+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Wednesday, May 21, 2008

Mukhriz nak 'berperang' dari dalam...

Agenda Daily

Sah Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir akan terus kekal bersama UMNO dan tidak ikut jejak bapanya yang keluar parti.

Bercakap pada sidang media khas di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada jam 5.50 petang Selasa, Mukhriz memberitahu, walaupun kekal bersama UMNO beliau akan menjadi suara yang lantang menegur kepincangan kepimpinan parti.

"Dengan ini saya mendesak sekeras-kerasnya agar Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia, Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional dengan segera," katanya.

Beliau memberikan tempoh sehingga sebelum mesyuarat UMNO Cawangan bermula Julai depan untuk Abdullah meletakkan jawatan dan jika ia tidak berlaku, beliau tidak teragak-agak mengubah pendirianya yang terus kekal dalam UMNO.

Menjawab satu soalan, beliau berkata, keputusannya hari ini tidak dibincangkan dengan ayahnya, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang telah berlepas ke Tokyo bagi menghadiri satu persidangan.

Turut hadir pada sidang media beliau ialah tiga orang Exco Pemuda UMNO Malaysia dan beberapa Ketua Pemuda UMNO Bahagian daripada seluruh negara.

Tiga Exco Pemuda itu ialah Azizul Nizam Bidin,Kamarulzaman Kamdias dan Harrison Hassan.

Menjawab satu soalan Mukhriz mengesahkan ketiga-tiga mereka sependirian dengannya.

Jumlah Exco Pemuda UMNO Malaysia keseluruhannya serta Ketua-Ketua Pemuda Negeri ialah seramai (tidak termasuk Ketua Pemuda,Naib Ketua,Penolong Setiausaha,Penolong Bendahari,Ketua Penerangan,Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap) ialah seramai 38 orang.

Mukhriz juga mendakwa, daripada maklum balas yang diterimanya ramai ahli-ahli UMNO yang menyokong tindakan Dr Mahathir dan ada yang ingin mengambil tindakan sama keluar UMNO.

Kepada satu soalan lain beliau menegaskan tiada jalan kompromi dalam pendirian mahukan Abdullah letak jawatan.

Ditanya pula tidakkah nanti tindakannya ini akan memporakperandakan UMNO beliau selamba berkata, " UMNO memang dah porakperanda."

Mukhriz juga menolak dakwaan tindakan Dr Mahathir ada kaitan dengan arahan Kabinet supaya Peguam Negara memulakan siasatan serta merta berhubung segala tuduhan terhadap individu (termasuk Dr Mahathir) yang dinamakan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai klip video peguam Datuk V.K.Lingam.

Beliau berkata bapanya sudah menyatakan bahawa beliau bersedia pergi ke mahkamah untuk mempertahankan diri.

Mengenai kesan tindakan bapanya kepada ekonomi negara, Mukhriz berkata: "Saya boleh beritahu anda bahawa sebenarnya Malaysia bukanlah destinasi yang menarik bagi FDI (Pelaburan Langsung Asing) buat masa ini.

"Hari ini kita lihat pasaran bertindak secara negatif kepada kenyataan bapa saya dan malah lebih negatif lagi apabila Abdullah berkata beliau akan kekal sebagai Perdana Menteri. Saya fikir pelabur asing boleh mengharapkan sebuah kepimpinan yang kukuh untuk memberikan mereka keyakinan melabur di negara ini.

"Buat ketika ini, saya berpendapat, kita mempunyai pemimpin yang paling lemah dalam sejarah kita. Jadi, bukanlah salah bapa saya kalau pelabur dari luar memilih untuk pergi ke tempat lain. Anda boleh mengingat kembali 22 tahun semasa bapa saya menjadi Perdana Menteri... kita mencatatkan rekod kedatangan pelabur ke negara ini," katanya.

Mukhriz berkata beliau juga akan menyokong sesiapa sahaja calon yang difikirkan layak menggantikan Abdullah sekiranya amalan demokrasi dalam UMNO masih segar.

Ditanya siapakah paling layak untuk menggantikan Abdullah sebagai Presiden UMNO, Mukhriz berkata mengikut hiraki parti, Timbalan Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak adalah orang yang paling sesuai.

Mengenai Timbalan Presiden pula,katanya beliau terbuka dalam soal itu dan sedia terima siapa saja yang dipilih oleh parti.

Kepada soalan mengapa beliau tidak hadir pada pertemuan Abdullah dengan semua Ahli Parlimen dari UMNO di bangunan Parlimen pada waktu tengahari,Mukhriz berkata beliau ' benci' untuk berada dalam satu pertemuan yang hanya nak sahkan sokongan kepada Perdana Menteri

- 20/5/2008

-----------------------------------------------------------


BERIKUT IALAH KENYATAAN MEDIA PENUH DATUK MUKHRIZ YANG DIBACAKAN PADA AWAL SIDANG AKHBAR:



KENYATAAN MEDIA

YB DATO' MUKHRIZ MAHATHIR

AHLI PARLIMEN JERLUN

EXCO PERGERAKAN PEMUDA UMNO MALAYSIA

Merujuk kepada tindakan ayahanda saya, YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad di Alor Setar, Kedah semalam, yang mengumumkan keluar dari parti sehinggalah YAB Dato’ Seri Abdulah Hj Ahmad Badawi meletak jawatan sebagai Perdana Menteri, Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional, saya dengan ini membuat kenyataan seperti berikut:

1. Saya amat faham dan bersetuju bahawa tindakan ayahanda saya adalah kerana sayangnya beliau kepada UMNO. Saya juga percaya bahawa bagi mencapai matlamat tindakan tersebut, terdapat lebih dari satu cara perlaksanaanya. Maka dengan itu, saya mengumumkan bahawa saya TIDAK AKAN MELETAKKAN JAWATAN DI DALAM UMNO,SEBAGAI AHLI PARLIMEN JERLUN MAHUPUN SEBAGAI AHLI UMNO. SAYA AKAN TETAP SETIA SEBAGAI AHLI UMNO DAN AKAN MENJADI SUARA YANG LANTANG MENEGUR KEPINCANGAN KEPIMPINAN PARTI;

2. Seterusnya, saya serta rakan-rakan yang sependirian dengan saya dengan ini MENDESAK SEKERAS-KERASNYA AGAR YAB DATO’ SERI ABDULLAH HJ AHMAD BADAWI MELETAKKAN JAWATAN SEBAGAI PERDANA MENTERI MALAYSIA, PRESIDEN UMNO DAN PENGERUSI BARISAN NASIONAL DENGAN SEGERA;

3. Kami juga mendesak agar Majlis Tertinggi UMNO MEMBUKA SELUAS-LUASNYA SEGALA RUANG DEMOKRASI PARTI YANG TERMAKTUB DI DALAM PERLEMBAGAAN PARTI yakni dalam bentuk pemansuhan sistem kuota, membenarkan Mesyuarat Agung Luar Biasa diadakan, tidak menghalang ahli-ahli UMNO untuk mengadakan majlis bersama pemimpin atau tokoh Melayu, dan tidak mengeluarkan sebarang bentuk arahan, kekangan atau larangan yang menafikan prinsip-prinsip demokrasi dalam parti; dan

4. Selanjutnya, kami MENGGESA AHLI UMNO KHUSUSNYA DAN RAKYAT MALAYSIA AMNYA, menyuarakan bantahan mereka terhadap kepimpinan YAB Dato’ Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi secara terbuka dan lantang melalui surat peribadi, sms, surat kepada media serta melalui sidang-sidang media, bagi MEMBERI TEKANAN AGAR YAB DATO’ SERI SEGERA MELETAKKAN JAWATAN SEBAGAI PERDANA MENTERI, PRESIDEN UMNO DAN PENGERUSI BARISAN NASIONAL.

Ini adalah pendirian saya pada waktu ini. Saya tidak akan teragak-agak untuk mengubah pendirian saya ini sekiranya keadaan tidak beransur pulih.

Sekian.

20 Mei 2008

---------------------------

BERITA JAM 3 PETANG SELASA: Timbul tanda tanya...Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir tidak hadir pertemuan antara Perdana Menteri dengan Ahli-Ahli Parlimen UMNO di bangunan Parlimen tengahari ini. Ini menguatkan lagi spekulasi beliau akan menuruti jejak bapanya Tun Dr Mahathir Mohamad keluar UMNO. Mukhriz akan adakan sidang media petang ini bagi jelaskan kedudukannya. Sementara itu, Mukhriz difahamkan telah mengadakan pertemuan dengan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Isnin malam. Menurut sumber yang layak dipercayai, pada pertemuan itu, Mukhriz memberitahu beliau sendiri terkejut dengan keputusan bapanya keluar daripada UMNO. Malah kata beliau, ibunya juga turut terkejut dengan keputusan Dr. Mahathir itu. Sehingga berita ini ditulis jam 3.00 petang Mukhriz masih belum lagi kelihatan di Parlimen bagi mengadakan sidang media untuk menjelaskan pendirianya berhubung isu itu. -20/5/2008

----------------------------------------

Mukhriz... di persimpangan dilema




Datuk Mukhriz Mahathir jarang mengelak dari para wartawan yang hendak mendapatkan komen mengenai isu politik.Sebaliknya sepanjang petang hingga ke malam Isnin Exco Pemuda UMNO dan Ahli Parlimen Jerlun ini tiba-tiba jadi sukar dihubungi oleh para wartawan. Ada yang hanya berpeluang setakat bercakap dengan pembantu khasnya saja.

Sebabnya tidak lain tidak bukan ialah berita gempar bapanya,Tun Dr Mahathir Mohamad buat pengumuman di majlis dialog bersama Himpunan Melayu Kedah di Alor Star beliau keluar UMNO pada waktu tengahari.

Wartawan Agendadaily agak bernasib baik kerana kebetulan beliau sendiri menjawab telefon bimbitnya ketika ia berdering pada waktu petang.Itupun suaranya kedengaran amat keberatan sekali untuk menyentuh bab itu.

Akhirnya Mukhriz hanya bersetuju untuk dipetik sebagai berkata buat masa ini beliau enggan memberi sebarang ulasan mengenai tindakan Dr Mahathir umum keluar UMNO.

"Sekarang ini saya sedang berfikir," katanya.Beliau juga memberitahu telah dihujani oleh panggilan telefon dan SMS dari rakan-rakannya seluruh negara.

Andaian yang selamat dapat dibuat dari reaksi itu mungkin Mukhriz sendiri terkejut dan tidak menduga bapanya hendak mengucapkan selamat tinggal kepada UMNO walaupun mereka berkongsi pendirian terhadap Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Sabtu, baru dua hari sebelumnya kedua mereka hadir di forum bertajuk ‘UMNO Pasca Pilihan Raya Umum 12: Suara Hati Rakyat’ yang dianjurkan oleh Badan Bertindak Gabungan Ahli-Ahli Akar Umbi UMNO Johor di Johor Bharu.

Di forum itu Dr Mahathir dengan lantang berkali-kali mengajak ahli-ahli UMNO singkirkan Abdullah.


Mukhriz menyentuh sepintas lalu kelemahan Perdana Menteri dan sebaliknya lebih menekankan azamnya hendak menyelamatkan UMNO dan menghentam Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Apakah Mukhriz cuba mengelak seketika dari para wartawan kerana beliau cukup sedar implikasi tindakan bapanya keatas masa depan karier politiknya sendiri?

Mahu tak mahu beliau pasti kena berdepan dengan para wartawan yang tentu menunggu disetiap penjuru untuk mengepungnya bila beliau muncul di Dewan Rakyat yang sambung sidang hari ini selepas cuti hujung minggu dan Hari Wesak.

Pokoknya beliau muncul pasti kenyataanya akan menjadi berita besar dan jika tidak muncul pun akan jadi bahan berita.

Sebagai anak apakah Mukhriz tidak akan menyahut seruan bapanya yang meminta semua pemimpin cawangan dan bahagian UMNO keluar parti sehingga Perdana Menteri letak jawatan?

Jika ya ia memang tidak mengejutkan.

Namun jika tidak apakah alasan yang hendak diberikannya?

Semua orang ternanti-nanti jawapan Mukhriz kerana pendirianya bukan sahaja melibatkan dirinya secara peribadi sebagai ahli UMNO.

Yang lebih sensasi di sini ialah UMNO akan kehilangan satu kerusi di Parlimen jika beliau memutuskan untuk ikut jejak Dr Mahathir.

Itulah yang dikatakan dilema terbesar Mukhriz.

Apakah beliau hendak menjadi penyumbang kerusi parlimen pertama yang mendekatkan lagi impian yang digembar gemburkan khususnya oleh Parti Keadilan Rakyat untuk ‘ menawan Parlimen.’?

Dalam pada itu ditengah-tengah kehangatannya hendak menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia keputusan untuk menjadi ahli parlimen bebas jika keluar UMNO tentunya akan melontar dirinya ke dalam belantara politik yang belum pasti ada jalan keluarnya.

Berat…memang berat.Sebab itu diketika kejutan pengumuman Dr Mahathir masih segar berlegar dan menjadi bualan ramai …perhatian utama kini bertumpu sepenuhnya kepada kata putus Mukhriz.- 19/5/2008

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |