+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Monday, June 9, 2008

Minyak cecah AS$150 tempoh terdekat - Penganalisis

Utusan Online

KUALA LUMPUR 7 Jun - Harga minyak mentah dunia diramal mampu mencecah paras AS$150 setong (RM487.5) dalam tempoh terdekat selepas menyaksikan kenaikan tertinggi dalam sehari untuk mencatat rekod baru di pasaran hadapan New York semalam.

Harga minyak itu melonjak sebanyak AS$10.75 kepada AS$138.54 setong berbanding rekod sebelumnya AS$135.09 setong.

Penganalisis dengan MIMB Investment Bank, Shahril Anas berkata, kemungkinan untuk mencapai paras AS$150 tidak mustahil berdasarkan kenaikan yang berlaku itu.

''Kenaikan mendadak itu berpunca daripada kesediaan Israel untuk menyerang Iran sekiranya gagal menghentikan program senjata nuklear.

''Perkembangan ini akan membawa kepada spekulasi bakal berlakunya kekurangan bekalan minyak kerana Iran merupakan pembekal minyak keempat terbesar dunia,'' jelas beliau.

Bagaimanapun, Shahril berkata, harga minyak mentah dunia juga boleh mencecah paras AS$150 sekiranya keadaan ekonomi Amerika Syarikat (AS) kekal tidak menentu sehingga menjejaskan harga komoditi lain.

''Berdasarkan keadaan semasa ekonomi negara itu, harga emas hitam itu boleh mencecah AS$200 menjelang akhir tahun ini.'' kata beliau lagi.

Sementara itu, Pengurus Kanan Pelaburan Inter-Pacific Securities Sdn. Bhd., Deti Affendi A. Kadir berkata, peningkatan harga minyak mentah itu sudah dijangka berdasarkan pasaran semasa tidak menentu.

''Masalah peningkatan harga akan terus berlaku sekiranya spekulasi terhadap komoditi itu terus dipermainkan oleh para pelabur.

''Ditambah dengan keadaan tidak menentu seperti di Vietnam, kelemahan nilai dolar AS serta permintaan terhadap komoditi itu yang akan terus meningkat berbanding pengeluarannya yang berkurang,'' katanya.

Selain itu, seorang penganalisis dari firma yang sama Koay Yi Chuan pula menyifatkan peningkatan harga semasa kebanyakannya adalah disebabkan berita tidak munasabah.

''Berita seperti keadaan politik dunia bakal menyaksikan tercetusnya peperangan akan membuatkan pelabur terus melancarkan spekulasi secara berterusan.

''Khabar terbaru seperti kadar pengangguran yang semakin meningkat di AS telah menjadi salah satu punca kepada kenaikan harga minyak di pasaran pada Jumaat lalu,'' jelasnya.

Sekiranya harga minyak mentah di pasaran terus menjadi bahan spekulasi bagi menjana keuntungan, ia tidak mustahil akan mencecah AS$200 dalam masa tidak sampai setahun, tambahnya.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |