+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Wednesday, July 30, 2008

Anwar kemuka JAWI laporan Pusrawi, Saiful dipanggil

Mstar Online

30-07-2008 05:02:00 PM
Oleh ARIFFUDDIN ISHAK

(Dikemas kini) KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan laporan perubatan yang dikeluarkan hospital Pusrawi yang mengatakan bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan tidak diliwat semasa memberi keterangan di Jabatan Agma Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) hari ini.

Beliau hadir ditemani isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pada pukul 10.30 pagi bagi memberi keterangan berhubung laporan tuntutan qazaf (tuduhan palsu) yang dibuat terhadap Saiful sebelum ini.

Pagi semalam Anwar, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, pendedahan laporan doktor Pusrawi, yang disebar meluas menerusi portal berita semalam, membuktikan dakwaan meliwat terbaru terhadapnya hanya bermotifkan politik dan tidak berasas sama sekali.

“Saya ada menyebut mengenai laporan perubatan (Dr. Mohd Osman) itu dan JAWI ambil maklum mengenainya,” katanya selepas memberi keterangan hampir dua jam setengah.

Hadir sama peguamnya Kamar Ainiah Kamarulzaman.

Semasa memberi keterangan, Anwar turut mengemukakan hujah oleh seorang ulama feqah terkemuka, Prof. Sheikh Taha Jabir al-Ulwani yang mengatakan qazaf bagi tuduhan liwat terpakai seperti tuduhan zina.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu turut memberitahu media kemungkinan JAWI akan memanggil Saiful bagi merekodkan keterangannya selepas ini.

Bagaimanapun beliau menyatakan kesanggupan untuk hadir sekali lagi bagi memberi keterangan tambahan jika diperlukan sepanjang siasatan dijalankan.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan, JAWI akan merujuk kepada doktor berkenaan bagi memberikan keterangan lanjut.

Ditanya apakah soalan yang dikemukakan oleh JAWI kepadanya, Anwar berkata JAWI mengajukan soalan mengikut prosedur biasa.

“Mereka tanya saya mengapa saya anggap kes ini tiada motif. Mereka juga ingin tahu mengapa saya katakan saya difitnah serta apa bukti yang saya ada untuk kuatkan hujah,” katanya.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat itu bagaimanapun berpuas hati dengan proses memberi keterangan yang dijalankan oleh JAWI berbanding pihak polis.

Tambahnya lagi, proses yang dijalankan oleh JAWI adalah lebih professional dan beliau yakin dengannya.

Beliau turut diajukan soalan sama ada bimbang dengan hasil laporan perubatan terhadap Saiful yang dilakukan oleh Hospital Kuala Lumpur (HKL), beliau berkata "tidak".

“Saya tidak bimbang mengenai laporan HKL jika ia dibuat dengan professional dan telus.

“Persoalannya adakah akan ada kemungkinan laporan itu akan dikoyak (dipalsukan).” katanya dengan sinis.

Beliau sekali lagi menegaskan agar siasatan yang dijalankan terhadapnya tidak bermotifkan politik sebaliknya perlu mengikut prosedur yang jelas berdasarkan undang-undang sedia ada.

Diminta mengulas mengenai kenyataan yang dibuat oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar agar beliau menghentikan sebarang spekulasi sebaliknya memberi kerjasama penuh kepada polis, beliau berkata:
“Kerjasama apa lagi yang tidak saya berikan?.

“Cuba anda tanya dia (Syed Hamid) adakah dia sanggup untuk berbogel seperti yang saya alami. Adakah itu menunjukkan saya tidak memberi kerjasama," katanya.

"Saya tidak buat sebarang spekulasi sebaliknya kadang-kadang ada wartawan yang nakal megajukan soalan untuk dapatkan reaksi saya," jelasnya.

BERITA TERDAHULU

Anwar kini berada di JAWI, 12 jam selepas gesa polis henti siasatan liwat

Kira-kira 12 jam selepas meminta polis menghentikan siasatan berhubung dakwaan meliwat, yang dihadapinya buat kali kedua, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini berada di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di ibu negara bagi memberi keterangan berhubung laporan di bawah peruntukam qazaf (tuduhan palsu) mengenai dakwaan tersebut.

Pagi semalam Anwar, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, pendedahan laporan doktor Pusrawi, yang disebar meluas menerusi portal berita semalam, membuktikan dakwaan meliwat terbaru terhadapnya hanya bermotifkan politik dan tidak berasas sama sekali.

Malam tadi ketika dihubungi mStar Online, Peguam Kamar Ainiah Kamaruzaman yang mewakili Anwar mengesahkan mengenai kehadiran Anwar di JAWI.

“Ya, Datuk Seri Anwar akan ke JAWI esok bagi memberi keterangan berhubung laporan yang dibuat dulu,” kata beliau yang menganggotai pasukan pembelaan Anwar.

Ini kali pertama Anwar membawa isu berkenaan kepada JAWI. Beliau berhadapan dengan dakwaan meliwat 10 tahun yang lalu.

Pada 9 Julai lalu Anwar telah memfailkan laporan tersebut di Unit Siasatan, Bahagian Penguatkuasaan JAWI mengikut Seksyen 41, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997.

Mengikut seksyen itu, sesiapa yang menuduh orang lain melakukan zina tanpa mengemukakan empat saksi lelaki atau ikrar (pengakuan) orang yang dituduh, dia boleh dituduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum denda RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu membuat dakwaan tersebut terhadap bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa diliwat atas nasihat ulama dan peguam mengikut undang-undang Syariah.


0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |