+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Monday, May 26, 2008

NGO: Daftar pemilih baru OK, tapi mahu jaminan telus

Mstar Online

26-05-2008 08:34:56 PM
Oleh G. MANIMARAN

KUALA LUMPUR: Pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menganggap syor Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mahu daftar pemilih semasa digantikan dengan baru sebagai langkah positif seiring dengan kehendak dan keperluan semasa.

Bagaimamanpun pemimpin-pemimpin NGO yang dihubungi menegaskan, apa yang lebih penting ialah memastikan daftar baru disyorkan itu jika diguna pakai kelak benar-benar mampu mengatasi masalah pemilih diragui, yang menjadi tumpuan banyak pihak selama ini.

Ibrahim Suffian, Pengerusi Eksekutif Merdeka Center, sebuah badan penyelidikan pilihan raya tempatan menganggap cadangan SPR itu sebagai langkah baru yang menepati kehendak pengundi negara ini selama ini.

"Saya yakin usaha SPR ini akan meningkatkan keyakinan terhadap suruhanjaya ini. Semua pihak dan parti politik perlu menerima cadangan ini dengan sikap terbuka," kata beliau ketika dihubungi mStar Online hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mahu satu daftar pemilih segar, yang akan melibatkan pendaftaran semula pengundi di seluruh negara, disediakan bagi menggantikan daftar induk semasa yang disifatkan badan itu sebagai “telah lapuk.”

Bagi tujuan tersebut, SPR akan mengesyorkan kepada kerajaan agar menyediakan undang-undang khas selepas mesyuarat anggota panel suruhanjaya itu 9 Jun ini.

"Sudah sampai masa bagi negara mempunyai satu sistem pendaftaran baru," kata beliau sambil menambah, langkah ini diharap akan membolehkan SPR bebas sama sekali daripada kritikan dan kecaman pelbagai pihak yang menyifatkan daftar pemilih semasa tidak bersih dan sebagainya.

"Tidak ada proses penyempurnaan yang jelas untuk menyediakan daftar pemilih bersih. SPR cuma mengemaskinikan sistem sedia ada dari semasa ke semasa selama ini," kata beliau yang sealiran dengan pendirian Abdul Rashid.

Jelas beliau, langkah berkenaan selari dengan usaha kerajaan yang mahu memperbaiki imej dan kedudukan agensi antirasuah dan kehakiman selepas pilihan raya umum ke-12 pada 8 Mac lalu.

Pemangku Pengerusi Badan Bebas Pemantau Pilihan Raya Malaysia (Mafrel), Syed Ibrahim Syed Noh berkata, pihaknya menyambut baik saranan tersebut jika benar ia mampu untuk menghilangkan keraguan berhubung daftar pemilih semasa.

Kata beliau, usaha yang disyorkan oleh SPR tidak hanya bersifat mengemaskinikan data pemilih semasa, sebaliknya perlu menjangkaui ruang lingkup luas iaitu mengelakkan kewujudan semula pengundi hantu dan pengundi berganda.

"Kami berminat untuk mengetahui kaedah yang hendak digunakan apabila menyediakan daftar pemilih baru ini. SPR perlu menjelaskan terlebih dahulu," kata beliau yang mengaku ada menerima aduan mengenai kewujudan pengundi hantu dan pengundi berganda dalam pilihan raya umum lalu.

Beliau juga mengesyorkan SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara mempunyai sistem rujukan dua hala bagi memastikan daftar pemilih bebas daripada pemilih-pemilih diragui seperti pemilih berusia lebih 100 tahun.

Dalam pada itu, Penyelaras Women Monitoring Election Candidates (Womec), Maria Chin Abdullah pula berkata, idea penyediaan daftar pemilih baru nampak positif, tetapi beberapa persoalan memerlukan jawapan.

Persoalan-persoalan yang beliau bangkitkan ialah jumlah kos yang diperlukan bagi proses pendaftaran semula, jaminan tidak akan wujud kembali pengundi hantu, dan bagaimana hendak memastikan kesemua 10.9 juta pemilih semasa akan didaftarkan semula.

"Saranan ini jika dilaksanakan, ia akan memakan yang lama, meskipun beliau (Pengerusi SPR) menganggarkan dua tahun, ia cuma jangkaan beliau tetapi sebenarnya ia akan memakan masa lebih lama," kata beliau yang juga Pengurus Program Kanan Sisters in Islam.

Beliau juga menimbulkan persoalan mengapa sistem semasa tidak boleh mengenal pasti unsur-unsur seperti kewujudan nama pemilih yang sudah meninggal dunia dan mereka yang mempunyai dua alamat tempat mengundi.

"Sebagaimana saya tahu sistem (pendaftaran dan semakan) semasa telah digunakan sebelum 2004. Adakah sistem itu gagal digunakan dengan baik? Jika gagal mengapa ia jadi begitu. SPR bertanggungjawab untuk memberikan maklumat-maklumat sedemikian terlebih dahulu," kata beliau.

Anggota Pakatan Bagi Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Liew Chin Tong berkata, pihaknya gembira kerana akhirnya SPR memberi perhatian terhadap aspek integriti daftar pemilih.

"Langkah untuk mengatasinya kemungkinan menjadi lebih buruk daripada masalah yang dialami. Apa yang penting ialah menyediakan proses pendaftaran secara automatik menggunakan pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara.

"Adalah sesuatu yang melegakan kerana SPR akhirnya menyedari bahawa daftar pemilih sedia ada lemah dari integriti dan gagal untuk memastikan pilihan raya yang bersih, adil dan bebas. Bagaimanapun penyelesaian Rashid membimbangkan," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera dengan merujuk kedudukan SPR yang terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Pemerhati politik tanah air dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Ahmad Nazimmuddin Sulaiman memberitahu, meskipun langkah yang dihasratkan oleh SPR adalah baik, tetapi yang penting ialah penyediaan daftar pemilih yang telus dan tepat.

"Persoalan perlu diberi perhatian ialah sama ada boleh menyediakan daftar pemilih yang telus dan tepat manakala parti-parti politik dibenarkan untuk membuat semakan," katanya.

Satu lagi langkah yang perlu difikirkan ialah pendaftaran semula secara automatik setiap mereka yang layak berbanding amalan semasa.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |