+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Monday, June 9, 2008

Gas asli jadi pilihan pemilik kenderaan

Utusan Online

MELAKA 8 Jun - Malam Rabu lalu, seluruh negara dikejutkan dengan berita kenaikan harga petrol dan diesel berkuat kuasa keesokan harinya.

Walaupun ramai sudah menjangka tetapi kenaikan harga petrol daripada RM1.92 seliter kepada RM2.70 manakala diesel daripada RM1.58 kepada RM2.58 seliter cukup mengejutkan.

Sejak itu, pelbagai keluhan, cadangan dan pandangan diterima daripada badan-badan bukan kerajaan (NGO) bagi membela nasib golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Namun, di sebalik rintihan tersebut, ada di kalangan pengguna yang lebih suka berdiam diri kerana sedar kenaikan harga minyak dunia adalah fenomena tidak dapat dielakkan.

Bermula dengan kesedaran itu, pengguna kini mula berkira-kira untuk menggunakan gas asli (NGV) pada kenderaan mereka yang terbukti lebih menjimatkan berbanding penggunaan petrol dan diesel.

Pengarah syarikat pemasangan NGV, Natural Autogas Enterprise, Azuwan Salleh, 26, berkata, sejak minggu lalu, dia menerima lebih banyak tempahan untuk memasang NGV pada kenderaan pelanggannya.

"Tiga tahun lalu, secara purata, kami hanya menerima 15 buah kereta sebulan untuk memasang NGV pada kenderaan mereka.

"Tapi sejak kenaikan minyak diumumkan Khamis lalu, sehingga hari ini, dalam masa empat hari saja, saya sudah menerima tempahan hampir 90 buah kenderaan pelbagai jenis untuk dipasang dengan NGV," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sambil menyifatkan keadaan itu umpama durian runtuh baginya, Azuwan berkata, kebanyakan pelanggannya terdiri daripada pengguna persendirian dan juga syarikat swasta.

"Saya sendiri terkejut dengan sambutan yang diterima dan terpaksa bekerja tujuh hari seminggu sehingga pukul 10 malam untuk memenuhi permintaan pelanggan.

"Nampaknya, penguna sudah mula sedar akan kebaikan NGV yang lebih menjimatkan dan mesra alam," katanya ketika ditemui di bengkelnya di Kawasan Perindustrian Industri Kecil dan Sederhana, Ayer Panas di sini hari ini.

Menurut Azuwan, kos mengubah suai enjin kenderaan petrol kepada NGV dan petrol menelan belanja antara RM2,900 hingga RM8,250 bergantung kepada jenis enjin dan saiz tong yang ingin dipasang.

Daripada segi penjimatan pula, katanya, sebagai contoh, pengisian penuh sebuah tong standard berkapasiti 55 liter padu gas adalah sekitar RM8 dan boleh bergerak sehingga sejauh 200 kilometer (km) berbanding harga petrol yang perlu diisi ialah sekitar RM40.

"Memang tidak dinafikan, dengan pemasangan NGV, kenderaan akan kehilangan 25 peratus prestasi kuasa pecutan, tetapi masih ada cara untuk mengekalkannya dengan pemasangan peralatan tertentu.

"Apa yang pasti, NGV merupakan alternatif terbaik dalam menangani kenaikan harga minyak hari ini, tambahan pula kini stesen NGV semakin mudah didapati di seluruh negara," katanya.

Beliau turut berharap kerajaan memperkenalkan satu bentuk pinjaman kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang layak untuk menampung kos pemasangan NGV.

"Kebanyakan pengguna sedar tentang penjimatan menggunakan NGV tetapi mereka tidak mempunyai perbelanjaan yang cukup untuk memasang NGV pada kenderaan.

"Sebenarnya, untuk jangka masa panjang, NGV lebih menjimatkan dan berharap kerajaan dapat memperkenalkan bentuk pinjaman yang sesuai kepada pengguna sebagai alternatif kepada subsidi minyak yang telah dikurangkan," katanya.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |