Daripada Noor Shamsiah Mohd
VIENTIANE, 26 Mei (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah berangkat tiba di sini Isnin bagi memulakan lawatan rasmi selama tiga hari ke Laos.
Pesawat khas yang membawa Seri Paduka berdua mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Vientiane Wattay kira-kira 10.15 pagi (waktu tempatan) setelah berlepas dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Keberangkatan tiba pasangan Diraja itu, yang diiringi Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek serta pegawai kanan kerajaan disambut oleh Menteri Tenaga dan Galian Laos, Dr Bosaykham Vongdara selaku Menteri Pengiring dan para pegawai kanan kerajaan Laos, serta Duta Malaysia ke Laos Zainal Abidin Ahmad.
Lawatan Seri Paduka adalah di atas jemputan Presiden Laos, Choummaly Sayasone dan merupakan sejarah kerana lawatan ini merupakan lawatan pertama kali oleh Ketua Negara Malaysia ke negara itu dalam sejarah hubungan antara kedua-dua negara.
Seri Paduka berdua kemudiannya diiringi ke Istana Presiden untuk upacara sambutan rasmi negara dan disambut oleh Choummaly serta isteri Keosaychay Sayasone.
Tuanku Mizan kemudian diiring oleh Choummaly ke pentas khas untuk istiadat sambutan dengan lagu kebangsaan Negaraku dan lagu kebangsaan Laos dimainkan.
Seri Paduka seterusnya memeriksa pasukan kawalan kehormatan sebelum diperkenalkan kepada para pembesar, menteri, pegawai kerajaan dan diplomatik asing yang berkhidmat di Laos.
Pada sebelah petang, Seri Paduka berdua dijadual melawat Muzium Kaysone Phomvihane yang dibina khas untuk memperingati bekas pemimpin revolusi dan juga bekas Presiden Laos, Kaysone Phomvihane.
Pasangan Diraja akan turut melawat Galeri Ekkalak Loa yang merupakan pusat pemasaran barangan kraft utama di kalangan pengusaha kraftangan tempatan.
Tuanku Mizan selepas itu akan mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Sidang Nasional Laos, Thongsing Thammavong di hotel penginapan baginda Don Chan Palace Hotel.
Permaisuri Nur Zahirah yang mempunyai atur cara berasingan, dibawa melawat National Rehabilitation Center yang dibina pada 1964 dan kini menempatkan serta melatih 120 pelajar cacat penglihatan dan pendengaran serta 90 pelajar kurang upaya.
Pada sebelah malam, Seri Paduka Baginda berdua akan menghadiri jamuan negara yang diraikan oleh Choummaly dan isteri di Loa Plaza Hotel.
Pada pagi esok, Tuanku Mizan dijadual menerima kunjungan hormat Perdana Menteri Laos, Bouasone Bouphavanh sebelum baginda berdua melawat Luang Stupa.
Seri Paduka Baginda berdua akan turut berangkat ke Kota Diraja bersejarah Luang Prabang, yang juga dikenali sebagai "Permata Indo China", yang merupakan tapak sejarah yang tersenarai sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Di Luang Prabang, Tuanku Mizan dan Permaisuri Nur Zahirah akan melawat Muzium Istana Diraja sebelum berangkat ke pusat kraftangan The Sangkhong.
Baginda berdua kemudian akan berangkat kembali ke Vientiane untuk menghadiri majlis makan malam bersama masyarakat Malaysia, di Don Chan Palace Hotel.
-- BERNAMA
0 comments:
Post a Comment