+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Monday, May 26, 2008

Kedaulatan Pulau Pisang adalah jelas, kata MB Johor

Mstar Online

26-05-2008 06:09:18 PM

JOHOR BAHARU: Kedaulatan dan hak milik kerajaan negeri Johor terhadap Pulau Pisang, yang terletak di luar perairan Pontian dan menempatkan sebuah rumah api yang diuruskan oleh Singapura, adalah jelas, kata Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman.

Menurutnya, kewujudan rumah api di pulau yang berkeluasan 178.4 hektar tersebut adalah menerusi perjanjian di antara Sultan Johor pada ketika itu, Sultan Ibrahim dan kerajaan Inggeris.

"Pulau Pisang itu berada di dalam daftar kerajaan dan ia adalah milik kerajaan negeri Johor. Keperluan rumah api itu adalah sekadar untuk laluan perkapalan, syarat itu hendaklah dipatuhi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Ijtimak Huffaz Al-Quran Negeri Johor di sini, hari ini.

Beliau berkata, keluasan rumah api kendalian Singapura adalah kira-kira 0.4 hektar dan republik tersebut turut dibenarkan membina jeti serta laluan darat ke rumah api tersebut bagi kemudahan warganya.

Abdul Ghani berkata demikian tentang kemungkinan wujudnya pertikaian tentang kedaulatan serta hak pemilikan negara terhadap Pulau Pisang berikutan pengurusan rumah apinya yang dikendalikan oleh Singapura.

Menurutnya, pada 2001 kerajaan Malaysia mengenakan syarat mengkehendaki warga Singapura yang bertugas di rumah api Pulau Pisang supaya mendaftarkan diri di Pejabat Laut dan Pejabat Imigresen di Kukup, Pontian.

Pendaftaran itu perlu dilakukan dua minggu sekali ketika mereka memasuki dan keluar daripada pulau tersebut, katanya sambil menambah, kawasan rumah api itu berpagar dan merupakan kawasan larangan.

Mengenai rancangan membangunkan pulau terbabit, menurut Abdul Ghani, Pulau Pisang itu berpotensi untuk dibangunkan disebabkan keindahannya, tetapi tiada keputusan rasmi mengenai perkara itu setakat ini.

Selain Pulau Pisang, terdapat beberapa pulau lain yang terletak berdekatan dengannya iaitu, Pulau Tunda, Pulau Kemudi dan Pulau Sauh.

Abdul Ghani juga berkata nelayan-nelayan negara ini dibenarkan menangkap ikan di Pulau Pisang, selain kebenaran terhadap penduduk tempatan Kukup untuk memungut hasil buah-buahan dari pulau itu. BERNAMA




0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |