+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Sunday, August 10, 2008

Banglo Shahrizat dilontar bom petrol - Dua molotov cocktail turut ditemui di bangunan Majlis Peguam


SEORANG lelaki membersihkan pekarangan banglo Shahrizat di Damansara yang dilontar bom petrol pagi semalam.


KUALA LUMPUR - Mungkinkah ada kaitan? Itulah persoalan di kalangan orang ramai dan pihak berkuasa ekoran penemuan bom petrol (molotov cocktail) di pekarangan bangunan Majlis Peguam di sini dan yang dilontar di rumah Datuk Seri Shahrizat Jalil di Damansara semalam.

Kedua-dua penemuan itu dikatakan dikaitkan dengan penganjuran forum kontroversi Memeluk Islam anjuran Majlis Peguam di bangunan majlis itu di Jalan Lebuh Pasar di sini pagi semalam.

Rumah Penasihat Khas kepada Perdana Menteri itu sebelum ini merupakan milik ahli keluarga Presiden Majlis Peguam, Datuk S. Ambiga sebelum dijual kepada Shahrizat tiga tahun lalu.

Bom petrol yang ditemui di pekarangan bangunan Majlis Peguam pada pukul 7.30 pagi manakala di banglo Shahrizat lebih awal iaitu antara 2.30 pagi hingga 3.30 pagi.

Di bangunan Majlis Peguam itu kira-kira 1,000 orang yang membantah penganjuran forum tersebutserta pihak berkuasa yang sedang mengawal dikejutkan dengan penemuan dua bom petrol berwarna merah dan kuning itu yang disedari oleh orang awam.

Difahamkan, kedua-dua botol itu berisi petrol dan paku termasuk salah satunya mengandungi sekeping nota diletakkan berhampiran pintu masuk bangunan berkenaan.

Sehubungan itu, sepasukan Unit Pemusnah Bom, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dikejarkan ke tempat kejadian pada pukul 8.20 pagi bagi mengenal pasti kandungan di dalam kedua-dua botol tersebut.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd. Zulakarnain ketika ditemui mengesahkan penemuan tersebut tetapi enggan mengulas lanjut berhubung isi kandungan nota tersebut.


DUA botol bom petrol yang ditemui di bangunan Majlis Peguam
di Kuala Lumpur semalam.


Forum Memeluk Islam yang dianjurkan Majlis Peguam Malaysia bertujuan menyelesaikan isu mengenai konflik undang-undang yang dihadapi keluarga yang terperangkap antara pemisahan bidang kuasa Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah.

Bagaimanapun ia mendapat bantahan keras daripada pelbagai pihak termasuk pemimpin negara kerana ia dianggap menyentuh sensitiviti umat Islam.

Sementara itu dua bom petrol yang dilontar di banglo Shahrizat di Jalan Setia Kasih, Bukit Damansara disedari oleh pengawal keselamatan banglo itu.

Ketika kejadian Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO itu serta ahli keluarganya sedang tidur.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 7.15 pagi.

"Bom itu jatuh di bahagian hujung tempat letak kereta hingga meninggalkan kesan terbakar kecil serta serpihan kaca di lantai simen.

"Salah satu daripada botol yang pecah itu juga mengandungi sekeping nota," katanya yang enggan mendedahkan isi kandungan nota tersebut.

Menurut Wan Abdul Bari, pihaknya masih menyiasat motif kejadian.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |