+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Thursday, September 25, 2008

ISA, senjata hilang bisa….

aminiskandar

Bagi sesetangah pihak (Umno dan pencabul hak asasi manusia), apabila Raja Petra Kamarudin (RPK) dihantar ke Kem Kamunting, “Gerakan Gerillawan Siber” dapat dibunuh dan selepas ini kenyakkan blog-blog dan laman web alternatif dapat dimatikan.

Tetapi mereka silap. Apabila RPK dipenjarakan tanpa bicara selama dua tahun, maka akan lahir lebih ramai lagi penulis blog. Blog bertumbuh dan bercambah setiap hari. Kebencian rakyat terhadap regim Barisan Nasional semakin memuncak.

Lebih keras penindasan maka lebih keraslah perlawanan. Jika jumlah yang melawan menjadi semakin besar, muatkah Kem Tahanan Kamunting?

Muatkah jika semua penjara di Malaysia digunakan?

Senjata penindasan ISA yang diwariskan daripada British sebagai ganjaran kepada Umno kerana memberi peluang kepada mereka (baca: penjajah) merompak harta kekayaan negara sudah semakin hilang taringnya. ISA bertujuan untuk menimbulkan ketakutan dikalangan rakyat dan mematikan gerakan yang melawan regim sudah tidak lagi berjaya mencapai objektifnya.

Semenjak Reformasi bermula ISA telah beberapa kali digunakan.

Apakah ISA berjaya mematikan gerakan?

Apakah ISA berjaya menyebabkan pejuang-pejuang belot?

Berikut adalah trend penggunaan ISA dan kesannya:

1) 1998: Anwar dan penyokong Reformasi ditahan ISA ketika gerakan untuk menjatuhkan Dr. Mahathir memuncak.

Ramai yang terpenjara termasuk Abdul Malek Husin, Sharrifuddin Budin, Ahmad Shabrimi, Ahmad Zahid Hamidi (Belot pada tahun yang sama. Sekarang Menteri di Jabatan Perdana Menteri), Rahman Ibrahim dan ramai lagi. Kebanyakkannya masih lagi bersama. Cuma beberapa kerat orang sahaja mengundur.

Penggunaan ISA tidak mematikan gerakan Reformasi. Gerakan berterusan dan pada pilihanraya umum ke 10, undi Melayu berpihak kepada pakatan pembangkang. Terengganu jatuh ketangan PAS. Kelantan kekal dibawah PAS. Ahli-ahli parlimen pembangkang bertambah diparlimen.

Desakan demi desakan, demonstrasi demi demonstrasi menyebabkan Dr. Mahathir terpaksa meletakan jawatan kerana khuatir Umno akan kalah dengan lebih teruk pada pilihanraya umum 2004.

2) 2001: Penahanan 10 orang aktivis Reformasi.

Empat orang dibebaskan setelah 60 hari ditahan.

Mereka ialah Gobala Krishnan (sekarang Ahli Parlimen), Raja Petra Kamarudin (sekarang dalam Kem Kamunting), Abdul Ghani Harion (belot menyertai Umno pada 2008) dan Pak Din.

Baki enam orang lagi dihantar ke Kem Tahanan Kamunting. Enam yang ditahan ialah Ezam Mohd Noor (belot menyertai Umno pada 2008), Lokman Noor Adam(bergaduh dengan Ezam tahun 2004. Keluar PKR dan kini menjadi teman baik Ezam didalam Umno), Saari Sungib (sekarang ADUN), Hishamuddin Rais, Badrul Amin dan Tian Chua (sekarang Ahli Parlimen).

Daripada 10 yang ditahan, hanya tiga yang belot. Baki tujuh masih lagi berjuang menegakkan Reformasi.

Dua orang mahasiswa turut ditahan dibawah ISA iaitu Khairul Annuar Ahmad Zainuddin (sekarang Naib Ketua AMK) dan Fuad Ikhwan.

Penggunaan ISA tidak mematikan gerakan Reformasi. Abdullah Badawi terpaksa men”cetak rompak” agenda Reformasi selepas mengambil alih kepimpinan negara.

Pilihanraya 2004, BN menang besar kerana Abdullah Badawi berjanji untuk melaksanakan Reformasi dan menghapuskan rasuah dalam negara.

Anwar Ibrahim dibebaskan tidak berapa lama selepas pilihanraya umum 2004.

2007: Lima pemimpin Hindraf ditahan dibawah ISA.

Puluhan ribu rakyat turun kejalanraya menuntut satu Pilihanraya yang Bebas dan Adil di Malaysia pada 10 November 2007. Perhimpunan ini bukan sahaja disokong oleh penyokong pembangkang dan aktivis NGO, tetapi turut disokong oleh ahli-ahli Umno seperti Ruhanie Ahmad. Cabaran dan amaran oleh Abdullah Badawi dan menantunya disahut oleh rakyat.

Tidak beberapa lama selepas itu Hindraf pula menganjurkan demonstrasi. Hampir 20,000 masyarakat India turun kejalan dan bertempur dengan polis anti rusuhan. Dmonstrasi ini menyebabkan lima pemimpin Hindraf merengkok di Kem Tahanan Kamunting sehingga hari ini. Akan tetapi, perjuangan Hindraf tidak mati akan tetapi menjadi lebih dahsyat lagi.

2008: Raja Petra Kamarudin (sekarang di Kem Kamunting), Teresa Kok (dibebaskan selepas tujuh hari) dan Tan Hoon Cheng (dibebaskan selepas 18 jam)

Gerakan perlawanan rakyat yang tak henti-henti menyebabkan keputusan PRU 12 memalukan BN. Majoriti 2/3 di parlimen hilang. Penipuan Abdullah Badawi dalam melaksanakan Reformasi telah menyebabkan beliau dihukum oleh rakyat. Menantunya dan “budak tingkat empat” hanya mampu termenung. Mereka tahu, hayat Abdullah sudah tidak lama.

Tidak lama selepas PRU 12, pilihanraya kecil berlangsung di Permatang Pauh. Anwar bertanding. Percaturan dimulakan tidak berapa lama sebelum itu. Anwar dituduh liwat lagi. Sehari sebelum penamaan calon, Saiful yang menuduh diliwat oleh Anwar bersumpah laknat bahawa beliau sah diliwat Anwar.

Ezam dan teman-temannya yang telah bekerja dengan Khairy berceramah setiap malam untuk memburukan Anwar. Akan tetapi, apabila keputusan diumumkan, Abdullah Badawi terkejut beruk apabila majoriti yang dimenangi Anwar melebih apa yang diperolehi oleh Wan Azizah pada PRU 12. Undi Melayu terhadapnya juga bertambah.

Ini mendorong Abdullah menggunakan ISA. Tambahan lagi terdapat ancaman daripada Anwar untuk mengambil alih negara. Menteri yang beliau lantik meletakkan jawatan sebagai protes. MCA ugut tinggalkan BN, ini menyebabkan Tan Hoon Cheng, wartawan Sin Chew Daily dibebaskan setelah 18 jam ditahan. Ini merupakan satu rekod baru!

Berikut adalah serba sedikit kronologi mengenai penggunaan ISA sepanjang 10 tahun ini untuk mematikan gerakan rakyat. Apakah gerakan rakyat mati?

Jawapannya tidak. ISA sudah hilang bisa. Tidak lama lagi tembok-tembok kekuasaan BN akan runtuh bersama ISA. Runtuh seperti runtuhnya tembok Berlin yang memisahkan Jerman Timur dan Jerman Barat. Tidak mustahil ini berlaku.

Rakyatlah yang menentukan. Kerana mereka mempunyai satu kuasa yang selama ini mereka tidak tahu. Kuasa yang amat kuat. Kuasa yang telah menyebabkan BN terlepas negeri yang kaya seperti Selangor dan Pulau Pinang.

Kuasa itu adalah Kuasa Kebangkitan Rakyat. Jika PRU 12 yang lalu anda saksikan Tsunami, percayalah ombak besar itu akan datang lagi. Lebih besar dari bulan Mac yang lalu. Nantikan sajalah regim Abdullah-Najib!!!

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |