Malaysiakini |
Jimadie Shah Othman | Jun 9, 08 1:19pm |
Pulau Pinang mengambil keputusan rasmi menghentikan promosi program Islam hadhari di negeri itu, kata timbalan ketua menteri Mohammad Fairus Khairuddin. Menurutnya, perkara itu akan diumumkan secara rasmi selewat-lewatnya minggu depan. "Saya akan membuat sidang akhbar itu mungkin di sekitar hujung minggu ini atau minggu depan. Jadi keputusan kita, di Pulau Pinang ini, kita tidak menggunakan istilah haram (mengharamkan Islam hadhari). "Kita tidak akan meneruskan sama sekali program Islam hadhari ini. "Kita akan menumpukan untuk membangunkan dan menggerakkan sebanyak-banyaknya segala program-program Islam yang telah sedia ada dan kita syiarkan tujuan itu tanpa perlu menggunakan istilah-istilah yang mengelirukan,” katanya kepada Malaysiakini petang ini. Menjelaskan maksud "tidak meneruskan" itu, Mohammad Fairus berkata, "ertinya, segala program (Islam hadhari) mesti dihentikanlah dan ditumpu (kepada usaha) menghidupkan apa yang ada di dalam Islam, sebagaimana yang nabi bawa sejak 1400 tahun lalu." Keputusan itu diambil - tidak lama selepas Selangor mengambil langkah yang sama pada 26 Mei lalu - setelah mendapat nasihat lebih 20 orang pakar agama dan bekas mufti, katanya. "Setelah saya berbincang dan mendapat nasihat daripada beberapa pakar agama, malah beberapa bekas mufti, tokoh agama, ulama ini bersetuju," katanya. Beliau bagaimanapun enggan menyebut beberapa tokoh ulama dan pakar yang dirujuknya. Diminta mengulas jika terdapat pihak yang enggan mematuhi arahan ini, Mohammad Fairus berkata: "Itu bermaksud mereka engkar pada ketetapan penguasa negeri. Dan kita menyatakan keputusan kita, kita tak akan meneruskan (program Islam hadhari)." Ditanya tindakan yang bakal diambil mereka, beliau berkata kerajaan negeri belum memutuskan tindakan lanjut. "Yang itu, saya akan tentukan kemudian," tambahnya. Mohammad Fairus berkata kerajaan negeri telah menghentikan program mempromosikan versi Islam tersebut walaupun tiada pengumuman rasmi dikeluarkan sebelum ini. Sementara itu, kumpulan aktivis muda Komunite Seni Jalan Telawi (KsJT) melihat tindakan kerajaan Selangor mengharamkan Islam hadhari itu sebagai "terperangkap dalam usaha BN." "Kami yakin, tentulah harapan rakyat kepada kerajaan baru di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Perak adalah bagi melihat kerajaan Pakatan Rakyat memainkan peranan membela nasib golongan terpinggir seperti peniaga kecil, ibu tunggal, mahasiswa dan semua lapisan masyarakat daripada hanya terbelit dengan ‘perangkap’ Umno dan BN," kata jurucakapnya Hasmi Hashim. "Tatkala rakyat merintih kekurangan beras di dapur dan ribuan nelayan yang kekeringan diesel untuk ke laut, tindakan mengharamkan Islam hadhari boleh sahaja dianggap sebagai mengalih isu yang sedang dideritai rakyat." Hasmi, juga ketua bahagian PKR Parit Sulong berkata, niat asal perjuangan reformasi 1998 untuk menuntut kebebasan bersuara wajar direnung kembali ketika kerajaan-kerajaan negeri Pakatan, termasuk Selangor, bakal menyambut 100 hari pentadbiran mereka. "Kami bimbang dengan pemaksaan kuasa termasuk pengharaman Islam hadhari hanya membayangkan bagaimana kerajaan baru ini dilihat mirip autoritarian ala kerajaan (BN) terdahulu," kata Hasmi dalam satu kenyataan hari ini. Dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bulan lepas, exco hal-ehwal agama Datuk Dr Hassan Mohamed Ali berkata: "kerajaan telah membuat keputusan, Islam hadhari tidak diizinkan untuk diperkembangkan di negeri Selangor, cukuplah dengan dinul (agama) Islam." Susulan kenyataan tersebut, mufti-mufti Perlis dan Perak mempertahankan Islam hadhari. "Istilah Islam hadhari telah mengelirukan banyak pihak, namun isi kandungannya baik. Malangnya, pelaksanaan isi kandungan itu kurang kelihatan, selebihnya hanya jenamanya sahaja yang diuar-uarkan," kata Dr Mohd Asri Zainul Abidin baru- baru ini. "Saya mencadangkan kepada pihak yang menolak secara ‘pakej’ (Islam hadhari) supaya menilai dengan objektif, menerima aktiviti yang baik atau dasar-dasar yang baik yang termuat dalam Islam hadhari dan boleh menolak jenama yang mengelirukan itu." Mufti Perak dilaporkan berkata tidak wajar mengharamkan program berkonsepkan Islam hadhari. Datuk Seri Dr Harussani Zakaria berkata, tindakan tersebut boleh mengelirukan umat Islam terhadap konsep Islam tersebut yang diperkenalkan perdana menteri. "Saya rasa kita kena faham betul-betul dahulu tentang konsep Islam Hadhari itu sebelum mengambil tindakan. "Apa yang saya faham setelah berbincang dengan perdana menteri dahulu, Islam hadhari menepati tujuan Islam," katanya. Semalam menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zahid Hamidi dilaporkan berkata Dr Hassan "tidak menolak konsep" Islam hadhari dan tidak juga mengharamkannya. Mengulas lanjut kenyataan awalnya itu, Dr Hassan pernah memberitahu Malaysiakini: "Kita mengambil keputusan tidak mempromosikan Islam hadhari di sekolah, dalam khutbah Jumaat dan program-program keagamaan." Pada 27 Mei, media rasmi PAS Harakahdaily.net melaporkan bahawa Hassan mengingatkan imam-imam yang membaca khutbah berunsurkan Islam Hadhari akan ditarik balik tauliahnya. |
Monday, June 9, 2008
Rasmi: Tiada lagi Islam hadhari
Posted by
Sang Pemantau
at
10:55 PM
Labels: Hadhari, malaysiakini, Pulau Pinang
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment