+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Sunday, August 10, 2008

'Malaysia baru' Anwar pukau pengundi

Malaysiakini

K Raveendran Nair | Aug 9, 08 8:12pm

Kebangkitan kembali Anwar Ibrahim dalam arena politik negara adalah satu kejutan di luar jangkaan. Ramai penganalisis politik pada awalnya berpendapat karier politik beliau telah tamat sewaktu terpenjara.

Maka, wajar beliau dibebaskan untuk menerima rawatan kesihatan bagi sakit tulang belakang atas sifat perikemanusiaan.

Lebih-lebih lagi apabila parti serpihan Umno, PKR hanya mempunyai kekuatan satu kerusi parlimen yang disandang oleh isterinya melalui pilihanraya umum 2004.

Namun semua persepsi akan matinya karier politik Anwar berjaya dipadamkan dalam sekelip mata melalui agenda "Harapan Baru Untuk Malaysia" dalam pilihanraya ke-12.

pkr anwar ibrahim campaign leaflet 230208Sekiranya dianalisis, PKR telah menunjukkan tanda-tanda kebangkitan sejak pilihanraya negeri Sarawak pada 2006 lagi.

Keupayaan parti ini untuk memenangi kerusi DUN Sarawak, dan hampir kesemua kerusi yang disandang oleh BN telah berjaya dikurangkan undi majoritinya, sesuatu yang di luar jangkaan.

Bagaimanapun penganalisis di Semenanjung gagal menginterpretasikan mesej yang cuba dihantar oleh pengundi dari Sarawak.

Sekilas lalu, Anwar antara pemidato yang dikenali dengan gaya percakapan yang mampu memukau para pendengar. Penglibatan beliau dalam politik telah bermula sejak zaman masih remaja dan bakat muda beliau lebih menonjol semasa menjadi penghuni Universiti Malaya.

Pada 1974, beliau melancarkan demonstrasi besar-besaran apabila ada laporan media yang menyatakan, penduduk Baling, Kedah mati kerana kelaparan.

Hasil demonstrasi tersebut, beliau ditahan bawah Akta Keselamatan Dalan Negeri (ISA) selama 22 bulan tetapi dalam senyap-senyap kerajaan BN terpaksa mengambil tindakan proaktif untuk membangunkan masyarakat luar bandar.

Kerajaan telah melancarkan skim-skim baru untuk mempertahankan harga getah, stok negara untuk getah, penubuhan pembangunan getah Risda, memberikan hak milik tanah kepada penduduk luar bandar, membina pusat asuhan kanak-kanak untuk menjaga anak penoreh getah dan sebagainya.

Kesemua ini telah dilaksanakan oleh kerajaan selepas demonstrasi Baling 1974.

Apabila beliau menyertai Umno pada awal 1980-an, ramai pemimpin muda terutamanya dalam PAS kecewa kerana Anwar dilihat sebagai seorang pemimpin yang mempunyai keupayaan untuk membawa Islam ke alaf baru. Dalam bahasa Anwar, "beliau mahu membersihkan tong tahi dari dalam."

Walau Tun Dr Mahathir Mohamad perdana menteri ketika itu, namun Tengku Razaleigh Hamzah adalah pemimpin utama yang memainkan peranan untuk membawa Anwar bersama Umno.

Hasil usaha Ku Li, Anwar dibebaskan daripada ISA dan kemudiannya dibawa masuk ke dalam Umno. Jawatan pertama yang ditandangi oleh Anwar selepas beberapa bulan menyertai parti Melayu itu adalah ketua Pemuda.

anwar pc 290607 showing newspaperBeliau memenangi jawatan tersebut dengan undi yang amat tipis dalam sekitar 25 undi sahaja. Namun keakraban beliau dengan Dr Mahathir mengembangkan pengaruhnya dalam parti.

Dalam tempoh masa 17 tahun, Anwar berjaya menguasai parti sehingga mencapai jawatan timbalan presiden sekali gus menduduki kerusi timbalan perdana menteri.

Umum berpendapat sekiranya beliau berkompromi dengan Dr Mahathir sewaktu krisis kewangan pada 1997-1998, kemungkinan besar beliau telah menduduki kerusi perdana menteri yang menjadi idaman setiap ahli politik.

Tetapi keseluruhan lanskap politik negara telah berubah apabila Anwar mengambil keputusan untuk melawan arus politik negara.

Sejak beliau tumbang daripada singgahsana kuasa, boleh dikatakan secara konsisten beliau bercakap atas paksi kuasa rakyat dan selepas 10 tahun berada di luar Dewan Rakyat, kini beliau sekali lagi beradu tenaga mencuba nasib untuk kembali ke kerusi parlimen yang sekali gus mungkin membuka ruang untuk beliau menjadi perdana menteri keenam negara.

Kerusi parlimen P44 boleh dikatakan secara tradisinya adalah milik Anwar sejak tahun 1982. Sebelum itu, kerusi tersebut kubu luat PAS. Dalam pilihanraya tersebut, beliau bertanding atas tiket BN menentang calon PAS, Zabidi Ali dan menang dengan majoriti 14,352 undi.

Pada 1986, beliau ditentang oleh Mohamad Sabu, tokoh muda PAS waktu itu (sekarang naib presiden). Walaupun menang tetapi Mohamad berjaya mengurangkan undi majoriti kepada 10,479.

Pada 1990, di kala Umno masih mengalami luka parah akibat pengharamannya dan perebutan kuasa yang menyebabkan penubuhan Parti Melayu Semangat 46, Anwar masih berjaya mengekalkan kerusi beliau dengan undi majoriti sebanyak 16,150 dengan mengalahkan Mahfuz Omar (bekas ketua Pemuda PAS, kini ketua penerangan).

Pada 1995, DAP meletakkan calon Melayu di kawasan tersebut dan keadaan ini membuka ruang lebih besar kepada Anwar untuk kembali ke Dewan Rakyat dengan majoriti yang lebih besar iaitu 23,515 undi.

Calon DAP itu Abdul Rahman Manap. Bagaimanapun tiada siapa menduga, tahun itu merupakan pilihanraya terakhir bagi Anwar kerana belum sempat pilihanraya seterusnya diadakan, beliau telah ditumbangkan daripada singgahsana politik Umno.

Krisis kewangan yang kemudiannya berubah wajah kepada krisis perebutan kuasa dalam Umno menyebabkan Anwar dipecat dan dihumban ke dalam penjara.

Walaupun tuduhan liwat dikenakan, namun kebangkitan rakyat memuncak apabila beliau hadir ke mahakamh dengan mata lebam.

Dr Mahathir mengisytiharkan Parlimen dibubarkan pada 1999 dua bulan sebelum Ramadan bermula kerana situasi bulan itu yang boleh dikatakan majoriti masjid dan surau telah dikuasai oleh pengikut Anwar.

Dr Mahathir khuatir, Ramadan akan digunakan secara maksimum untuk menghasut masyarakat Melayu untuk mengundi menentang Umno. Lagipun ketika itu, tempoh Dewan Rakyat untuk dibubarkan semakin hampir.

anwar ibrahim wan azizah permatang pauh by election 310708Dengan hati yang terguris air mata, Dr Wan Azizah Wan Ismail, seorang surirumah dan bekas doktor gigi, bangkit mempertahankan suaminya dan meneruskan perjuangan politik bagi pihak kekandanya.

Parti Keadilan Nasional dengan wajah baru untuk rakyat Malaysia tanpa mengenal bangsa dan agama ditubuhkan pada April 1999, lima bulan sebelum pilihanraya umum.

Dalam pilihanraya tahun itu, Dr Wan Azizah bertanding di kerusi P44 Permatang Pauh dan ditentang oleh bekas setiausaha politik Anwar sendiri dan juga timbalan ketua menteri Pulau Pinang, Dr Ibrahim Saad.

Ramai berpendapat tujuan utama Dr Mahathir meletakkan Dr Ibrahim untuk membunuh karier politik rakan Anwar itu kerana sudah menjadi rahsia umum beliau seorang kroni Anwar.

Kalau menang, Dr Ibrahim mempunyai masa depan yang cerah. Kalau kalah, yang akan terkubur Dr Ibrahim dan bukannya Umno.

Dalam pillihanraya umum tersebut, Dr Wan Azizah menang dengan majoriti 9,077 undi. Beliau menerima 23,820 undi, manakala Dr Ibrahim menerima 14,473 undi.

Boleh dikatakan dalam pilihanraya 1999, Umno telah diselamatkan oleh pengundi bukan Melayu. Namun sumbangan bukan Melayu dilupakan begitu sahaja selepas pilihanraya umum 2004.

Pada tahun itu, BN telah meletakkan bekas imam besar Masjid Negara, Datuk Pirdaus Ismail untuk bertanding menentang Dr Wan Azizah. Namun faktor Anwar telah memberikan kemenangan solo kepada PKR.

Isterinya memenangi 21,737 undi, manakala Pirdaus menerima 21,147 undi. Dr Wan Azizah menang dengan majoriti tipis 590 undi - itu pun selepas pengiraan semula pada hari berikutnya.

Selepas pilihanraya tersebut, Umno menjangkakan PKR akan berkubur atau kembali merujuk Umno dalam masa terdekat. Namun kesemua jangkaan itu meleset.

Pilihanraya umum 8 Mac lalu menjadi satu titik perubahan dalam sejarah politik negara.

Anwar yang kembali daripada menerima rawatan sakit tulang belakang pada awalnya (setelah dibebaskan pada penghujung 2004) menggunakan "jaringan antarabangsanya" untuk menguatkan semula perhubungan beliau dengan negara-negara luar dan hampir setiap bulan berada di luar negara sama ada atas undangan pemimpin negara-negara yang dikunjungi atau untuk sesi ceramah di universiti-universiti terkemuka dunia.

anwar tour perak 050308 gopeng mixy crowdBeliau kemudiannya mengalihkan pandangan kepada politik dalam negara dan menjanjikan "Malaysia Baru" sekiranya diberikan kepercayaan untuk kembali memimpin negara.

Berbekalkan kelemahan pemimpin BN dengan politik perkauman yang tebal, Anwar menggubal manifesto yang menjanjikan "Malaysia Baru."

Setuju atau tidak, terpulang kepada pembaca untuk menilai, janji untuk memberikan Malaysia Baru telah berjaya mempengaruhi massa untuk memberikan kepercayaan kepada gabungan tiga parti yang kemudiannya dikenali sebagai Pakatan Rakyat.

Hasilnya empat negeri baru jatuh tersungkur kepada kepada Pakatan dan cengkaman ke atas negeri Kelantan terus diperkukuhkan.

Lebih mengejutkan, kuasa dua pertiga luntur daripada BN dan apabila masyarakat Malaysia bangun pada pagi 9 Mac lalu, pancaran matahari pagi seolah-olah menjanjikan harapan baru untuk Malaysia.

Untuk Anwar kekal relevan dalam politik, isterinya mengisytiharkan mengosongkan kerusi P44 untuk memberi laluan kepada suaminya. Walaupun pelbagai spekulasi dan teori dikemukakan termasuk pengosongan kerusi sebagai satu strategi untuk menghalang tindakan undang-undang terhadapnya dalam kes moral, namun perkembangan tersebut sebenarnya menjadi satu medan politik yang terbaik untuk membuktikan kuasa rakyat.

Persoalannya, apakah BN sebagai kerajaan pusat mampu mengalahkan Anwar di P44 Permatang Pauh dengan kerajaan negeri dikuasai oleh Pakatan Rakyat?

P44, berdasarkan senarai pengundi yang digunakan dalam pilihanraya ke-12 mempunyai 58,449 pengundi. Pecahannya menunjukkan pemilih Melayu adalah majoriti dengan bilangan 40,563 atau 69.4 peratus. Pemilih Cina pula 14,320 orang atau 24.5 peratus, manakala India 3,507 orang atau 6 peratus.

Peratus keluar mengundi dalam pilihanraya itu tinggi iaitu 47,288 orang (81.8 peratus), manakala undi rosak pula 110.

Dalam kerusi parlimen ini terdapat tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Seberang Jaya, Permatang Pasir dan Penanti. BN hanya menguasai Seberang Jaya dengan majoriti 533 undi. Majoriti tersebut telah berkurangan daripada 4,464 uni yang dimenangi dalam pilihanraya 2004.

Permatang Pasir dikuasai PAS, manakala Penanti dimenangi oleh calon PKR, Mohammad Fairus Khairuddin yang kemudiannyadilantik timbalan ketua menteri I Pulau Pinang. Kedua-dua kerusi tersebut dimenangi Pakatan Rakyat dengan majoritilebih besar berbanding 2004.


Bahagian II 'Lapan faktor BN tewas di Permatang Pauh' akan diterbitkan Isnin.


Menurut blognya Security, K Raveendran Nair dilahirkan di Bukit Mertajam, bersebelahan Permatang Pauh, 33 tahun lalu.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |