+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Tuesday, July 15, 2008

PAS: Jangan heret tentera ke kancah politik

Malaysiakini

Abdul Rahim Sabri | Jul 15, 08 2:08pm

Dewan Pemuda PAS hari mengemukakan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong membantah tindakan kerajaan 'mengheretkan tentera ke dalam kancah politik".

Memorandum tiga muka surat itu diserahkan ketuanya, Salahuddin Ayub kepada pegawai pentadbir kanan Istana Negara, Guli Tahir.

Yang di-Pertuan Agong adalah pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Dalam memorandum tersebut, Salahuddin menarik perhatian baginda terhadap siri latihan bersama di antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ATM pada 2 Julai lalu.

Beliau juga merujuk kepada kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang dilaporkan sebagai berkata bahawa latihan bersama ini relevan "memandangkan kebelakangan ini erlaku beberapa insiden melibatkan ketenteraman awam, seperti demonstrasi, akibat tindakan beberapa pihak yang mempunyai agenda tersendiri".

Salahuddin berkata, latihan bersama itu dan juga kenyataan Musa telah memberikan isyarat yang salah kepada rakyat Malaysia dan juga dunia luar, "seolah-olah Malaysia bukan lagi sebuah negara yang selamat disebabkan terdapatnya ancaman yang serius terhadap ketenteraman awam dan keselamatan negara".

"Persoalannya, apakah benar hingga serius sekali suasana yang ada di dalam negara ini hingga menuntut PDRM dan ATM terpaksa mengadakan latihan bersama?" soalnya.

Soal suara majoriti

Menurut Salahuddin, kekalutan yang timbul terutamanya selepas pilihanraya umum ke-12 adalah disebabkan parti pemerintah di peringkat Persekutuan sudah tidak mendapat kepercayaan bulat dari rakyat.

Katanya, ini ditambah pula dengan beberapa isu lain yang menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat seperti kenaikan harga minyak, kenaikan harga barang keperluan dan lain-lain masalah yang gagal ditangani dengan baik oleh kerajaan.

Salahuddin berkata, masalah ketidaktentuan politik ini yang bersangkut paut dengan soal suara majoriti di Dewan Rakyat boleh diselesaikan dengan mekanisme dan konvensyen perlembagaan serta 'duluan' yang berlaku sebelum ini, termasuk di negara Komanwel lain, tanpa perlu menggambarkan kepada rakyat seolah-olah negara ini berada dalam keadaan tidak selamat dan huru-hara.

Oleh yang demikian, tambahnya, masalah ketenteraman awam dan keselamatan negara tidak berbangkit sama sekali.

Jika ada pun demonstrasi atau perhimpunan umum yang dilakukan, tambahnya, ia bukanlah suatu yang asing dalam kerangka sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini.

Katanya, ini kerana hak untuk berhimpun secara aman adalah dijamin kepada seluruh warga negara Malaysia sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Perkara 10 (l)(b) Perlembagaan Persekutuan.

"Cumanya selama ini pihak polis yang patik percaya atas pengaruh parti pemerintah, telah menyekat hak perlembagaan ini dari dilaksanakan oleh rakyat dengan tidak memberikan permit kebenaran atas alasan kononnya sebarang perhimpunan yang dianjurkan oleh parti-parti pembangkang akan menjejaskan ketenteraman awam," katanya.

'Polis bertindak keras'

Salahuddin juga berkata, dalam banyak kejadian, termasuk yang pernah menimpa dirinya sendiri, rakyat sekadar berhimpun dalam jumlah yang kecil dan berjalan dalam suasana aman tenteram,
tetapi pihak polis telah bertindak keras dan keterlaluan hingga menimbulkan kekecohan.

"Tanggungjawab untuk menjaga ketenteraman awam adalah satu tugas yang diamanahkan oleh undang-undang kepada pasukan PDRM sebagaimana yang dinyatakan dalam Akta Polis 1967.

"Manakala sekiranya terdapat ancaman keselamatan dari luar barulah ianya menjadi tugas kepada ATM untuk menanganinya," katanya.

Oleh itu, katanya, amatlah tidak wajar untuk mengheret sama ATM dalam tugas menjaga ketenteraman awam, yang menurut ketua polis negara, ancaman dalam bentuk demonstrasi.

"Dalam ha1 ini kita semua maklum demonstrasi atau perhimpunan aman yang berlaku adalah berpunca dari masalah politik yang berlaku dalam negara ini.

Minta campurtangan

"Dengan melibatkan sama ATM untuk menangani demonstrasi atau perhimpunan aman yang dianjurkan oleh parti-parti politik, ini bermakna terdapat cubaan untuk mengheret ATM ke kancah politik kepartian," katanya.

Sekiranya ATM dilibatkan sama dalam ha1 politik, Salahuddin berkata, beliau khuatir ianya boleh membawa kepada akibat yang merbahaya kepada kestabilan negara serta kesejahteraan rakyat.

Justeru, katanya, beliau dan rakyat merayu kepada baginda agar campurtangan supaya ATM tidak dipergunakan untuk menentang rakyat yang hanya melaksanakan hak mereka untuk berhimpun, yang sememangnya dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

"Patik juga sesungguhnya percaya siri-siri latihan bersama yang melibatkan sama ATM ini adalah terjumlah kepada perkara yang memerlukan kepada perkenan dan restu Tuanku selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Perkara 41 Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Berikutan itu, beliau merayu supaya suatu tindakan dapat dilakukan untuk menghentikan latihan bersama tersebut yang menurutnya, bukan sahaja bakal menimbulkan implikasi negatif terhadap sistem pemerintahan demokrasi berparlimen di negara ini, bahkan banyak menelan kos dari dana awam yang sepatutnya digunakan perkara yang lebih perlu dan bermanfaat.

"Adalah lebih baik sekiranya segala kekuatan yang ada pada PDRM digunakan untuk menangani masalah jenayah yang kian meruncing daripada membiarkan maruah PDRM diperkotak-katikkan kerana dijadikan alat politik pihak-pihak tertentu," katanya.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |