Malaysiakini |
Jimadie Shah Othman | Jul 29, 08 12:38pm |
Laporan perubatan terhadap Mohd Saiful Bukhari Azlan mengesahkan bahawa tuduhan liwat yang dibuat terhadapnya "tidak berasas" dan "bermotifkan politik", kata Datuk Seri Anwar Ibrahim. "Laporan perubatan yang bocor semalam mengesahkan bahawa tuduhan terhadap saya tidak berasas dan bermotifkan politik, dan pengadunya seorang pembohong besar yang berpakat dengan mereka yang berkuasa untuk mencemarkan keperibadian saya serta melencongkan keinginan ramai melihat perubahan di Malaysia," kata ketua umum PKR. Perkara itu, tambahnya, menguatkan pendiriannya terdahulu untuk tidak memberikan sampel darahnya untuk tujuan analisis DNA. Dengan kemunculan bukti baru itu juga, Anwar berkata, siasatan "harus dihentikan" dan "dibatal serta-merta". "Laporan ini memperkuat kenyataan saya bahawa saya tidak bersalah, (sebaliknya) difitnah dan dikhianati," katanya di sidang media di ibu pejabat PKR di Tropicana, Petaling Jaya menjelang tengah hari ini. "Ini merupakan langkah terakhir (dalam kes tuduhan liwat) berkaitan kes kerana saya ada urusan lain lebih penting, untuk bersama dalam pilihanraya kecil, untuk ke parlimen dalam tempoh segera," katanya. Kemunculan bukti baru itu "memberikan kelegaan" kepada beliau dan keluarganya yang terkesan dengan tuduhan liwat oleh bekas pembantunya itu. Menjawab soalan pemberita sama ada beliau yakin dengan kesahihan laporan Hospital Pusrawi itu, tokoh pembangkang itu berkata: "Saya yakin ia asli dan sahih. Dan tidak ada sesiapa, sehingga kini, mempertikaikan kesahihannya," katanya. "Saya juga semak dengan beberapa pakar, mereka mengesahkannya tanpa ragu." Ditanya sama ada beliau mengenali Dr Mohamed Osman Abdul Majid, doktor yang membuat pemeriksaan itu, beliau berkata: "Saya tidak kenal beliau. Saya tidak pernah berjumpa dengannya. Inilah kali pertama saya lihat namanya dari laporan itu." Anwar turut menyindir polis yang mendakwa siasatan pasukan itu "profesional" dan tidak memihak tetapi "terlepas pandang" pada bukti tersebut. "Isunya, dari awal polis menyedari wujud laporan itu. Bagaimana anda meneruskan kes, sehingga saya dibogelkan, apabila anda dalam keadaan mempunyai maklumat, kemudian menangkap dan menahan saya semalaman dalam lokap." Berikutan bocornya laporan tersebut, tambah Anwar, beliau bimbang tentang keselamatan doktor itu. "Adanya laporan yang menyebut beliau dan keluarga mungkin berada dalam bahaya tidak boleh dipandang ringan memandangkan beberapa insiden saksi-saksi penting kes berprofil tinggi di Malaysia pernah diugut, dipaksa dan hilang entah ke mana," katanya. Laporan perubatan terhadap Mohd Saiful dibuat pada 28 Jun, kira-kira empat jam sebelum pemuda itu membuat satu lagi pemeriksaan perubatan di hospital Kuala Lumpur dan kemudian laporan polis. Menurut laporan itu yang dijalankan oleh Dr Mohamed Osman, tiada kesan Mohd Saiful diliwat. Mengulas siasatan aduan qazafnya, beliau berkata: "Saya difahamkan fail (siasatan) sudah dibuka. Siasatan telah dimulakan. Saya juga telah dipanggil dan akan ditemuduga." Anwar dijadual hadir di bahagian penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) jam 10.30 pagi esok, dipercayai susulan aduan itu pada 9 Julai. Sebelum sidang media itu, PKR mengedarkan laporan pemeriksaan terhadap Mohd Saiful bersama huraian tambahan yang menjelaskan beberapa istilah perubatan yang sukar difahami dan beberapa tulisan doktor itu yang tidak jelas. Laporan yang disahkan milik hospital swasta di Jalan Tun Razak itu mula beredar di internet sejak semalam. |
Wednesday, July 30, 2008
'Bukti dakwaan liwat Saiful tiada asas'
Posted by
Sang Pemantau
at
9:11 PM
Labels: DSAI, konspirasi, malaysiakini, sepol bodo
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment