+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Saturday, July 12, 2008

Lanskap baru politik negara bermula Isnin ini - Anwar

Harakahdaily

Lanjusoh

Sat | Jul 12, 08 | 2:53:19 pm MYT

PENGKALAN CHEPA, 12 Julai (Hrkh) - Mungkinkah Isnin ini bakal mencatat satu lagi lanskap politik negara apabila usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri dibincangkan di parlimen?

Usul tersebut dikemukakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, Khamis lalu.

Ketua Umum Parti KeADIlan Rakyat, Dato' Seri Anwar Ibrahim berharap usul tersebut diterima Speaker untuk dibahas bagi kepentingan seluruh rakyat.

"Sekarang rakyat berdepan dengan banyak kes kezaliman yang berlaku dan ditambah pula dengan masalah ekonomi ekoran kenaikan harga minyak," katanya pada ceramah perdana di Putik malam tadi.

Hadir sama Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat; Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa; Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Dato' Takiyuddin Hassan; Pengerusi Perhubungan KeADIlan Kelantan, Aziz Abdul Kadir dan anggota parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail.

Kawasan kompleks Putik penuh sesak dengan orang ramai. Kenderaan yang diletak di kiri kanan jalan sepanjang satu km menghala ke Putik.

Rekod kehadiran agak luar biasa sejak sejarah bangunan Putik beroperasi.

Anwar berkata, usul tersebut begitu penting bagi memulihkan kembali suasana politik negara yang semakin tidak selesa sekarang.

Beliau juga menjelaskan selagi keadaan politik negara tidak dipulihkan semakin ramai pelabur asing tidak berminat untuk melabur di negara ini.

"Ketika saya menghadiri perjumpaan dengan kira-kira 700 pelabur dan pengurus dana di Singapura baru-baru ini mereka memberitahu sudah tidak yakin dengan suasana politik di Malaysia sekarang.

"Keadaan politik yang tidak menentu menyebabkan mereka tidak berminat. Begitu juga pelabur dan pengurus dana dari negara-negara Arab.

"Malah ada pelabur terkenal dari Arab memberitahu sekiranya kerajaan baru dapat dibentuk di Malaysia, dia bersedia melabur di negara ini," katanya.

Menurutnya selain keadaan politik yang tidak stabil sekarang, gejala rasuah dan penyelewengan membabitkan pemimpin dan pegawai kerajaan begitu berleluasa.

Malah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Dato' Nazir Razak juga mengakui perkembangan politik semasa negara telah menggugatkan keyakinan pelabur.

Anwar juga memberitahu isu liwat yang cuba dipalitkan terhadap dirinya bertujuan melarikan pemikiran rakyat terhadap masalah kegawatan politik dan ekonomi yang berlaku sekarang.

"Isu pokok sekarang ialah masalah negara dengan kehidupan rakyat yang semakin terbeban. Oleh itu bagi mengalih perhatian rakyat mereka khianati saya kononnya terbabit kali kedua dengan kes liwat.

"Biarlah orang yang hendak percaya atau tidak, apa yang penting tuduhan itu hanya ulangan daripada cerita lama," katanya.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, tuduhan terbabit dengan seks pernah dialami Nabi Yusof a.s apabila difitnah bersama isteri raja yang bernama Siti Zulaikha.

Husam juga memberitahu isteri Nabi Muhammad s.a.w., Siti Aisyah pernah juga cuba difitnah dengan kes yang serupa namun kebenaran akhirnya berpihak kepada orang yang jujur.

Menteri Besar berkata, rakyat Kelantan cerdik apabila datang beramai-ramai mendengar isu semasa pada ceramah yang diadakan itu bagi mendapatkan berita sebenar. - mj/mks. _

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |