Utusan Online
KUALA LUMPUR 7 Jun - Kerajaan dan majikan swasta dituntut menyelaraskan pembayaran Elaun Kos Sara Hidup (COLA) RM300 sebulan secepat mungkin.
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), G. Rajasekaran berkata, ia bertujuan mengimbangi kenaikan harga petrol serta diesel masing-masing kepada RM2.70 seliter dan RM2.58 seliter bermula semalam.
Beliau berkata, pembayaran COLA amat perlu memandangkan kenaikan harga bahan bakar itu akan diikuti kenaikan harga barangan dan kos sara hidup.
''Selain itu, COLA juga harus dilaksanakan kepada pekerja swasta dan kerajaan pada kadar RM300 sebulan tanpa mengira faktor kawasan mereka bekerja,'' katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Sebelum ini, COLA yang dibayar kepada pekerja sektor awam berbeza antara RM100 hingga RM300 mengikut kawasan mereka bekerja sementara pekerja swasta masih lagi belum menikmatinya.
Sehubungan itu Rajasekaran menambah, 200 persatuan pekerja yang bernaung di bawah MTUC akan menghantar memorandum berhubung tuntutan itu kepada para majikan swasta di seluruh negara minggu depan.
Menurutnya, selain menghantar memorandum, pihaknya juga mengatur pertemuan dengan Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam bagi membincangkan hal tersebut.
''Kami faham, syarikat juga kini terbeban dengan kos operasi yang semakin meningkat tetapi pembayaran COLA masih perlu diteliti dan dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat. Saya harap kerajaan akan bantu kami,'' jelasnya.
0 comments:
Post a Comment