+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Wednesday, July 30, 2008

Pusrawi: Pemeriksaan Saiful tidak libatkan soal diliwat

Mstar Online

30-07-2008 08:06:46 PM
oleh NURUL AIN HUSSAIN

(Dikemas kini) KUALA LUMPUR: Hospital Pusrawi hari ini menjelaskan pegawai perubatannya, Dr Muhamad Osman Abdul Hamid hanya melakukan pemeriksaan biasa terhadap Mohd Saiful Bukhari Azlan tetapi bukan aspek yang berkaitan liwat.

Malah, pusat perubatan swasta itu turut menafikan ia pernah mengeluarkan sebarang maklumat rasmi mengenai laporan perubatan Mohd Saiful yang mengadu telah diliwat bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengarah Pusrawi, Wan Mahmood Wan Yaacob pada sidang media petang ini berkata, Dr. Muhamad Osman merupakan seorang pegawai perubatan am yang bertugas di klinik kemalangan dan kecemasan hospital itu dan bukannya seorang doktor pakar.

“Dr. Mohamad Osman telah menasihatkan pesakit Mohd. Saiful supaya diperiksa lanjut oleh doktor pakar di hospital kerajaan.

“Tidak ada pemeriksaan dilakukan selanjutnya berkaitan dengan aduan liwat,” kata beliau ketika membacakan kenyataan lima perenggan.

Pusrawi mengadakan sidang media khas ini selepas kelmarin laporan perubatan yang tidak disahkan daripada hospital itu mendedahkan pemeriksaan ke atas Mohd Saiful, 23, empat jam selepas beliau membuat laporan polis terhadap Anwar pada 28 Jun, didakwa tidak mempunyai bukti berlakunya perbuatan liwat.

Mohd Saiful dikatakan diperiksa oleh Dr. Mohamed Osman.

Bagaimanapun, polis menyatakan laporan berita mengenai perkara itu bertujuan untuk mensabotaj penyiasatan mereka dan mengelirukan orang ramai.

Anwar juga telah meminta supaya polis menghentikan siasatan tersebut.

Sidang itu turut dihadiri Pengarah Perubatan Pusrawi Dr. Kamaruddin Ahmad.

Wan Mahmood menambah, laporan perubatan terhadap Mohd Saiful yang diedarkan melalui internet hampir sama dengan laporan asal.

“Laporan tersebut nampak genuine tetapi yang asli ada pada saya," katanya sambil menegaskan, pihak hospital belum dapat memastikan kesahihan laporan perubatan yang diedarkan itu.

“Pihak hospital telah menubuhkan satu jawatankuasa dalaman untuk menyiasat kesahihan maklumat yang didedahkan itu sama ada ia dengan laporan perubatan yang sebenar.

“Bagaimanapun kami menafikan sama sekali Pusrawi telah mengeluarkan laporan berkenaan secara rasmi,” kata Wan Mahmood.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada laporan perubatan yang tersebar itu palsu ataupun sebaliknya, beliau berkata:

“Doktor tersebut tidak membuat pemeriksaan meliwat, jadi tidak wujud keadaan laporan tersebut adalah palsu.”

Ketika mengulas lanjut, Kamaruddin pula berkata, Saiful telah datang ke hospital itu dengan alasan sakit perut dan tidak dapat membuang air besar.

"Dr. Muhamad Osman telah memeriksa Saiful, pesakit yang mengadu sakit di bahagian dubur, jadi doktor telah memeriksa dia,” katanya.

Katanya, Dr. Osman tidak boleh menjalankan pemeriksaan berkaitan liwat kerana beliau bukan pakar dalam bidang berkenaaan.

Oleh itu, jelas beliau, Dr.Muhamad Osman telah menasihatkan Mohd. Saiful supaya menjalani pemeriksaan di hospital kerajaan.

Dr. Kamaruddin menambah, tiada pemeriksaan lanjut dilakukan berkaitan aduan liwat dijalankan di Pusrawi.

Dalam pada itu, ketika ditanya di mana Dr. Muhamad Osman berada ketika ini, Kamaruddin menjelaskan, Dr. Muhamad Osman sedang bercuti dan akan kembali bertugas minggu hadapan.

Beliau menjelaskan, Dr. Muhamad Osman telah mula berkhidmat dengan hospital swasta berkenaan sejak Januari lalu.

Difahamkan doktor yang berusia 56 tahun ini merupakan seorang pegawai perubatan yang berdaftar dengan Persatuan Perubatan Malaysia dan berasal dari Myanmar.

Dr. Kamaruddin mengakui sebelum Dr Muhamad Osman bercuti, beliau ada menemui doktor tersebut.

Ditanya apa yang dibincangkan dalam pertemuan tersebut, beliau berkata, Dr. Muhamad Osman hanya menceritakan kejadian yang berlaku semasa Saiful datang membuat pemeriksaan.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |