KLpos |
Oleh Bernama | |
Ahad, 08 Jun 2008 | |
KL: Dewan Pemuda PAS hari ini mencadangkan elaun yang dinikmati menteri dipotong sebagai salah satu langkah penjimatan wang kerajaan. Ketuanya Salahuddin Ayub berkata berikutan peningkatan harga barang keperluan kini, langkah berjimat cermat sepatutnya tidak hanya diamalkan rakyat tetapi turut diikuti pemimpin kerajaan."Kerajaan tidak mengumumkan sebagai contoh nak kaji semula elaun semua menteri. Sepatutnya diumum pemotongan elaun, pemotongan pelbagai faedah yang mereka dapat, itu sepatutnya dipotong kalau sama-sama mahu melihat kita sama-sama berjimat. "Jangan hanya meminta rakyat sahaja berjimat tetapi mereka (menteri) tidak mengamalkan kehidupan yang menunjukkan mereka berjimat," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat exco Dewan Pemuda PAS di sini. Salahuddin berkata pihaknya akan mencadangkan usul supaya kerajaan mendedahkan penyata kewangan Petronas pada persidangan Dewan Rakyat yang akan datang. "Buat apa PM (Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) terlalu nak berahsia sangat tentang akaun Petronas ini, dia (Abdullah) mesti reveal mesti beritahu rakyat subsidi yang seharusnya dia (Petronas) tanggung, keuntungan yang dia (Petronas) dapat dan ke mana keuntungan itu dibelanjakan," katanya. Beliau berkata satu perhimpunan aman yang bakal dihadiri kira-kira 10,000 anggota PAS serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Jumaat depan selain penyerahan memorandum kepada Perdana Menteri Selasa depan, akan diadakan bagi membantah kenaikan harga minyak yang membebankan rakyat. Katanya perhimpunan secara aman akan dijalankan sehinggalah kerajaan berbuat sesuatu untuk meringankan beban pengguna berikutan kenaikan mendadak harga petrol dan diesel yang berkuatkuasa sejak Khamis lepas. |
0 comments:
Post a Comment