukai taksiran sebanyak 20 peratus untuk kediaman dan 10 peratus untuk premis komersial sebagaimana yang diikrarkan dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-12, ia akan menyebabkan peruntukan untuk pembangunan-pembangunan lain di negeri ini tidak mencukupi.

"Berdasarkan kajian yang kita buat, rakyat (di Selangor) membayar cukai pintu yang tinggi kerana kadar yang dikenakan mengikut nilai hartanah yang mereka duduki yang sememangnya tinggi. Malah, ada sesetengah hartanah nilainya telah meningkat lebih 10 kali ganda.

"Bagaimanapun, kita tetap akan meneliti langkah ini (menurunkan cukai taksiran) pada tahun depan melalui Bajet 2009 termasuklah cara-cara bagaimana kita hendak melakukannya," kata beliau.

Abdul Khalid berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan kakitangan awam negeri Selangor di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini hari ini.

Beliau menegaskan, kerajaan negeri tidak dapat memberi sebarang jaminan untuk menurunkan cukai taksiran pada masa akan datang kerana ketika ini permintaan tanah meningkat di Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Bagaimanapun, beliau memberitahu, kerajaan negeri sedang memikirkan kaedah terbaik untuk melaksanakan 'janji kepada rakyat' itu, misalnya dengan memperkenalkan insentif kepada pemilik hartanah.

Antara insentif itu ialah pengurangan sebanyak 70 peratus ke atas denda cukai taksiran tertunggak bagi tunggakan hasil sebelum 31 Disember 2007, manakala bagi denda cukai tertunggak mulai 1 Januari tahun ini, pengecualian 100 peratus diberikan, berkuat kuasa hari ini hingga 30 Jun.

Menurut beliau, langkah itu dibuat bertujuan menggalakkan rakyat membuat pembayaran cukai taksiran bagi membolehkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dari segi kebersihan dan penyediaan kemudahan-kemudahan awam.

Malah, ujarnya, kerajaan negeri juga tidak mengenakan sebarang denda ke atas mereka yang lewat membayar cukai taksiran untuk tempoh Januari dan Februari tahun ini sekiranya ia dijelaskan sebelum tempoh yang ditetapkan iaitu Jun depan.

"Kita tahu kita akan mengalami kekurangan hasil melalui langkah ini. Tetapi sekiranya pemilik hartanah dapat melakukan pembayaran dengan cepat, kita akan dapat laksanakan kerja-kerja pembangunan dan perkhidmatan yang baik di setiap kawasan PBT," ujar Abdul Khalid.

Menteri Besar itu memberitahu, harga hartanah di Selangor terus melonjak walaupun terdapat sedikit kelembapan ekonomi selain kesan daripada persaingan di koridor pembangunan di negeri-negeri lain.

"Saya tidak boleh beri jaminan untuk turunkan cukai pintu ini kerana lama-kelamaan penawaran tanah untuk pembangunan termasuk perumahan dan industri akan berkurangan dan terhad," katanya.

Beliau menjangkakan penawaran tanah di negeri ini akan berkurangan dan keadaan sedemikian sudah tentu memberikan kesan kepada nilai hartanah.

Sementara itu Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib berkata, keputusan kerajaan campuran Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas tidak menurunkan cukai pintu di Selangor yang merupakan manifesto mereka pada pilihan raya umum lalu disifatkan sebagai satu tindakan yang tidak bertanggungjawab kepada rakyat.

Beliau memberitahu sepatutnya kerajaan negeri perlu mencari atau memikirkan setiap pendekatan dan kaedah yang sesuai untuk melaksanakan janji berkenaan kerana rakyat.

"Kita tidak mahu kerajaan negeri pada hari ini menggula-gulakan rakyat dengan menabur janji manis semata-mata untuk memegang tampuk pemerintahan di negeri ini.

"Sebagai gabungan parti yang membentuk kerajaan negeri, mereka (PKR, DAP dan Pas) sepatutnya berusaha serta yakin dapat melaksanakan janji yang dibuat untuk kebaikan rakyat.

"Namun, dengan keputusan hari ini (tidak turunkan cukai pintu), kerajaan negeri seolah-olah mudah menyerah kalah dan hanya lebih kepada membuat janji tetapi tidak berdaya untuk melaksanakan. Saya ucapkan tahniah atas 'usaha keras' kerajaan negeri ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

1 comments:

ba said...

kerajan negeri selangor tidak sahaja tidak menurunkan cukai taksian, malah cukai taksiran tanah kawasan kami telah meningkat secara mendadak. kami ingin dengar penjelasan daripda PR.

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |