+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Monday, June 9, 2008

Syabas tolak terma, air percuma Selangor jadi tanda tanya?

Mstar Online

09-06-2008 07:55:26 PM
Oleh NURUL AIN HUSSAIN

KUALA LUMPUR: Selepas tiga hari Menteri Besar Selangor menjamin air percuma mulai bulan ini, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) hari ini menolak terma-terma dan syarat-syarat pembayaran yang dijanjikan oleh Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) bagi pihak kerajaan negeri berhubung pemberian 20 meter padu air percuma mulai 1 Jun.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ruslan Hassan berkata, setelah menelitinya, Syabas tidak bersetuju dengan kandungan surat akujanji bersyarat KDEB itu yang ditandatangani pada 6 Jun lalu dan dihantar kepada Syabas dengan serahan tangan pagi ini.

Surat penolakan Syabas itu telah dihantar kepada KDEB untuk makluman dan tindakan lanjut, kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan di sini petang ini.

Pejabat Menteri Besar Selangor ketika dihubungi sebentar tadi memaklumkan mStar Online bahawa Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim akan mengeluarkan kenyataan balas kemudian.

"Syabas tidak bersetuju dengan akujanji pihak KDEB yang mencadangkan pembayaran bilbil air yang diberikan percuma kepada pengguna hanya akan dibuat oleh KDEB selepas cadangan penstrukturan semula sistem bekalan air di Selangor oleh KDEB siap sepenuhnya September 2008.

"Cadangan pihak KDEB ini akan secara langsung menjejaskan aliran tunai Syabas dan boleh menjejaskan operasi Syabas," kata beliau lagi.

Jelas Ruslan, Syabas berpendapat pemberian air percuma yang dicadangkan kerajaan Selangor itu tiada kaitan dengan program penstrukturan yang dicadangkan di negeri itu.

"Oleh itu, cadangan balas Syabas ialah untuk mengebil kepada pihak KDEB setiap penghujung bulan dan pembayaran oleh KDEB kepada Syabas perlu diterima dalam tempoh 14 hari daripada penyerahan tuntutan tersebut," katanya.

Katanya, kegagalan KDEB memenuhi syarat pembayaran seperti yang dicadangkan itu akan menyebabkan Syabas terpaksa menghentikan program pemberian air percuma itu.

Ruslan berkata, Syabas akan meneruskan dengan pengeluaran bilbil seperti biasa tanpa pemotongan atau subsidi sehingga ia berpuas hati dengan akujanji yang dikeluarkan kerajaan negeri Selangor mahupun KDEB bagi pembayaran 20 meter padu air yang dijanjikan kerana Syabas tertakluk kepada perjanjian konsesi seperti yang ditandatangani dengan kerajaan negeri dan Pusat. BERNAMA

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |