+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Thursday, September 25, 2008

Penurunan harga minyak gagal tangani inflasi - Pakar ekonomi

KUALA LUMPUR 24 Sept. - Penurunan harga runcit minyak petrol dan diesel sebanyak 10 sen yang diumumkan pada hari ini, dilihat tidak mampu membantu menangani inflasi, dan juga meningkatkan kuasa membeli di kalangan pengguna.

Para ahli ekonomi dan penganalisis tempatan bersetuju bahawa harga itu sepatutnya diturunkan sekurang-kurangnya 30 sen kerana tindakan itu mampu mengurangkan peningkatan inflasi.

Ahli ekonomi tempatan, Tan Sri Ramon Navaratnam berkata, penurunan harga minyak sebanyak 10 sen tidak banyak membantu kerana jumlah itu adalah terlalu kecil dan tidak menggambarkan kedudukan semasa harga minyak dunia.

Beliau berkata, rakyat telah menaruh harapan yang tinggi bahawa kerajaan akan menurunkan harganya kepada satu paras 'munasabah', seiring dengan aliran penyusutan harga minyak dunia yang kini berada di sekitar bawah AS$110 (RM374) setong sejak hampir dua bulan.

Jelas beliau, kerajaan perlu lebih telus dalam mengemukakan mekanisme penurunan harga minyak yang dibuat supaya rakyat faham jumlah harga sebenar minyak, harga pasaran dan subsidi yang ditanggung oleh kerajaan.

''Tetapi saya berpendapat penurunan sebanyak 10 sen masih terlalu kecil berbanding dengan kenaikan yang dibuat pada pertengahan tahun ini,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pengumuman terbaru berkuatkuasa mulai tengah malam ini, akan menyaksikan orang ramai membayar RM2.45 dan RM2.40, masing-masing untuk seliter petrol dan diesel.

Pada awal Jun lalu, kerajaan mengumumkan harga petrol dinaikkan sebanyak 78 sen seliter kepada RM2.70 seliter dan ia merupakan kenaikan 40 peratus daripada harga RM1.92 seliter sebelum itu.

Harga diesel pula turut dinaikkan sebanyak RM1 kepada RM2.58 seliter daripada RM1.58.

Bagaimanapun, pada 23 Ogos lalu, kerajaan menurunkan semula harga runcit petrol RON97 sebanyak 15 sen daripada RM2.70 seliter kepada RM2.55 seliter, manakala harga runcit diesel sebanyak lapan sen daripada RM2.58 seliter kepada RM2.50 seliter.

Sementara itu, Ketua Program Siswazah Pengurusan Persekitaran dan Pakar Pengangkutan Awam Universiti Kebangsaan Malaysia Prof. Dr. Abd. Rahim Md. Nor pula berpendapat, kerajaan sepatutnya mengekalkan harga minyak iaitu RM1.92 seliter, harga sebelum kenaikan sebanyak 78 sen sebelum ini.

''Harga ini (RM1.92 seliter) lebih logik memandangkan harga minyak dunia terus merosot disebabkan perkembangan ekonomi di Amerika Syarikat,'' ujarnya.

Ditanya tentang kesan penurunan minyak terhadap inflasi, Abd. Rahim berkata: ''Saya percaya jika harga minyak diturunkan lebih banyak, mungkin masalah inflasi dan kenaikan harga barang dapat ditangani.''

Penasihat Ekonomi AmInvestment Bank Group, Mustafa Mohd. Nor berpendapat, penurunan harga minyak petrol yang dibuat kerajaan tidak akan memberi kesan kepada keadaan inflasi semasa selagi harga makanan tidak diturunkan.

'' Indeks Harga Pengguna (IHP) bukan hanya ditentukan oleh peningkatan atau penurunan harga petrol tetapi ia turut melibatkan harga makanan semasa.

''Selagi harga makanan tidak menunjukkan penurunan, kadar inflasi semasa mungkin tidak menunjukkan sebarang perubahan yang ketara walaupun harga petrol diturunkan dengan kadar 10 sen,'' katanya.

Ketua Pakar Ekonomi, RAM Holdings Bhd., Dr. Yeah Kim Leng berkata, langkah kerajaan itu dianggap sesuatu yang positif pada keadaan semasa yang sering dihidangkan dengan berita-berita negatif.

''Langkah itu dilihat dapat mengurangkan sedikit beban rakyat dan ia adalah seperti dijangkakan ia merupakan hadiah Hari Raya kerajaan kepada rakyat.

''Saya berharap harga minyak petrol akan dapat terus diturunkan ekoran harga pasaran minyak mentah global yang sedang mengalami aliran menurun untuk terus meringankan beban rakyat,'' jelasnya.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |